Video| Kebangkitan satu lagi Lee dalam badminton negara! Zii Jia raja baharu Seluruh England!
Published byLEE Zii Jia menayangkan trofi kejuaraan perseorangan lelaki Seluruh England 2021. - Kredit foto: BWF.
“SAYA tidak dapat menggambarkan perasaan saya sekarang. Sedih, gembira dan teruja semuanya serentak. Satu peristiwa yang amat jarang berlaku terhadap saya.”
Ungkapan jujur ini keluar daripada mulut juara baharu Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2021, Lee Zii Jia selepas perlawanan akhir di Arena Utilita, Birmingham, England, semalam Ahad, 21 Mac 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton:
https://kitareporters.com/search?search=badminton
MENJERIT kepuasan sehingga memecah kesunyian Arena Utilita yang tidak berpenonton selepas menundukkan Viktor Axelsen. - Kredit foto BWF.
Anak jati Alor Setar, Kedah ini menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 selepas diheret berentap selama sejam 14 minit.
Peluang buat kedua-dua pemain dalam dua set pertama begitu terbuka dengan kawalan kemas dan serangan padu apabila mereka saling berkejaran mata dan hanya dipisahkan antara dua atau tiga mata.
Kali terakhir Malaysia memenangi gelaran perseorangan lelaki kejohanan ini ialah pada 2017 menerusi Chong Wei yang menewaskan Shi Yuqi dari China 21-12, 21-10.
Zii Jia kini menyertai ‘Kelab Enam Legenda Malaysia’ juara pertandingan tertua dunia itu yang sebaris dengan Wong Peng Soon (1950, 1951, 1952 dan 1955), Datuk Eddy Choong (1953, 1954, 1955 dan 1957), Tan Aik Huang (1966), Muhammad Hafiz Hashim (2003) dan Datuk Lee Chong Wei (2010, 2011, 2014 dan 2017).
Kredit foto: Instagram Lee Zii Jia
“Pelan saya hanyalah menikmati permainan dan cuba buat yang terbaik menentang pemain terhandal dunia itu. Kami bermain dengan tumpuan penuh yang bagus kepada setiap mata (sehingga menang set pertama ke mata 'siling' (sudden death).
“Sudah lima kali kami bertembung jadi sudah cukup kenal permainan masing-masing malah kami bermain habis-habisan dan berikan yang terbaik,” katanya, seperti dipetik daripada laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kemenangan manisnya ini juga merapatkan rekod pertemuan mereka kepada 2-3.
Biarpun menang dengan beroleh habuan wang tunai AS$59,500 atau RM244,344, Zii Jia tetap menghormati lawan dan berterima kasih kepadanya kerana memberikan tentangan hebat di gelanggang yang kesunyian tanpa penonton itu.
LIBASAN melompat Zii Jia yang tajam dan padu, sudah menumbangkan dua juara dunia di Birmingham - Viktor Axelsen dan Kento Momota. - Kredit foto BWF.
“Terima kasih Axelsen kerana bermain perlawanan menakjubkan ini. Hanya masuk set penentuan dia agak hilang fokus dan saya mendapat kelebihan itu,” katanya.
Mengenai penangan pandemik Covid-19 yang melarang kehadiran penonton sehingga sentiasa dicengkam sepi sekali gus mengurangkan impak hebat momen kejayaan itu, katanya, “agak berbeza dari tahun lalu ketika saya mara ke separuh akhir.
“Hari ini semuanya berbeza dan kita memang kena sesuaikan diri. Bagi saya, saya hanya mahu berjuang untuk setiap mata dan tidak sesekali mengalah,” katanya.
HORMAT, akur dan dendam sentiasa bermain pada sanubari Viktor Axelsen (kiri) dan Lee Zii Jia, antara 10 terhandal dunia ketika ini. - Kredit foto BWF.
Axelsenlah yang menyekatnya, 17-21, 21-13, 21-19 dalam separuh akhir Seluruh England, tahun lalu. Kini dendam sudah terbalas!
Zii Jia, pilihan keenam kejohanan dan pemain ranking ke-10 dunia turut menikmati hadiah ulang tahun kelahirannya ke-23 lebih awal (29 Mac 2021 ini) dengan kejayaan terbesar dalam karier badmintonnya setakat ini.
Gelaran Super 1,000 Jelajah Dunia BWF ini juga merupakan yang sulung buatnya sejak menjuarai Terbuka Taiwan 2018.
VIKTOR Axelsen begitu liat hendak dilenturkan Lee Zii Jia dalam dua set awal, namun seakan kepenatan dan hilang fokus pada set penentuan. - Kredit foto BWF.
Terdahulu dalam suku akhir pada Jumaat lalu, 19 Mac 2021, Zii Jia mengejutkan bekas juara dunia 2019 yang juga pemain No. 1 dunia, Kento Momota 21-16, 21-19 dalam tempoh 55 minit perlawanan. Dua libasan kilasnya yang tajam dan meraih mata turut memukau pemain kidal Jepun itu.
Pada separuh akhir, Zii Jia mengalahkan pemain Belanda, Mark Culjow 21-13, 21-17.
Chong Wei juga sudah empat kali menjuarai Seluruh England, namun tiga kali kempunan pingat emas Sukan Olimpik di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 lantas sekadar berpuas hati di podium kedua dan pingat perak.
Apakah nasib Malaysia juga berubah dengan kebangkitan seorang lagi LEE - Lee Zii Jia - pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) pada Julai 2021 ini?
Terdapat empat kejuaraan yang dianggap bertaraf 'Grand Slam Badminton' - Seluruh England, Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Piala Thomas.
Chong Wei, 38, yang juga Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo sudah kempunan tiga daripadanya.... Bagaimana dengan Zii Jia yang perjalanannya masih panjang pada usia hampir 23 tahun sekarang? - KitaReporters
PENGGANTI Lee Chong Wei yang memang ditunggu-tunggu para peminat badminton Malaysia sejak persaraannya - LEE ZII JIA. - Kredit foto: BWF.