Tolong kami! Bantu PERSENI! Perlu RM3j bantu 200 anak yatim! Taja kelas bimbingan al-Quran, tuisyen!
Published byPERSATUAN Bina Seni dan Budaya (PERSENI) berharap dapat mengumpul dana RM3 juta bagi menaja 200 anak yatim di sekitar Selangor terutama di Lembah Klang bagi membolehkan mereka mendapat bantuan bersasar bagi meneruskan kehidupan selepas kematian tempat mereka bergantung sama ada ayah atau ibu.
Tajaan berkenaan akan memberi fokus kepada keperluan pendidikan sama ada pada peringkat rendah atau menengah selain pembangunan sahsiah anak-anak yatim itu.Ahli Lembaga Pengarah PERSENI, Ali Karimi Abd Rahman, berkata antara inisiatif yang bakal diberikan kepada anak-anak yatim itu ialah mengikuti kelas-kelas bimbingan al-Quran atau tuisyen, kem motivasi remaja, memiliki simpanan SSPN, bantuan awal persekolahan dan duit raya sempena Aidilfitri.Anak-anak yatim yang menerima sumbangan bergambar kenangan bersama Saiful Apek (kiri) dan pengurusan PERSENI sempena Kempen Jalinan Kasih Anak Yatim di pejabat PERSENI di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Ali Karimi berkata, usaha yang digerakkan oleh PERSENI itu bagi membolehkan mereka mengumpul dana daripada masyarakat dan mengagih-agihkan kepada masyarakat yang memerlukan.
Cuma persatuan itu menggunakan cabang seni terutama dalam kalangan artis untuk menjalankan aktiviti kebajikan itu kerana mereka mempunyai ramai peminat dan dikenali masyarakat.
"Kita ada ramai insan seni dan pempengaruh yang ikhlas membantu dan impak daripada mereka sangat besar, sama seperti dilakukan oleh penghibur Alif Sattar dalam kempen solat Subuh seperti Jumaat yang mendapat sambutan hebat di Malaysia, Brunei dan Singapura.Ali Karimi Abd Rahman
"Inilah yang kami mahu lakukan dengan membabitkan insan seni untuk kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan. Insya-Allah apa yang mereka lakukan adalah usaha murni dan menjadikan mereka lebih diminati bukan sahaja kerana pembabitan dalam bidang seni tapi kerja-kerja kebajikan.
"Saya berharap usaha dilakukan oleh PERSENI ini mendapat sambutan dan maklum balas baik masyarakat. Sekurang-kurangnya kami ada jawapan di hadapan Allah kelak apabila ditanya apa yang dilakukan untuk membantu sesama manusia di dunia ini," katanya ketika merasmikan kempen Jalinan Kasih Anak Yatim (JALIN) bersama media dan insan seni di pejabat persatuan itu di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.Saiful Apek (empat dari kanan) bergambar bersama Ali Karimi Abd Rahman (tiga dari kanan) dan pengurusan PERSENI.
Bagi Pengurus PERSENI, Ustaz Najid Jamalullail, kempen itu bagi membantu anak-anak yatim yang dijaga keluarga terdekat sama ada ibu, ayah, nenek saudara mara atau adik beradik mereka.
Beliau berkata, kempen seumpama itu perlu bagi memberi peluang lebih ramai masyarakat membantu kerana selama ini badan bukan kerajaan (NGO) hanya fokus kepada rumah anak-anak yatim, pusat ibu tunggal atau OKU tapi bagaimana dengan mereka yang tinggal di rumah dengan ibu, ayah, nenek atau saudara mara lain selepas salah seorang tempat pergantungan meninggal dunia.Ustaz Najid Jamalullail
"Sempena kempen ini, kami meraikan 15 anak-anak yatim di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang yang tinggal di rumah bersama ibu, nenek dan saudara mara mereka. PERSENI turut memberi tajaan RM3,000 setahun kepada mereka untuk tempoh lima tahun bagi membiayai pendidikan terutama pembangunan sahsiah.
"Melalui tajaan itu, mereka dapat mengikuti kelas-kelas al-Quran mingguan, kelas tuisyen untuk ulang kaji pelajaran, simpanan SSPN untuk membolehkan mereka menyambung pengajian ke luar negara selain duit raya."Sebelum ini kami menaja tujuh anak-anak yatim yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur tahun lalu (2023) dan jumlah keseluruhan ialah seramai 22 orang," katanya.Ali Karimi menyerahkan sumbangan senashkah al-Quran kepada seorang anak yatim sempena Kempen Jalinan Kasih Anak Yatim.
Sementara itu, pelawak Saiful Apek gembira dapat hadir bagi memberi sokongan kepada PERSENI bagi mendapat sumbangan masyarakat membantu anak-anak yatim di Lembah Klang yang tinggal di rumah selepas kematian tempat mereka bergantung sama ada ayah atau ibu.
Beliau turut menceritakan kehidupan kecilnya yang dibesarkan keluarga angkat dan hanya tahu perkara itu apabila ibu angkatnya meninggal dunia pada 1990, ketika itu Saiful Apek berusia 21 tahun."Bermula episod itu, saya mencari keluarga kandung dan akhirnya berjumpa mereka di Cheras. Emak memeluk saya dan meminta maaf kerana menyerahkan kepada keluarga angkat akibat kesempitan hidup dan saya reda dengan ketentuan Allah."Saya juga dapat berjumpa enam adik beradik kandung yang wajah mereka sama macam saya, seperti satu acuan," katanya sambil ketawa.
Saiful Apek
Saiful Apek atau nama penuhnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff yang hadir bersama isterinya Roslina Abu Hassan mengakui banyak terbabit dalam aktiviti kebajikan bersama insa-insan seni lain terutama membantu golongan asnaf, anak-anak yatim, OKU, aktivis haiwan dan gelandangan.
"Saya rasa seronok melakukan kerja-kerja kebajikan ini sebab itu bila PERSENI jemput saya ke sini, saya menerima dengan hati terbuka dan berharap lebih ramai rakan-rakan seperjuangan dapat bersama melakukan usaha murni ini kerana inilah sumbangan yang mungkin dapat menjadi amal ibadat dan pahala apabila kami meninggal dunia nanti.
"Saya akan meneruskan usaha kebajikan dan kerja-kerja seni ini dan moga ada pelapis yang menyambung legasi ini bagi membolehkan lebih ramai memberi sumbangan. Tidak ada yang miskin dengan membantu memberi sumbangan malah Allah akan melipat ganda rezeki mereka," katanya.
Saiful Apek bergambar bersama satu keluarga anak-anak yatim.
Orang ramai yang mahu tahu mengenai kempen Jalinan Kasih Anak Yatim anjuran PERSENI dan memberi sumbangan, boleh menghubungi talian 010-3317616 atau e-mel: [email protected] atau datang sendiri ke PERSENI di No 6, Medan Pusat Bandar 1, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor. - KitaReporters
Pelawak, Saiful Apek tidak pernah menghampakan peminat yang mahu bergambar kenangan bersamanya.