Tiada lagi Sharpshooter Asia Tenggara! Sabiamad Abdul Ahad pergi tinggalkan legasi bidikan emas
Published bySABIAMAD Abdul Ahad, Olimpian 1984 dan pemenang empat pingat emas dalam tiga Sukan SEA 80-an.
PERNAH bermula sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama enam tahun serentak dengan karier sukan menembak negara diikuti menjadi pengawal peribadi Sultan Kelantan selama lapan tahun sebelum berakhir dengan bergelar ahli perniagaan pengurusan acara.
Allahyarham Datuk Sabiamad Abdul Ahad meniti pancaroba perjalanan hidup itu dengan semangat waja biarpun sehingga terpaksa bergolok bergadai wang ringgit demi mengharumkan nama ibu pertiwi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan SEA
SABIAMAD (kanan) menaikkan bendera Malaysia di Perkampungan Sukan Olimpik Los Angeles 1984. - Kredit foto Mustakim Aminuddin.
“Arwah ayah saya pernah bercerita dan berpesan kepada kami adik-beradik tentang kisah kariernya sebagai atlet, sampai terpaksa bergolok-bergadai duit sendiri.
“Duit katanya, boleh ditolak ke tepi dahulu, yang penting biarlah nama negara, kita naikkan dan harumkannya,” kata anak kedua Allahyarham, Hairi Iskandar Sabiamad, 37.
Anak lelaki tunggal daripada lima beradik ini mengimbas antara pesanan pemenang empat pingat emas tiga Sukan SEA berturut-turut di Singapura 1983, Bangkok 1985 dan Jakarta 1987 itu.
Ekoran kejaguhan dalam acara air pistol match, free pistol 50 meter dan centre fire pistol 25 meter itu yang turut meliputi beberapa pingat perak dan gangsa sehingga Sukan SEA Manila 1991, Sabiamad dikatakan pernah digelar ‘The Sharpshooter’ (Pembidik Tepat).
Anak kelahiran Muar, Johor pada 20 Mac 1956 ini, bukan sahaja pernah beraksi dalam acara 50 meter pistol 60 das Sukan Olimpik Los Angeles 1984 malah diamanahkan sebagai pembawa bendera Malaysia dalam temasya empat tahun sekali itu.
Olimpik edisi ke-23 yang diboikot oleh negara-negara blok Komunis itu, merakamkan pencapaian Sabiamad di tempat ke-35 dalam persaingan dengan 55 lagi penembak selepas membidik 537 mata.
Turut menganggotai kontinjen negara ketika itu ialah Rosman Alwi (berbasikal), Helen Chow (renang), Nordin Jadi dan B. Rajkumar (olahraga) serta skuad hoki.
JUGA pernah menjadi anggota PDRM, pengawal peribadi Almarhum Sultan Ismail Petra dan ahli perniagaan pengurusan acara. - Kredit foto MSN.
Sabiamad meninggal dunia pada usia 65 tahun, kira-kira pukul 11 malam hari Sabtu, 10 April 2021 akibat serangan jantung di Hospital Serdang, Selangor. Sebelum itu, Allahyarham juga pernah menjalani pembedahan kerana komplikasi jantung.
“Allahyarham meninggalkan lima anak iaitu seorang lelaki dan empat perempuan berusia 29 hingga 39 tahun serta 15 cucu. Isterinya, Allahyarham Tengku Datin Amrina Raja Salleh telah meninggal dunia pada 6 Julai 2019 akibat komplikasi hati,” kata Hairi.
Namun masih segar dalam memorinya ialah bagaimana mereka adik-beradik membesar dan ditunjuk ajar dengan pistol dan peluru sebenar dalam sukan menembak itu oleh sang ayah.
“Lapang Sasar Menembak, Subang, Selangor itu sudah jadi macam taman permainan kami semasa kecil. Di situ, kami kerap diajar cara dan teknik sebenar dan betul menggunakan pistol dan shot gun, malah bagaimana untuk menservisnya,” katanya.
Sekalipun tiada anak-anaknya yang mewarisi sukan itu, Sabiamad turut pernah bergelar jurulatih dan pengurus pasukan serta Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
Sabiamad (kiri) bersama bekas Mr. Asia bina badan, Datuk Malek Noor dan legenda berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan, empat tahun lalu. - Kredit foto Majlis Sukan Negara
“Kita telah kehilangan seorang lagi wira sukan negara yang disegani ramai. Arwah banyak menyumbang bakti kepada Yakeb dari belakang tabir malah kepada bekas-bekas atlet,” kata Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Sabiamad, bekas pengurus pasukan menembak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bergelar Datuk apabila dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2011.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor selepas solat jenazah di Surau Mujahiddin, Taman Desa Surada, Kajang, pada pagi Ahad 11 April 2021. - KitaReporters