Baca al-Quran dan amalkannya! Al-Quran harus sebati dalam diri kita! Nasihat Allahyarham Pak Su Mid!
Published byAllahyarham Tok Guru Pak Su Mid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Ismail
HUJAN gerimis yang membasahi bumi Kedah pada petang Jumaat, 11 November 2022 seakan-akan memberi petanda. Ada khabar sedih menanti.
Duka tidak dibendung pada saat perkhabaran tentang kematian ulama tersohor Kedah, Tok Guru Pak Su Mid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Ismail pada hari Jumaat yang mulia itu.
Pemergian husnul khatimah yang menjadi idaman semua, Tok Guru kesayangan ramai itu diberitakan meninggal dunia selepas waktu maghrib di sebuah pusat perubatan swasta dekat Alor Setar akibat sakit tua.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ulama-ulama
Anak kedua Allahyarham, Pirdaus Abdul Hamid, 41, berkata, Allahyarham sudah tiga minggu tidak sihat dan terlantar sebelum menghembuskan nafas terakhir itu.
“Arwah memang sudah bagi isyarat tidak mahu ke hospital sejak tiga minggu lalu tapi kami ahli keluarga ikhtiar juga untuk menghantar ke hospital namun sudah tiba masanya, kami terima," ujarnya.
Tambahnya, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun pada pukul 10 pagi, Sabtu, 12 November 2022 iaitu di daerah kelahirannya hampir 100 tahun lepas.
Menurut anaknya itu lagi, ketika hayat Allahyarham masih ada beliau sering menasihatkan umat Islam termasuk tetamu yang menziarahinya tentang kepentingan membaca al-Quran dan mengamalkannya.
Demikian juga amalan Tok Guru ini sehingga hayat terakhirnya, kata Pirdaus.
"Arwah waktu sakit pun tak tinggal al-Quran walaupun dia tak boleh baca, rakaman bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu arwah akan selalu minta kita pasang kerana arwah dengar. Bagi arwah al-Quran tu sebati," katanya.
Allahyarham Paksu Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat berusia 60-an, tiga anak bersama 10 cucu.
Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 di Ayer Hitam, Jerlun. Namun banyak yang beranggapan umurnya hampir 100 tahun kerana satu kebiasaan bagi orang dulu-dulu yang lewat mendaftar kelahiran.
Allahyarham juga terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang disampaikan secara mendalam dan penuh kiasan.
Bukan hanya rakyat marhein, Pak Su Mid juga menjadi rujukan orang kenamaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menziarahi beliau.
Malah Tun M juga menziarahi jenazah Allahyarham ketika dikebumikan di Masjid Ayer Hitam Jerlun, pagi 12 November 2022 di sebalik kesibukan jadual kempennya untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Antara amalan Allahyarham ialah tidak pernah meninggalkan puasa sunat sejak 30 tahun lepas dan sering berwuduk.
Antara kitab yang menjadi rujukan Pak Su Mid ialah Hilyatul Auliyak, Futuhat Makkiyah Ibn Arabi dan Khozinatul Asror. - KitaReporters