SENEGAL 'NEVER WALKS ALONE'!! SADIO MANE ADA!
Published by‘TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang ingat dan berbakti kepada tanah tumpah darah, apatah lagi setelah mendapat rahmat ‘hujan emas di negeri orang’? : KitaReporters
SADIO MANE (depan) dalam satu aksi perlawanan bola sepak melibatkan pasukannya, Liverpool. - Kredit foto: Bleach Report.
SENEGAL terletak di barat Afrika. Ibu negaranya Dakar. - Kredit foto Google Map
Ikutilah contoh pemain penyerang pasukan kelab bola sepak Liverpool, Sadio Mane, 27 tahun.
Asalnya seorang anak miskin berasal dari Senegal, sebuah negara miskin di barat Afrika, dia mencapai kecemerlangan sebagai pemain bola sepak profesional dengan pendapatan berjuta-juta pound setahun.
Namun dia anak watan yang baik, tidak pernah melupakan keturunan dan negara asal yang dicintai.
Kejayaan sebagai pemain bola adalah satu rahmat kepadanya. Sebagai seorang Islam dia sangat bersyukur dengan rezeki pemberian Allah.
Kesyukuran ini diserlahkan dengan berkongsi rezeki dengan rakyat di Senegal dalam pelbagai bentuk seperti sumbangan tunai kepada negara dan juga membiayai pembinaan masjid, hospital serta sekolah untuk manfaat rakyat.
SEBUAH sekolah yang dibiayai oleh Sadio Mane di Bambali, Senegal, tempat dia membesar. - Kredit Muslim Feed.com
Dalam gelombang seluruh dunia sekarang sedang ‘berperang’ mengekang penyebaran dan penularan wabak Covid-19, Sadio Mane tidak lupa memberi sejumlah besar sumbangan kepada kepada negaranya atas rasa prihatin kepada kebajikan rakyat dan usaha negara mengekang wabak berkenaan.
Memetik laporan thisisanfield.com, dia yang juga penyerang pasukan kebangsaan Senegal, telah memberi sumbangan 41,000 pound (RM222,000) sebagai bantuan menampung keperluan rawatan dan pencegahan wabak tersebut.
Jelas dia sangat mengambil berat kebajikan negara dan rakyatnya.
Sambil itu dia tidak lupa mengingatkan rakyat mengenai seriusnya bahaya Covid-19 dan menasihatkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta patuh kepada arahan dan perintah kerajaan dalam usaha mengekang wabak tersebut.
Untuk rekod sehingga Sabtu, 18 April 2020, sebanyak 350 kes positif Covid-19 dilaporkan di Senegal dengan tiga kematian. Jumlah yang sembuh pula ialah 211 orang.
SADIO MANE berdoa sebelum perlawanan bermula. - Kredit foto; Reuters.
Pasukan bola sepak Liverpool, termasuk Sadio Mane, memang memberi bantuan pembiayaan makanan bagi mereka yang memerlukan pada waktu mencabar ini di kawasan Merseyside, London.
Namun Sadio tentu tidak lupa membantu negaranya sendiri.
Dia mahu rakyat Senegal bersikap serius terhadap bahaya Covid-19 dan mengingatkan mereka menjaga kesihatan serta membersihkan tangan untuk sekurang-kurangnya 30 saat.
Ini bukan kali pertama Sadio Mane membantu negaranya.
Di kampung halamannya di Bambali, dia membiayai pembinaan sebuah masjid bernilai 250,000 pound (RM1.35 juta), serta membiayai pembinaan sekolah dan hospital.
Bukan itu sahaja, dia juga memberi bantuan bulanan 61 pound (RM330) kepada penduduk di sebuah kawasan paling miskin di Senegal untuk mengurangkan beban mereka menyara keluarga.
SADIO MANE bersyukur setelah menjaringkan gol (kiri) dan bersama rakan-rakan dan penduduk Senegal (kanan). - Kredit foto Muslim.Feed.com
Sikap murah hati Sadio ini mungkin didorong rasa insaf betapa dia dahulu seorang yang miskin sebelum berjaya menjadi bintang bola sepak popular.
Di samping itu juga didorong oleh rasa cintakan tanah air dan rakyat senegera.
Dia juga menjalani kehidupan yang ‘simple’ dan tidak pernah terfikir membeli barang-barang mewah seperti kereta Ferrari atau rangkaian rumah.
Baginya itu tidak penting dan tidak bermakna. Dia juga tidak mahu menunjuk-nunjuk kesenangan hidup.
Menurut Sadio, dia pernah merasai kepayahan dalam hidup.
Kini dengan hasil yang diperoleh bermain bola, dia lebih suka berkongsi apa yang dimiliki dengan golongan yang susah, termasuk di negaranya sendiri.
Pembinaan masjid, sekolah di negaranya adalah amal jariahnya sebagai seorang Islam demi kepentingan penduduk yang memerlukan.
Sungguh mulia dia berkongsi rezeki Allah.
Setiap sebelum perlawanan melibatkan Liverpool, Sadio Mane akan menadah tangan berdoa. Apabila berjaya menyumbatkan gol dia duduk melafazkan syukur.
Di mana-mana dia sentiasa mengingati Allah! Alhamdulillah!! - KitaReporters