Pesara askar rayu bantuan JKM! Anaknya OKU hidup terlantar!
Published byJAUH di sudut hatinya, seorang pesara tentera tidak lagi dapat membiarkan anak kesayangannya seorang orang kurang upaya (OKU) hidup terlantar bersendirian di rumahnya di Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu ketika dia keluar bekerja. Apatah lagi anaknya, Siti Nur Aishah Arrifin, 20, yang tidak boleh bergerak, bercakap dan penglihatan matanya kabur. : KitaReporters
ARRIFIN Mat Lazim sedang memberi kuih untuk dimakan anaknya Siti Nur Aishah di rumahnya di Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu.
Lagi cerita-cerita berkaitan orang kurang upaya:
https://kitareporters.com/search?search=OKU
Dalam keadaan sebegitu, sememangnya anak itu memerlukan belaian kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya sepanjang masa.
Menyedari hakikat itu, pesara tentera berkenaan, Arrifin Mat Lazim, 62, sanggup berhenti dari kerjanya sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah kilang sejak enam bulan lalu semata-mata untuk mengabdikan dirinya kepada Siti Nur Aishah yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
SITI Nur Aishah disuap makanan oleh bapanya
Sebelum itu, Siti Nur Aishah dijaga oleh seorang saudaranya ketika Arrifin bertugas, manakala isterinya pula, Che Faridah Yusof, 57, bekerja di sebuah jabatan kerajaan di daerah Kemaman.
Arrifin berkata, keputusannya untuk berhenti dari kerja selepas memikirkan anaknya itu semakin besar yang memerlukan penjagaan yang lebih rapi dari kedua-dua orang tua tanpa mengira sama ada beliau ataupun isterinya.
``Apabila saya berhenti dari kerja itu bolehlah saya memberi perhatian sepenuh masa terhadap Siti Nur Aishah, saya boleh jaga dia ketika isteri saya tiada di rumah dan saya boleh bagi makan minum pada dia.
``Walaupun adakalanya rasa kepenatan menjaga dia yang tidak boleh berjalan itu tetapi saya tetap reda apa yang berlaku ke atas diri dia adalah ketentuan dari Allah,’’ katanya ketika dihubungi pada 22 Oktober 2020 lalu.
Kecacatan fizikal serta mental Siti Nur Aishah itu dipercayai berpunca sewaktu dia berusia satu tahun iaitu kira-kira 19 tahun yang lepas apabila dia telah dipatuk oleh seekor ular berwarna hitam yang masuk ke dalam rumah pesara tentera itu.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 pagi pada 7 Januari 2001 yang lalu dan Arrifin serta isterinya membawa bayinya itu ke Hospital Kuantan untuk mendapat rawatan selama lebih dua bulan sebelum doktor mengesahkan sel-sel otak Siti Nur Aishah sudah mati akibat gigitan ular yang berbisa itu.
Sebelum kejadian berkenaan, walaupun dalam umur satu tahun ketika itu Siti Nur Aishah sudah boleh merangkak dan menangis seperti bayi-bayi lain.
Arrifin berkata anaknya tidak dapat bercakap dan berjalan sehingga hari ini berikutan kejadian tersebut walaupun selepas itu pelbagai usaha lain dilakukan seperti berubat dengan bomoh tetapi ia tidak berhasil.
Dalam hal lain, pesara tentera itu berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman telah memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan selama empat tahun bermula 2012 hingga 2016 dan selepas itu, JKM telah memotong bantuan anaknya dengan alasan ibunya seorang kakitangan kerajaan.
``Saya tidak berputus asa lagi kerana pada pada tahun (2019) lepas, saya memohon lagi bantuan yang sama dengan JKM Daerah Kemaman tetapi permohonan anak saya gagal sedangkan anak saya seorang OKU yang hidup terlantar kerana tidak dapat bergerak atau berjalan.
``Kalaulah JKM bagi bantuan untuk anak saya atas status OKU dan lagi pun anak saya ada kad OKU dapat juga saya beli lampin pakai buang untuk dia sebab anak saya guna lampin itu 2 atau 3 helai sehari,’’ ujarnya. - KitaReporters
ARRIFIN MAT LAZIM