Semoga Allah permudah! Perkim Bera proaktif buka pusat jagaan! Harap kerja ukur tanah selesai segera!
Published byJuhari Abdul Kadir (tengah) menyampaikan taklimat ringkas mengenai perkembangan Perkim membuka pusat jagaan.
PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bera, Pahang, akan terus proaktif melakukan pelbagai urusan dalam usaha membuka pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan terutama selepas mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak untuk merealisasikan kerja amal kebajikan itu.
Selain mendapat perhatian bekas Perdana Menteri ke-9,
Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu juga turut menarik sokongan moral
daripada Pegawai Daerah Bera, Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Mohd Sidek yang dilantik
sebagai penaung projek itu.
Pengerusi Perkim daerah itu, Juhari Abdul Kadir, berkata
pelantikan pegawai daerah sebagai penaung memberi suntikan semangat kepada
keseluruhan ahli jawatankuasa (AJK) pembukaan pusat jagaan berkenaan kerana akan
membantu dalam urusan pengambilalihan tanah, pengukuran tapak dan sebagainya.
Menurutnya, paling menggembirakan apabila ramai ahli jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan projek itu merupakan dalam kalangan profesional dan mereka yang berjaya dalam kerjaya masing-masing bersedia membantu serta berkongsi idea bagi memastikan pusat jagaan warga emas berjaya dibuka.
Juhari menunjukkan kawasan persekitaran pejabat Perkim Bera yang akan dibersihkan untuk penyediakan kawasan pusat jagaan.
Tambahnya, keluasan tanah mendirikan bangunan kekal pusat
jagaan itu sudah dikenal pasti cuma menunggu kerja peta topografi dilakukan
oleh pihak bertauliah bagi mendapatkan kesahihan yang boleh diterokai atau
diguna pakai.
“Ia juga bagi mengelak daripada termasuk dalam tanah rezab
kerajaan kerana pusat jagaan ini berhampiran jalan utama Pekan Bera di samping
memastikan selamat untuk mendirikan bangunan yang akan dilengkapi pelbagai
kemudahan asas.
“Perkim dan ahli jawatankuasa projek ini perlu lebih cakna
dalam meneliti pelbagai perkara supaya tidak menganggu kepentingan awam kerana
apabila bangunan pusat jagaan didirikan ia akan kekal lama di situ di samping
memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat setempat untuk beroperasi,”
ujarnya ketika memberi taklimat ringkas kepada pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah
Malaysia (PJMM) dan Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih, Selangor serta Pusat
Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor di Pejabat Perkim daerah itu pada
5 Februari 2025.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJI, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; serta AJK Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Zaiton Yaacob, Norizan Tauhid, Setiausaha Rozita Yaakob; dan Pegawai Sosial Perubatan Hospital Bera, Azhar Ahmad hadir dalam taklimat berkenaan di samping melihat tapak untuk dibangunkan bangunan pusat jagaan itu.
Juhari (enam dari kiri), AJK Perkim Bera dan Pengurusan PJMM, PJI, PJNH serta KESUMA '24 merakamkan kenangan selepas melawat persekitaran tanah untuk tapak bangunan pusat jagaan yang akan dibuka.
Juhari berkata, sebaik sahaja kerja peta topografi siap
sepenuhnya Perkim Bera akan mengusulkan segera
permohonan kepada pelbagai pihak berkuasa terbabit bagi mendapatkan
kelulusan yang mungkin akan melalui banyak tapisan sebelum kebenaran diberikan.
Menurutnya, Perkim Bera akur setiap peraturan atau syarat yang
ditetapkan pihak berkuasa terbabit kerana pusat jagaan itu nanti akan menempat
warga emas yang tersisih, orang kelainan upaya (OKU), gelandangan, sebatang
kara, uzur dengan menghidap penyakit dan sebagainya.
Tambahnya, walaupun akan diuruskan di bawah kerja amal
kebajikan namun warga emas yang akan ditempatkan perlu mendapat kebenaran
daripada ahli keluarga atau sanak saudara, direkodkan untuk makluman pihak
berkuasa terbabit bagi mengelak berlaku perkara berbangkit.
“Pusat jagaan ini bukan setakat menjaga warga emas dari segi makan, minum, pakaian dan mendapatkan rawatan kesihatan sahaja, mereka juga akan mengikuti aktiviti keagamaan seperti kelas agama dan mengaji kerana pusat tahfiz juga akan diwujudkan.
“Kami berharap pusat jagaan ini dapat beroperasi pertengahan tahun 2025 dan untuk permulaan Perkim Bera akan mengambil kira-kira 50 warga emas sahaja, bagaimanapun ia bergantung kepada prasarana yang bakal disediakan demi keselesaan mereka,” ujarnya lagi.
Juhari (dua dari kiri) membawa Pengurusan PJMM, PJI, PJNH dan AJK KESUMA '24 menziarah seorang penduduk Kampung Durian Tawar, Bera, Rodiah Omar yang hidup sebatang kara dan rumah beliau akan dibaik pulih oleh Perkim Bera.
Sementara Azman dan Mohiadin berkata, mereka sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar, panduan serta bimbingan kepada sesiapa sahaja ingin melakukan kerja amal kebajikan dengan membuka pusat jagaan kerana ia bukanlah satu tugas yang mudah terutama apabila beroperasi tanpa bantuan tetap setiap bulan.
Jelas mereka, tohmahan, cercaan dan sebagainya perkara biasa
dan asam garam mengurus tadbir pusat jagaan malah jasa serta pengorbanan mereka
khususnya petugas yang memandi, menyuapkan makanan, menyelia kerja rawatan
kesihatan kepada warga emas langsung tidak dihargai.
Tambahnya, kebiasaan warga emas yang masih ada anak atau
sanak saudara mereka berkenaan hanya datang bertanya khabar apabila ada hajat seperti
untuk menyelesaikan masalah harta pesaka, mengeluarkan wang tabungan dan
sebagainya, selepas itu terus senyap.
“Ini adalah antara cabaran atau permasalahan yang akan
ditempuhi mereka yang membuka pusat jagaan dan perlu ditangani dengan bijaksana
tanpa menyinggung mana-mana pihak, walaupun tidak mengenakan sebarang bayaran kita
tetap jujur serta bertanggungjawab melaksanakan tugas.
“Setakat ini PJMM, PJI dan PJNH sudah kolaboratif dengan memberi bimbangan, panduan, nasihat dan sebagainya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuka pusat jagaan warga emas seperti di Jitra, Kedah; Pekan, Pahang dan Batu Pahat, Johor,” ujar mereka. - KitaReporters