Pengorbanan ibu bapa tiada tanding! Hantar anak-anak ke sekolah KAFA! Agar sihat dunia dan akhirat!
Published bySebahagian ibu bapa hadir pada majlis Ihtifal dan Khatam Al-Quran Kafa Integrasi Al-Waani bagi meraikan kejayaan anak.
MAJLIS penghargaan bagi meraikan kecemerlangan pelajar yang diadakan di sesebuah sekolah merupakan juga peristiwa penting untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa atau penjaga yang banyak berkorban untuk kejayaan anak mereka.
Hal demikian itu kerana ibu bapa atau penjaga berkenaan meletakkan
kecemerlangan dan kejayaan sebagai agenda utama dalam kehidupan mereka, sekali gus menjadi nadi serta tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan
kepada anak.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan Sekolah Kelas Al-Quran dan
Fardu Ain (Kafa) Integrasi Al-Waani, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras,
Selangor, Alias Ahmad, berharap ibu bapa dan penjaga supaya terus dapat
bersama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan
anak mereka.
Jelas beliau, sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan juga kesihatan minda kerana kedua-dua bentuk kesihatan itu amat penting untuk dijaga dan dipelihara supaya harapan dan impian ibu bapa dapat direalisasikan sekali gus merealisasikan juga harapan dan impian yang termaktub di dalam falsafah pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.
Alias Ahmad menyampaikan ucapan perasmian Majlis Ihtifal dan Khatam Al-Quran Kafa Integrasi Al-Waani bagi tahun 2024 di Dewan Masjid BTHO.
“Penerapan ilmu agama berlandaskan fahaman Ahli Sunnah Wal
Jamaah (ASWJ) sejak kecil kepada anak amat wajar kerana dunia sekarang semakin tenat
dengan fahaman liberal terhadap Islam, maka marilah kita saling bergandingan
bagi memastikan mereka menjadi sebahagian warna kegembiraan negara pada masa
hadapan dan bukanlah secalit warna kehancuran atas kealpaan serta kelekaan kita,”
ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ihtifal dan Khatam Al-Quran Kafa Integrasi Al-Waani bagi tahun 2024 di Dewan Masjid BTHO pada 12 Januari 2025.
Turut hadir pada majlis itu, Penyelia Kafa Daerah Hulu Langat, Abdul Aziz Dollah; Ketua Guru Kafa Integrasi Al-Waani, Hariezul Ismail; dan ibu bapa serta penjaga pelajar.
Alias menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang sambil diiringi guru Kafa Integrasi Al-Waani, Muhammad Hafiz.
Alias berkata, kita sedar majlis berkenaan amat perlu dilaksanakan bagi memberi makna kepada kehidupan anak yang bakal mewarisi masa depan negara dan ummah kerana itu saban tahun pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis bagi meraikan kejayaan anak didik dalam bidang kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah mereka.
Menurutnya, apabila berbicara berkenaan kejayaan, sememangnya beliau amat bersyukur serta berbangga menjadi sebahagian dari warga Al-Waani kerana diberi keizinan Allah swt untuk berada dalam kelompok suasana persekolahan yang amat konsisten bagi mencipta dan mengekalkan kejayaan pelajar.
Sehubungan itu, tambahnya, kejayaan berkenaan dibuktikan
dengan kecemerlangan yang direkodkan saban tahun melalui peperiksaan Penilaian
Sekolah Rendah Agama (PSRA) apabila sentiasa konsisten berada pada tahap
peratusan cemerlang iaitu melebihi 90% dalam keputusan PSRA bagi tahun 2024 yang
diumumkan beberapa hari lalu.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menzahirkan kejayaan itu sebagaimana dimaklumkan Kafa Integrasi Al-Waani sekali lagi berjaya mengekalkan peratusan cemerlang iaitu 97.4%.
Hariezul Ismail (duduk tengah) bersama-sama guru Kafa Integrasi Al-Waani yang dedikasi melaksanakan tugas demi kecemerlangan pelajarnya.
Alias turut menzahirkan jutaan syabas dan tahniah kepada pelajar yang berjaya peroleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan PSRA dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) kerana ia menyerlahkan kepuasan maksimum di dalam diri pelajar selepas bertungkus-lumus serta bekerja keras untuk meraih kejayaan.
Katanya, bagi pelajar yang peroleh keputusan kurang memberangsangkan, janganlah berasa kecewa dan berputus asa kerana perperiksaan itu merupakan peringkat awalan sahaja masih belum terlambat untuk memperbaiki kelemahan.
Pelajar Tahun Satu Taqwa, Muhammad Yusuf Ibrahim mengalunkan lagu nasyid bagi menghiburkan ibu bapa dan penjaga yang hadir.
“Selepas ini akan banyak lagi peringkat-peringkat yang perlu
dilalui yang dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki kelemahan
diri, saya mendoakan supaya pelajar sekalian berjaya memperoleh kejayaan bukan
sahaja di dunia, malah di akhirat jua.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini, jadikan kecemerlangan
yang ditunjukkan itu menjadi pemangkin untuk pelajar lain mempertingkat lagi
mutu pencapaian mereka dalam bidang kurikulum, sahsiah, kokurikulum serta
tarbiah dalam diri mereka.
“Tidak lupa juga kepada pelajar yang sudah khatamkan bacaan al-Quran, jadikan intipati kandungan yang terdapat dalam al-Quran ini sebagai pedoman diri kita mengatur jalan hidup di dunia ini, supaya kehidupan yang dijalani menuju ke arah keredaan Allah swt, bukannya ke arah kemurkaan-Nya,” ujarnya. - KitaReporters
Alias (berdiri di tengah, belakang) merakam kenangan bersama-sama pelajar cemerlang Kafa Integrasi Al-Waani, BTHO, Cheras, Selangor.