Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ingin mengulas mengenai beberapa hantaran dalam media sosial yang tular beberapa hari kebelakangan ini berkenaan siasatan yang kini dijalankan ke atas kumpulan GISBH (Global Ikhwan Services and Business Holdings). 

Terdapat laporan yang tidak tepat mengenai pendirian yang diambil PPIM. 

PPIM menegaskan persatuan ini tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerajaan atau bertentangan dengan ajaran Islam. 

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata banyak perkara yang ditularkan dalam media sosial tidak tepat dan terdapat juga cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang sedang berlangsung. 

PPIM seperti mana banyak pihak lain sebelum ini bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas kapasiti menyokong usaha mereka meningkatkan jumlah produk halal buatan umat Islam untuk pengguna di Malaysia. 

Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan itu yang kini sedang tular. 

PPIM fokus kepada mempertahan hak pengguna dan memperjuang isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain. 



Mengenai isu yang sedang tular susulan siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini, PPIM berharap siasatan terperinci dijalankan agar pihak yang bersalah dihukum manakala mereka yang dianiaya terutamanya kanak-kanak yang dikatakan menjadi mangsa eksploitasi dan jenayah seksual perlu dilindungi dan dibantu untuk masa depan yang lebih baik. 

PPIM menegaskan tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, penggubahan wang haram dan lain-lain sehinggalah perkara tersebut didedahkan baru-baru ini. 

PPIM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh PPIM turut sama bersekongkol untuk melindungi ahli kumpulan tersebut dan turut mengamalkan ajaran sesat. 

PPIM meminta pihak lain jangan memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan PPIM dengan isu yang tidak berkaitan.

PPIM bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian serta mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik profail tanpa identiti di media sosial. 

PPIM juga memandang serius budaya buli siber yang semakin melarat dan percaya pihak berkuasa juga sudah tidak dapat mengawalnya. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
10
0
9
0

Copy Link: