Video| Pelik tapi benar! Gali terowong sedalam 3m, sepanjang 12m! Untuk laluan rumah ke bangsal!

Published by
KitaReporters

COLIN Furze menggunakan tenaga tulang empat kerat ketika kerja-kerja peringkat awal menggali terowong dari rumahnya ke bangsal. - Kredit foto: Bav Media/Splash News.com


‘TAK ada beban mencari beban, pergi ke sungai batu digalas’. Peribahasa ini menggambarkan seseorang yang tidak ada kerja bermanfaat tetapi sengaja mencari susah dengan melakukan kerja sia-sia.

Namun lain halnya dengan Colin Furze, 42, dari Lincolnshire, England. Bagai tiada kerja lebih penting, dia menggali terowong bawah tanah sedalam tiga meter dan sepanjang 12 meter di halaman rumahnya.

Memetik Mirror UK, tujuannnya semata-mata agar dia tidak ditimpa hujan ketika berjalan menuju ke bangsal berhampiran rumahnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkara-perkara pelik

COLIN Furze bergaya dalam terowong yang cantik (kiri) dan aksi ketika bekerja menggali. - Kredit foto: Bav Media/Splash News.com


Kelakar dan pelik bukan? Sedangkan dia boleh sahaja menggunakan payung atau membina laluan kaki berbumbung di atas tanah.

Tentulah kerja itu lebih mudah berbanding menggali terowong yang mengambil masa dua tahun. Untuk melaksanakan kerja ini, Furze menggali dan mengalihkan sebanyak tiga setengah tan tanah dalam sehari tanpa rasa penat dan jemu.

Walau nampak pelik, dia menganggap menggali tanah sesuatu yang sangat seronok. Hasil usaha bersungguh-sungguh, dia berjaya menyiapkan terowong berkenaan yang memudahkan perjalanan dari rumah ke bangsal dan sebaliknya.  

Menurut Furze, cara terpantas ke bangsal dari rumahnya ialah melalui pintu belakang. Namun kini dengan adanya terowong tersebut pergerakannya lebih mudah dan cepat.



Dia yang juga aktif dalam media sosial You Tube, memberitahu ideanya yang dianggap pelik itu mendapat reaksi positif daripada para pengikut saluran You Tubenya. Sehingga ini ia dilaporkan meraih enam juta tontonan.

Ramai beranggapan ideanya hebat dan mereka suka dengan apa yang dia lakukan. Furze percaya ramai lagi yang mempunyai idea pelik seperti dia untuk melakukan kerja-kerja yang dianggap luar biasa. Namun mereka tidak dapat melakukan kerana kekangan masa dan wang.


BALDI-baldi yang dipenuhi tanah yang digali oleh Colin Fuzer untuk membuna terowong.


Pada peringkat awal, Furze melalukan kerja penggalian pada 2018 dengan tenaga tulang empat keratnya menggunakan penyodok dan baldi. Dia menggunakan sistem puli (pulley) untuk membawa keluar tanah yang digali.

Bayangkan betapa sukar dan beratnya melakukan kerja ini seorang diri. Dia melakukannya ketika jiran-jiran keluar bekerja supaya tidak menganggu mereka dengan bunyi bising. Furze mengambil masa lebih kurang setahun untuk menggali pada kedalaman tiga setengah meter.


PINTU laluan terowong dari rumah Colin Fuzer ke bangsal tidak jauh dari rumahnya.


Mungkin kerana kepenatan menggunakan cara manual ini, dia mengubah cara penggalian secara moden.  Mulai Mac 2021 meneruskan menggali menggunakan mesin hidraulik, mengambil masa setahun sehinggalah siap pada Mac 2022.

Kini Furze boleh berbangga kerana apa yang diidamkan dan diusahakan sudah siap. Impiannya mempunyai terowong sudah menjadi kenyataan. Laluan terowong juga dihias cantik.

Tetapi berapa kerapkah dia akan menggunakan terowong itu untuk berulang alik dari rumah ke bangsal? Tidak kisahlah. Yang pasti hatinya puas kerana penat lelah menjadi kenyataan. - KitaReporters


 

21
10
0
8
0

Copy Link: