Apakah anda sudah lama  menyimpan hasrat untuk menunaikan haji atau umrah buat diri sendiri dan keluarga atau lebih-lebih lagi mahu membalas jasa ibu bapa yang telah membesarkan anda sedari kecil hingga berjaya?

Tetapi apabila mengenangkan masalah kewangan yang tidak pernah cukup bagaimana boleh anda tunaikan impian untuk menghantar ibu bapa ke Mekah sedangkan untuk diri sendiri pun tak lepas apatah lagi jika sudah berkeluarga, banyak tanggungjawab perlu dipikul.


TermeterInya MoU bersama Andalusia dan HLISB.


Apa pun, usah khuatir kerana kini, segala kehampaan dan kerisauan itu sudah boleh diketepikan malah boleh ditunaikan dengan wujudnya skim Pembiayaan Peribadi-i, hasil kerjasama antara pengendali pakej ibadah haji dan umrah terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) yang selesai memeterai Perjanjian Kerjasama (MoU) bertempat di Menara Hong Leong, Bukit Damansara pada Rabu, 17 Januari 2024.

Melalui kerjasama itu, HLISB akan melengkapkan pakej Umrah Andalusia dengan rangkaian produk perbankan Islam yang komprehensif, sejajar dengan komitmen bank untuk menegakkan nilai Islam dalam sistem perbankan dan memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan Muslim yang pelbagai.

“Pekej pembiayaan ini adalah berlandaskan kepada hukum 'murabahah tawarruq’ yang membolehkan mereka yang layak di bawah hukum istito'ah untuk pergi umrah atau haji dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh,” ujar Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris selepas majlis menandatangani Memorandum Persahaman (MoU) antaran HLISB dan Andalusia tersebut. 

Turut hadir Pengerusi HLISB, Datuk Seri Dr Md Hamzah Md Kassim dan Pengerusi Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah; Ahli Jawatankuasa Syariah HLISB, Dr Razli Ramli; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Hong Leong Bank (HLB), Zalman Zainal dan Pengarah Urusan Pinjaman Peribadi HLB, Andrew Jong. 


Dari kiri: Dr. Razli Ramli, Md Daud Che Ngah, Ida Riswana Idris, Dafinah Ahmed, Dr. Md Hamzah Md Kasism, Zalman Zainal dan Andrew Jong.


Menurut Ida, beliau percaya kolaborasi ini sangat tepat pada waktunya di mana umat Islam boleh mendapatkan cara yang memudahkan mereka untuk mencapai objektif mereka mengerjakan ibadah umrah dan haji.

Kerjasama ini membolehkan umat Islam yang merancang ziarah umrah dengan membiayai perjalanan mereka mengikut prinsip syariah melalui menggunakan tawaran kewangan HLISB, khususnya pakej Pembiayaan Peribadi-i dan Akaun Pay & Save-i. 

“Sebenarnya, ada banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam terutama kepada golongan yang mempunyai pendapatan tetap kerana skim pembiayaan ini adalah satu bentuk perancangan kewangan yang boleh mendisiplinkan  umat Islam dalam merancang. 

Waktu perlaksanaan ibadah umrah dan haji pada waktu usia muda dengan komitmen bayaran bulanan serendah RM125 sahaja selama 5 tahun,” tambah Ida.



Sementara itu, berkongsi lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed (kanan) memberitahu, Pembiayaan Peribadi-i HLISB menawarkan pembiayaan patuh syariah kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan agama mereka, yang disertakan dengan rebat untung “Bayar Tepat Masa" sebanyak 60% dan pin tambah nilai e-dompet Touch n Go RM50 dengan setiap permohonan yang berjaya.

Jelasnya, Akaun Pay & Save-i pula menyediakan keuntungan sehingga 4.15% setahun di atas baki akaun waima akaun ini mempunyai ciri Mata Wang Pelbagai di mana ia membolehkan perbelanjaan mata wang asing dengan Kad Debit HLB, mengeluarkan mata wang asing daripada ATM luar negara, dan penukaran terus mata wang Ringgit Malaysia kepada mata wang asing pada kadar yang kompetitif melalui HLB Connect.

“Sebagai pengantara kewangan, kami komited untuk membentuk penyelesaian kewangan yang memenuhi gaya hidup pelanggan masing-masing, selaras dengan janji kami untuk menjadi Bank yang berpusatkan keperluan pelanggan,” tambah Dafinah.

Dianggarkan ketika ini, hanya 270,000 orang iaitu 1.18 peratus dari penduduk Malaysia beragama Islam yang menunaikan ibadah umrah setiap tahun. 



Bagi ibadah haji pula, peratus yang boleh mengerjakan haji sangat terbatas disebabkan oleh kuota haji dari Saudi dan dikawal di bawah Lembaga Tabung Haji (TH) yang mana tahun ini kuota yang ditetapkan adalah 31,600 jemaah sahaja yang layak.

Dan memandangkan peluang untuk mengerjakan haji sangat sukar kerana perlu mengikut giliran yang ditetapkan, ada ramai umat Islam di Malaysia yang tidak pernah mengerjakan ibadah umrah atau haji walaupun pada akhir hayat, mereka berjaya mengumpul kewangan secukupnya atau pun disebabkan kehabisan wang simpanan.

“Jadi, bagi mereka yang masih muda dan berkelayakan, rebutlah peluang daripada kerjasama antara HLISB dan Andalusia ini bagi menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang kelima ini atau untuk memijak bumi Tanah Suci Mekah dengan menunaikan umrah.” sambung Ida. - KitaReporters


13
15
0
11
0

Copy Link: