Kisah di sebalik tirai| Penghuni Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah bersyukur! Dapat kasih sayang!
Published byBilik bilik penghuni di kiri kanan. Konsep seperti hospital.
Kita tidak pernah tahu apa yang telah Allah takdirkan untuk kita dalam hidup ini. Adakalanya takdir dan perancangan Allah itu banyak hikmahnya buat kita, sedangkan kita sendiri tidak tahu kebaikan sesuatu perkara yang terjadi itu.
Menjalani kehidupan pada usia tua di rumah penjagaan warga emas bukan sesuatu yang dinginkan oleh sesiapa pun. Namun apabila takdir telah menentukannya mereka insan terpilih untuk laluinya, mereka harus pasrah dan menerima suratan kehidupan ini dengan reda dan bersyukur.
Biasanya jika kita menyebut mengenai rumah penjagaan warga emas, pasti yang berlegar pada minda kita ialah penghuninya dibuang keluarga, mereka tidak ada saudara mara, gelandangan dan sebagainya.
Namun realitinya rumah ini telah menjadi rumah kedua dan syurga bagi mereka yang sudah tidak punya waris terdekat atau tidak dapat dijaga waris kerana sebab-sebab tertentu seperti kemiskinan waris, masalah menjaga warga emas yang perlukan perhatian sedangkan waris perlu mencari nafkah membiayai keluarga dan pelbagai alasan lagi.
Pengurus Pusat Jagaan Bait Al-Mawaddah bermesra dengan penghuni
Mural di Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah
Beberapa otrang penghuni daripada pusat jagaan warga emas Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau dikenali sebagai Kompleks Warha Emas Bait Al-Mawaddah, menyatakan perasaan gembira dapat berlindung di pusat jagaan ini.
Rata-rata mengatakan tempat ini bukan sahaja memberi perlindungan terbaik, makan minum yang cukup, memberi penjagaan penuh kasih sayang dan prihatin, tetapi mereka juga di ekalkan dengan ilmu akhirat sebagai pengisian masa tua mereka. Hidup di sini penuh aktiviti yang bermanafaat.
Puan Aida dah tinggal di Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah selama lebih 6 tahun
Bagi seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Aida, 65 tahun, memberitahu, beliau telah tinggal di pusat jagaan warga emas itu sejak 6 tahun yang lalu.
Aida seorang mualaf berasal dari Filipina dan berkahwin dengan warga tempatan dan memeluk agama Islam 40 tahun lalu. Beliau bercerai selepas 20 tahun berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Selepas bercerai beliau meneruskan kehidupan sebagai seorang mualaf seorang diri dengan membuat pelbagai pekerjaan untuk menyara hidupnya. Beliau telah dibawa oleh sebuah NGO ke Baitus Salam iaitu sebuah tempat perlindungan mualaf yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Beliau kemudiannya di hantar ke Bait Al Mawaddah untuk tinggal di sana.
Bercerita mengenai kehidupannya di Bait Al-Mawaddah, Aida memberitahu, tempat ini adalah tempat terbaik yang menyediakan pelbagai keperluan rohani dan Jasmani penghuninya.
Baginya, sebagai mualaf walaupun beliau pernah berkahwin dengan seorang lelaki Muslim, malangnya beliau tidak dididik dengan cara Islam. Malah banyak perkara beliau tidak tahu sewaktu berkahwin selama 20 tahun dengan lelaki Islam berkenaan.
"Saya tak tau solat, saya juga tak tau yang masa puasa ada niat tertentu dibaca, Islam saya hanya pada nama dan ikut ikut sahaja. saya memang tak tau semua tu,"
Menurut Aida lagi, di Bait Al-Mawaddahlah beliau belajar mendalami Islam dengan sebenar benarnya dan telah mendapat "ketenangan yang sukar digambarkan".
Sementara itu seorang lagi penghuni bernama Sapiah Razin atau Cik Piah, 59 tahun, adalah seorang penulis bebas yang telah berkhidmat dengan beberapa media cetak. Beliau dimasukkan ke Bait Al Mawaddah 8 bulan lalu kerana tidak mempunyai waris.
Piah berasal dari Sabah dan adalah keturunan Dusun. Beliau pernah berkahwin tetapi juga tidak mempunyai anak. Sebelum masuk ke Pusat Jagaan ini Cik Piah terlantar sakit selama sebulan dan menumpang di rumah seorang kawannya.
Menurutnya kawan berkenaan banyak membantunya waktu sakit sehinggalah beliau dapat tinggal di Bait Al-Mawaddah. Piah rasa sangat bersyukur dapat tinggal di pusat jagaan warga emas ini kerana segala keperluannya dijaga dengan baik.
"Saya rasa terharu sangat layanan baik yang diberikan pada saya di sini". Beliau yang pernah menulis di beberapa majalah keluaran Karangkraf memberitahu, kehidupan di dalam rumah penjagaan ini sangat baik./
"Bagi saya yang tidak ada waris, rasa sangat bersyukur kerana pada usia tua, saya dapat menghabiskan sisa hidup dengan berkualiti dan paling penting mengisi masa dengan perkara yang baik dan amal ibadat yang berterusan," katanya.
Bagi Salmah Sapuan, anak jati Kuala Lumpur yang berusia 65 tahun, tidak berkahwin dan mengalami masalah penglihatan yang tidak jelas dan kabur, memberitahu kehidupannya sebagai asnaf dan fakir sangat sukar di kota besar Kuala Lumpur.
Beliau yang selama ini menjaga arwah ayahnya sehingga arwah ayahnya meninggal dunia pada usia 85 tahun memberitahu, beliau tidak berkahwin kerana berkorban menjaga arwah ayahnya setelah arwah ibunya meninggal dunia pada usia 50 tahun. Selepas arwah ayahnya meninggal Salmah tinggal bersama arwah adik lelakinya yang baru meninggal dunia sebulan yang lalu.
Bagi Salmah tempat ini umpama syurga baginya kerana beliau dapat ramai kawan, makan minum terjaga dan dapat belajar agama sebagai pengisian rohaninya.
Salmah memberitahu, banyak hikmah bila dia dihantar ke pusat jagaan warga emas itu kerana waris-warisnya juga tergolong dalam orang-orang asnaf yang miskin bandar.
Salmah juga memberitahu dia kagum dengan sikap dan kesabaran kakitangan di tempat ini yang terdiri daripada orang orang muda yang sentiasa bersabar dengan karenah orang orang tua di situ.
Begitulah kisah beberapa warga emas yang berada di Kompleks Warga Emas Bait Al Mawaddah di Jalan Kebun, Klang. Apa yang mereka ceritakan memberikan persepsi bahawa tinggal di rumah penjagaan warga emas bukan sesuatu yang menyedihkan.
Malah kehidupan mereka lebih terjamin untuk mengharungi usia tua dan dapat mengisi kerohanian sebagai bekal mereka nanti. Hidup mereka lebih tenang dan terjamin.
Kisah seterusnya adalah di beberapa buah rumah penjagaan warga emas lain yang tidak kurang menarik kisahnya. - KitaReporters
Bilik kuliah
Suasana yang tenang di sekitar kawasan Kompleks Warga Emas Bait Al-Wawaddah di Jalan Kebun, Klang.