Jom Sihat Sepanjang Hayat! Usaha KRT, KKM tingkat penjagaan kesihatan penduduk! Gaya hidup sihat!
Published byKEMPEN Jom Sihat Sepanjang Hayat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara lain adalah usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup tidak sihat.
Menerusi kempen berkenaan penduduk di komuniti terbabit berpeluang membuat saringan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tidak menghidap penyakit berbahaya di samping itu untuk menggalakkan mereka mengamalkan amalan dan cara hidup mempromosi kesihatan.
Sehubungan itu, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan
Negeri (DUN) N24 Semenyih dan Klinik Kesihatan Semenyih menganjurkan program
‘Jom Sihat Sepanjang Hayat’ Senamrobik dan Pemeriksaan Kesihatan di Dewan
Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Sri Tanjung, Semenyih, Selangor
pada 6 Oktober 2024.
Program dianjurkan bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatanj Semenyih itu mendapat kerjasama Komuniti Madani Semenyih Sentosa, KRT Pekan Semenyih dan KRT Taman Sri Tanjung, Semenyih, Selangor.
Karim Rabu
Pengerusi KRT Taman Sri Tanjung, Semenyih yang ditemui,
Karim Rabu, berkata program julung kali diadakan itu menarik perhatian serta
tumpuan lebih 200 penduduk di taman berkenaan dan sekitarnya apabila datang
awal pagi untuk melakukan saringan kesihatan.
Menurutnya, ini secara tidak langsung menunjukkan penduduk
makin sedar akan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan
mereka benar-benar sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya.
Tambahnya, bagi gerakan KRT sentiasa mengambil berat kehidupan serta kesejahteraan penduduk dan memberi galakan untuk mereka mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan kesihatan apatah lagi apabila ia diadakan secara percuma berbanding bayaran yang dikenakan sesetengah hospital atau klinik swasta.
Seorang penduduk membuat saringan kesihatan pada program berkenaan.
“Di samping pemeriksaan kesihatan penduduk diberikan
penerangan atau kaunseling ringkas mengenai langkah menjaga kesihatan,
pemilihan makanan sihat, cara pemakanan ubat yang betul dan sebagainya untuk
mengelak melakukan kesilapan,” ujarnya.
Program berkenaan yang berjaya menarik perhatian penduduk
dimulakan pada awal pagi dengan senamrobik dan diikuti kemudiannya pemeriksaan
kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dan kolesterol dalam darah, berat
badan dan BMI.
Selain itu turut diadakan pemeriksaan untuk wanita iaitu pap smear/HPV, klinikal payu dara, pemeriksaan kanak-kanak, teknik urutan, mengawal stres, ceramah kesihatan, kuiz dan pameran berkaitan kesihatan.
Program yang turut mendapat kerjasama serta sokongan Jawatankuasa Kejiranan KRT taman berkenaan turut mengadakan pertandingan gubahan bunga, membuat pulut hiasan dan mewarna membabitkan kanak-kanak berusia antara empat tahun dan lima tahun.
Penduduk Taman Sri Tanjung, Semenyih, Selangor dan sekitarnya mendengar ceramah kesihatan yang diadakan dalam program Jom Sihat Sepanjang Hayat.
Pegawai Pejabat Penyelaras DUN Semenyih, Azman Ahmad yang turut ditemui pada program itu, menjelaskan Penyelaras DUN Semenyih iaitu ADUN Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz turut memberi perhatian serta tanggungjawab bagi membantu penduduk meningkatkan taraf kesihatan.
Menurutnya, walaupun bukan dalam kawasan DUN beliau, Johan tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat membantu penduduk pelbagai kaum kerana mahukan mereka menitikberatkan masalah menjaga kesihatan diri dan keluarga, melakukan aktiviti untuk sihat disamping menikmati kemudahan disediakan kerajaan.
Tambahnya, program diadakan itu banyak memberi manfaat kepada penduduk termasuk meringankan bebanan mereka dalam mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma tanpa bersusah payah ke satu-satu tempat yang mungkin menyukarkan.
“Program seperti ini juga secara tidak langsung merapatkan hubungan muhibah antara penduduk berbilang kaum apabila dapat berjumpa di satu tempat dengan tujuan yang sama iaitu bagi meningkatkan taraf kesihatan,” ujarnya.
Azman Ahmad menyantuni Ahli Jawatankuasa Kejiranan KRT Taman Sri Tanjung yang berganding bahu menyediakan sarapan dan minuman.
Kakitangan pejabat kesihatan memberi kaunseling ringkas dan nasihat kepada penduduk yang membuat pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kejiranan KRT taman berkenaan, Aizam Ambak, berkata dia bersama ahli lain bertungkus lumus awal pagi menyediakan minuman dan sarapan kepada petugas klinik kesihatan serta penduduk yang datang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
Menurutnya, sumbangan tenaga sukarela itu melancarkan
program berkenaan termasuk membantu penduduk untuk memasuki dewan bagi
mendengar ceramah kesihatan serta berkongsi masalah mengenai penyakit
berbahaya.
“Penduduk pula sentiasa memberi kerjasama, mengikut arahan dan beratur di setiap meja bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana program yang diadakan Ini adalah untuk kebaikan mereka bersama keluarga,” katanya. - KitaReporters
Aizam Ambak (kiri) mengiringi Karim melihat petugas membuat pemeriksaan kesihatan.