Episod ngeri 4 wanita Indonesia berakhir! Kini dapat perlindungan kedutaan! Akan dibawa pulang!
Published bySESUDAH melalui liku hidup yang pahit dan perit didera, dikurung serta terpaksa terjun dari tingkat tiga rumah ejen, akhirnya empat wanita tenaga kerja Indonesia selamat mendapat perlindungan di Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur sebelum dijadualkan pulang negara asal pada 31 Januari 2022.
Mereka kini ditempatkan di asrama persinggahan dengan makan minum dan semua keperluan termasuk tiket kapal terbang ditanggung oleh pihak kedutaan yang kini masih dalam proses menyiapkan dokumen perjalanan termasuk pasport.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kes dera
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf), Murniati Usman @ Umi Ati memberitahu sebaik saja kedutaan memintanya membawa wanita yang hanya dikenali sebagai Sandra, Susila, Nanih dan Desi pada 20 Disember 2021 lalu, mereka terus dibawa ke tempat perlindungan sementara sebelum dokumen disiapkan.
Menurutnya, tiga wanita berasal dari Jawa serta seorang dari Bali itu ditempatkan di situ memandangkan dokumen pengenalan diri termasuk pasport disimpan oleh ejen terlibat.
"Mereka semua sudah berkahwin dan punyai anak antara seorang hingga tiga orang.
"Pkuf hanya menyediakan tempat tinggal sementara selepas dihubungi oleh orang tengah kedutaan kerana sebelum ini wanita-wanita ini ditemui orang ramai berkeliaran di jalan raya meminta bantuan.
"Lebih pilu lagi apabila mereka dijual sebanyak dua kali. Satu oleh ejen di Indonesia dan sekali lagi sewaktu usaha menyelamatkan diri apabila dijual oleh seorang yang diamanahkan untuk membantu mereka," kata Umi Ati.
Sehubungan itu, Pkuf tidak dapat lagi membantu mereka selepas diserahkan kepada kedutaan sebagaimana yang dibuat kepada kes wanita Indonesia sebelum ini yang melarikan diri daripada majikan atau ejen dan datang meminta bantuan secara persendirian dengan Pkuf.
Tambah Umi Ati, Pkuf akan membantu warga Indonesia dengan mencarikan mereka pekerjaan untuk mendapatkan wang bagi membeli tiket dan menguruskan kepulangan ke tanah air mereka secara bersendirian.
"Difahamkan dalam kes empat wanita Indonesia ini, kedutaan dijangka akan mengesan ejen terbabit untuk mendapatkan gaji yang sepatutnya diterima selama mereka dikurung dua bulan dan pampasan-pampasan yang perlu," ujarnya.
Dalam laporan sebelum ini, wanita tersebut diibarat 'keluar mulut singa, masuk ke mulut buaya' setelah dari satu tangan ke tangan lain, nasib mereka diperjudikan termasuk dikurung selama dua bulan, didera mental dengan pelbagai kata-kata cercaan.
Mereka yang tidak dibenarkan solat dan hanya diberi makan dua keping roti untuk sarapan pagi serta nasi sekali sehari akhirnya nekad terjun dari tingkat tiga rumah ejen jam 2 pagi melarikan diri dengan berjalan kaki dipercayai di kawasan perumahan sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Mereka diselamatkan seorang individu berbangsa Cina yang kemudiannya menghantar mereka ke sebuah surau selepas mendapati masjid ditutup.
Dua daripada empat wanita sedang beri maklumat mengenai kejadian kepada pegawai kedutaan.
Ketika menceritakan kisah pahit itu, Sandra berkata individu tersebut menghantar mereka ke surau dengan harapan dibantu jemaah yang ada di situ setelah mendapati masjid berdekatan tutup.
Belum sempat menarik nafas lega apabila salah seorang individu ditemui di surau berkenaan sudi membantu, mereka bagaikan 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila dijual RM200 pula kepada ejen pengambilan pekerja asing yang merupakan rakan individu berkenaan.
Individu berkenaan hanya membantu mereka sehari sahaja sebelum dihantar ke rumah rakannya serta meminta ganti rugi RM200 sebagai upah makan minum daripada ejennya.
"Kami terpaksa hubungi keluarga di Indonesia agar memindahkan wang 600,000 rupiah untuk membayar ganti rugi itu kerana jika tidak, kami semua tidak dibenarkan meninggalkan rumah lelaki itu.
"Saya dan yang lain tertarik menerima tawaran pekerjaan di Malaysia kerana setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Indonesia, kami kehilangan pekerjaan. Ejen pula menawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dan pelbagai pekerjaan lain yang bersesuaian," ujarnya.
Mereka tertarik mencari rezeki di Malaysia selepas mendengar ramai rakan pulang dengan 'kekayaan' luar biasa memandangkan gaji ditawarkan di negara ini mampu cecah RM1,500 sebulan (2 juta rupiah) sekali gus dirasakan begitu lumayan dan mampu digunakan untuk biayai kehidupan dan bayar hutang piutang.
Cerita Nanih, mereka datang ke Malaysia menaiki pesawat yang tiketnya ditanggung oleh ejen dan langsung tidak membawa wang.
"Sebaik sampai di rumah ejen yang merupakan pasanagan suami isteri berusia 60 dan 73 tahun, kami terus dikurung dalam banglo tiga tingkat serta dikerah bekerja dari jam 6 pagi hingga 12 malam.
"Selama dua bulan dikurung tanpa sebarang gaji malah diherdik dengan kata-kata yang cukup menyedihkan. Kami juga diminta memasak daging khinzir dan tidak dibenarkan hubungi keluarga di kampung, kami alami penderaan mental.
"Kami nekad lari sebelum berjaya hubungi petugas yang bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia untuk menghubungi Umi Ati yang membayar tambang sewa kereta Grab Car dari Petaling Jaya sehingga ke Rawang," katanya.
Ketika ditemui keempat-empatnya dalam trauma kerana penderaan mental dan kebajikan makan minum serta perubatan mereka tidak dipedulikan oleh ejen berkenaan. - KitaReporters