Sejahtera Komuniti Madani! Geran SejaTi Madani bantu penduduk bangunkan kegiatan ekonomi setempat!
Published by![](https://media.wepg.online/public/images/user_18250/1737947792_270125110116320000006796fa906cf91.jpg?x-oss-process=image)
Permandangan Homestay Jas Telaga Inn (JTI), di Kampung Telok Mas yang menjadi pilihan ramai pelancong ke Melaka.
SUMBANGAN geran Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) membuktikan kerajaan prihatin membantu memajukan kegiatan ekonomi yang dilaksanakan oleh penduduk desa untuk berusaha mencari sumber pendapatan tambahan harian menampung kos perbelanjaan keluarga.
Bagi mereka yang menerima geran SejaTi Madani sudah pasti berasa amat gembira kerana dapat menampung kos operasi dan menambah modal untuk membesar serta memperluas bidang perniagaan atau perusahaan kecil-kecilan yang diceburi.
Justeru itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, mahukan mereka yang menerima geran berkenaan memanfaatkannya sebaik mungkin terutama untuk meningkat majukan perniagaan atau perusahaan diceburi.
Beliau berkata, usaha itu amat perlukan dilakukan kerana
perniagaan atau perusahaan mereka ceburi, kerajaan negeri akan menjadikan
antara contoh terbaik kepada penduduk di kawasan lain di samping menjadi
pendorong untuk lebih berjaya.
Menurutnya, selain itu geran berkenaan juga bagi menyedarkan sesetengah pihak termasuk penduduk bahawa kerajaan sekarang sentiasa mengambil berat bagi membela nasib rakyat yang berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf hidup.
![](https://media.wepg.online/public/images/user_18250/1737947768_270125110116080000006796fa784bb5d.jpg?x-oss-process=image)
Abdul Razak Abdul Rahman menandatangani plak Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) selepas menyerahkan sumbangan geran SejaTi Madani di Homestay JTI.
Jelasnya, dalam belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan memberikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion untuk program berkenaan dengan memperhebat jalinan kerjasama lebih meluas membabitkan pengurusan tertinggi jabatan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat Madani.
“Usaha kerajaan ini bukanlah omong kosong malah membuktikan
kesungguhan kepemimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri untuk membela
nasib rakyat dalam kalangan pelbagai komuniti serta penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan geran RM10,000 kepada pengusaha Homestay Jas Telaga Inn (JTI), Umi Kalsom Buang, di Kampung Telok Mas pada 22 Januari 2025.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah JTI, Azadi Mohd Diah; Tok Sidang Bukit Punggur dan Telok Mas; ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Bukit Punggur serta Telok Mas; ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Dun Telok Mas; dan Iman Satu Masjid Telok Mas.
Pada majlis itu Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Telok Mas, menyertai penduduk dalam majlis tahlil dan kesyukuran serta menyantuni 34 pelajar tahfiz al-Quran dengan diakhiri bacaan doa dipimpin oleh mantan Tok Sidang, Mohd Diah Yunus.
![](https://media.wepg.online/public/images/user_18250/1737947736_270125110115360000006796fa581e7be.jpg?x-oss-process=image)
Abdul Razak menerima cenderamata daripada Azadi Mohd Diah (empat dari kanan) sambil diiringi Umi Kalsom Buang (kanan) dan tetamu jemputan pada majlis penyerahan sumbangan geran Program SejaTi Madani, di Homestay JTI, Telok Mas.
Abdul Razak turut melahirkan rasa bangga dengan kewujudan
Homestay JTI di kampung berkenaan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari
luar Melaka untuk menginap di situ ketika hadir bercuti bersama ahli keluarga.
Beliau berkata, Homestay JTI itu membuka lembaran baharu
serta secara tidak langsung termasuk dalam industri pelancongan kerana
menyediakan tempat penginapan yang selesa dalam desa untuk dihuni pelancong
luar apabila setiap kali mengunjungi Bandaraya Melaka Bersejarah
“Saya berharap pengurusan Homestay JTI terus meningkatkan mutu perkhidmatan terutama selepas menerima sumbangan geran ini malah mampu menjadi ‘role model’ kepada industri homestay di negeri ini malah dalam kawasan Dun Telok Mas,” ujarnya lagi.
![](https://media.wepg.online/public/images/user_18250/1737947792_270125110116320000006796fa905caa4.jpg?x-oss-process=image)
Umi Kalsom, Azadi dan Mohd Diah Yunus (kanan) merakam kenangan bersama Abdul Razak (dua dari kiri).
Sementara itu, Umi Kalsom berkata, Homestay JTI mula
beroperasi sejak 13 tahun lalu dengan melalui beberapa fasa pengubahsuaian bagi
memenuhi cita rasa penghuni yang sering menjadi tumpuan pada musim cuti
persekolahan, cuti perayaan dan hujung minggu.
Menurutnya, homestay itu kini menyediakan lima bilik berhawa
dingin dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas, satu bilik mesyuarat,
karaoke, bersukan, satu asrama untuk memuatkan 15 hingga 20 penghuni, surau
serta kolam mandi.
Tambahnya, sebagai negeri bersejarah dan pelancongan, JTI
turut menyediakan pakej bagi membawa melawat tempat-tempat peninggalan sejarah,
menaiki kereta lembu, kereta kuda mengelilingi kampung dan sebagainya apabila
mendapat permintaan daripada penghuni.
“Saya akan memanfaatkan sumbangan geran ini supaya dapat terus membantu kerajaan negeri meningkatkan industri pelancongan serta menyediakan kemudahan tempat penginap yang selesa kepada pelancong,” katanya. - KitaReporters
![](https://media.wepg.online/public/images/user_18250/1737947768_270125110116080000006796fa783fb20.jpg?x-oss-process=image)
Abdul Razak turut menyertai majlis tahlil dan kesyukuran serta menyantuni pelajar tahfiz al-Quran.