Ayuh sertai Gotong Royong Madani! Taman Perumahan Seksyen 7 Platinum, Shah Alam! 22 Okt 2023!
Published byPersatuan Penduduk Seksyen 7 Platinum (PP7P), Shah Alam akan mengadakan Program Gotong Royong Madani pada 22 Oktober 2023, Ahad ini. Gotong royong yang di kawasan perumahan itu akan bermula pada jam 8 pagi dan dijangka tamat jam 12 tengah hari.
Seorang wakil penduduk memberitahu, penduduk PP7P diminta berkumpul di padang permainan di Jalan 7/50 untuk mendengar taklimat dan agihan kerja. Gotong royong akan dimulakan di kawasan atau lorong rumah masing masing khususnya di lorong belakang rumah.
Penduduk juga digalakkan membawa makanan secara potluck untuk dikongsi bersama bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk dan memeriahkan suasana gotong royong.
Secara tidak langsung program ini diharap dapat mempertemukan jiran tetangga kerana kesibukan bekerja serta mencapai objektifnya iaitu mewujudkan persekitaran PP7P yang bersih dan bebas denggi.
Wakil penduduk berkenaan juga memberitahu, "tumpuan pembersihan adalah di sekitar blok dan lorong masing-masing terutama di lorong-lorong belakang.
"Ini kerana keadaan lorong belakang rumah sering terlepas pandang untuk dibersihkan, jadi dengan adanya gotong royong ini, penduduk boleh bekerjasama untuk membersihkan kawasan berkenaan dan menjadikan lorong belakang rumah lebih kondusif dan bersih."
Menurut beliau, lorong belakang juga sering tidak terjaga, kotor dan menjadi tempat kucing kucing liar membiak dan membuang najis. Juga mungkin terdapat haiwan lain seperti biawak dan ular yang mendiami tempat tempat yang tidak dijaga dan penuh semak.
Persekitaran yang kotor juga boleh membawa pelbagai penyakit yang membahayakan penduduk setempat.
Justeru, wakil penduduk Taman Perumahan Seksyen 7 Platinum, Shah Alam ini menjemput semua penduduk setempat keluar beramai-ramai untuk sama-sama menjayakan gotong royong Madani demi kesejahteraan bersama.
Semoga dengan adanya program seumpama ini ukhuwah antara penduduk akan lebih erat, di samping persekitaran yang bersih menjamin kesihatan penduduk. - KitaReporters
Tamat.