Muhammad Syafiq Mohiadin (kiri), Azman Rasman dan Mohiadin Bahado dalam sesi perjumpaan di HTAA. 


TIDAK menjadi satu bebanan atau masalah kepada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) untuk berkongsi idea dan pengalaman dalam mengurus tadbir selia pusat jagaan khusus untuk menempatkan warga emas daripada terbiar menjadi gelandangan.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PKMM yang sudah lebih tujuh tahun membangunkan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor sentiasa bersedia berkongsi pengetahuan serta memberi tunjuk ajar kepada pelbagai pihak khususnya NGO.

Setiausahanya, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata setahun lalu PKMM sudah memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada satu

NGO yang kini berjaya mewujudkan pusat jagaan warga emas di Jitra, Kedah selepas melalui proses perbincangan, nasihat serta pemantauan.

Tambahnya, manakala sebuah lagi pusat jagaan yang akan dikendalikan NGO di daerah Batu Pahat, Johor sedang dalam proses pembukaan sementara menunggu kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dan penyediaan kemudahan kelengkapan siap sepenuhnya.


Meninjau Kompleks Baitur Rahah yang akan menjadi pusat jagaan warga emas pertama di Pekan.


Menurut Muhammad Syafiq, terbaharu PKMM disantuni sebuah NGO Aisyah Al-Iman berpusat di Pekan, Pahang yang bercadang untuk membuka pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan sebagai salah satu usaha kerja amal kebajikan mereka selain membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah sosial membabit warga itu. 

Jelasnya, pihak pengurusan NGO berkenaan sudah beberapa kali mengadakan lawatan ke PJMM pada Oktober dan November 2023 dalam proses pembelajaran mengenai kaedah atau cara pembukaan, seliaan dan pengurusan pusat jagaan.

“Lanjutan sesi lawatan ini perbincangan serta khidmat nasihat terus diberikan oleh pihak pengurusan PJMM termasuk saya sendiri menerusi emel, telefon dan melalui sidang secara dalam talian sebagai usaha ikhlas PKMM membantu menjayakan projek NGO berkenaan.

“Bagi memastikan bimbingan serta khidmat nasihat ini berkesan kami dijemput oleh pihak NGO itu untuk menghadiri perjumpaan di Pekan pada 21 Disember 2023,” ujarnya. 

Turut serta dalam Program Bimbingan Penubuhan Pusat Jagaan itu Pengerusi PKMM, Azman Rasman, Penasihat PKMM, Mohiadin Bahado dan kakitangan sokongan PKMM, Suhaimi Kamarul Ghani.


Mohiadin Bahado menyampaikan cenderamata buku cerpen kisah benar penghuni pusat jagaan kepada Mohamad Nizar Najib (kanan) di pejabatnya di Pekan, Pahang pada 22 Disember 2023. 


Muhammad Syafiq, berkata pada sesi pertama perjumpaan dalam program itu NGO berkenaan yang diketuai ahli jawatankuasanya, Liana Hashim diadakan di Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, yang turut dihadiri wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil JKSP sendiri.

Dalam perjumpaan itu, menurutnya, pihak PKMM memberi penerangan konsep penubuhan pusat jagaan serta prosedur perlu dipatuhi sebagaimana ditetapkan pihak berkenaan terutama matlamat pembukaan pusat jagaan berkenaan menepati objektifnya dan langkah keselamatan, kesihatan dan sebagainya yang perlu dititikberatkan

Jelas beliau, pada hari kedua iaitu pada sebelah pagi perjumpaan itu, NGO terbabit membawa mereka melawat kawasan dan Kompleks Baitur Rahah, di kilometer 2, Jalan Pekan, Kuantan yang akan diubah suai menjadi pusat jagaan warga emas.


Muhammad Syafiq (tiga dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa NGO Aisyah Al-Iman merakamkan kenangan di depan Kompleks Baitur Rahah.


“Selepas diberi penerangan oleh ahli jawatankuasa NGO ini, kami dapati kompleks itu amat bersesuaian untuk dijadikan pusat jagaan warga emas kerana sudah memiliki pelbagai kemudahan asas seperti bilik penginapan, surau, dewan aktiviti, dewan makan, pejabat, tandas dan kawasan untuk kegiatan luar,” ujarnya.

Muhammad Syafiq berkata, pada kesempatan itu NGO berkenaan membawa kami untuk berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib di pejabatnya.

Kata beliau, pada perjumpaan itu, pihak PKMM menerangkan kepada beliau mengenai urusan penempatan serta penghantaran kes warga emas diabaikan, tidak dituntut oleh waris selepas discaj dari hospital di seluruh Pahang yang akan mendapat kerjasama daripada JKSP. 

Menurutnya, dia turut memberikan penerangan mengenai pengalaman PKMM yang sudah berjaya memberi bimbingan dan berkolaborasi dengan PJMM, Pusat Jagaan Insan dan Nur Hasanah di Semenyih dan Beranang, Selangor bagi menguruskan warga emas.


Mohamad Nizar (kanan) melahirkan rasa gembira PKMM bersedia membantu NGO Aisyah Al-Iman membuka pusat jagaan warga emas pertama di Pekan, Pahang.


Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Mohamad Nizar berharap usaha yang sama juga dapat dilaksanakan serta diteruskan dengan membantu NGO Aisyah Al-Iman membuka pusat jagaan warga emas pertama di Pekan.

Tambahnya, ADUN Peramu Jaya itu menyatakan akan sentiasa memberi sokongan usaha murni NGO terbabit untuk membuka pusat jagaan yang akan memberi perlindungan dan penjagaan kesihatan bagi golongan yang memerlukan pembelaan khususnya warga emas.

“Kami berasa amat terharu apabila Mohamad Nizar turut menzahirkan ucapan tahniah serta terima kasih kepada PKMM kerana kesudian untuk membantu orang Pahang menubuhkan pusat jagaan warga emas yang akan memberi banyak manfaat termasuk kepada kerajaan,” ujarnya. - KitaReporters


Liana Hashim (empat dari kanan) bersama pengurusan PKMM menyempurnakan penyerahan cenderamata oleh Mohiadin di dalam Kompleks Baitur Rahah.

17
12
0
12
0

Copy Link: