Rajiv Kapoor, 58, susuli abangnya Rishi! Meninggal dunia kerana serangan teruk sakit jantung

Published by
KitaReporters

RAJIV Kapoor dan Mandakini dalam satu adigan filem Ram Teri Ganga Maili. - Kredit hot.photos


SELEPAS 10 bulan kematian aktor Rishi Kapoor pada 30 April 2020, adiknya, aktor Rajiv Kapoor, 58, pula menyusul pada Selasa 9 Februari 2021 akibat serangan jantung. Rajiv adalah juga adik aktor Randhir Kapoor dan merupakan anak bongsu dalam keluarga pelakon, pengarah dan produser terkenal di Bollywood, Raj Kapoor.

Jika Rishi Kapoor mencipta nama melalui filem Bobby bergandingan dengan Dimple Kapadia, Rajiv pula popular dengan filem Ram Teri Ganga Maili bergandingan dengan Mandakini. Kedua-dua filem tersebut arahan Raj Kapoor.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Kapoor:

https://kitareporters.com/search?search=Kapoor



RAJ KAPOOR bersama anak-anaknya, Randhir Kapoor (kiri),  Rajiv (dua dari kanan) dan Rishi (kanan). - Kredit foto: Instagram.


Pemergian Rajiv sangat dirasai keluarganya yang masih belum pulih daripada kesedihan kehilangan Rishi. Para peminat dan rakan industri menyifatkan pemergian Rajiv sebagai sukar dicari ganti.

Memetik laporan The Indian Express, sumber yang rapat dengan keluarga memberitahu, Rajiv mengalami serangan teruk jantung di rumahnya di Chembur, Mumbai, pada tengah hari Selasa, 9 Februari 2021. 

Dia segera dibawa ke Hospital Inlax di Chembur. Tetapi sebelum doktor sempat memberi rawatan, dia disahkan meninggal dunia.


RAJIV Kapoor dan Mandakini, bintang utama filem box-office Ram Teri Ganga Maili tahun 1985. - Kredit newonnetflix.info


Dilahirkan dalam keluarga Raj Kapoor dan isterinya, Krishna Kapoor pada 25 Ogos 1962, Rajiv memulakan karier lakonannya melalui filem Ek Jaan Hanin Hum pada 1983. Namun dia mencipta nama melalui Ram Teri Ganga Maili keluaran 1985.

Beberapa buah filem lain lakonan mendiang yang mendapat sambutan termasuklah Aasmaan (1984), Lover Boy (1985), Zabardast (1985) dan Hum To Chale Pardes (1988).

Bagaimanapun kemudian Rajiv, juga dikenali Chimpu, beralih kepada pengarahan dan pengeluaran filem. Pada 1996, mendiang mengarahkan Prem Granth yang menampilkan abangnya Rishi Kapoor dan Madhuri Dixit.

Dalam pengeluaran filem, Rajiv bermula melalui kerjasama dengan abangnya, Randhir Kapoor, melalui filem arahan pertama Randhir, Henna, pada 1991. Mendiang juga menjadi produser filem box-office Aa Ab Laut Chalen (1999).

Selepas itu Rajiv berehat daripada Bollywood. Hanya pada Disember tahun lepas dia mengumumkan akan kembali aktif. 

Dia dijangka terlibat dengan pembikinan sebuah filem yang menampilkan Sanjay Dutt sebagai pelakon utama. Hasrat ini tidak menjadi kenyataan.


MANDAKINI... bintang utama Ram Teri Ganga Maili. - Kredit foto: Pinterest


Rajiv pernah mendirikan rumah tangga dengan Aarti Sabharwal pada 2001 tetapi bercerai dua tahun kemudian. Mendiang tidak mempunyai anak.

Mayat mendiang dibakar di Chembur, kawasan di timur Mumbai pada petang hari kematiannya dengan dihadiri kaum keluarga, rakan rapat daripada industri, juga penduduk Chembur yang turut memberi penghormatan terakhir.


RAJIV KAPOOR meninggal akibat serangan sakit jantung pada Selasa 9 Februari 2021. - Kredit NDTV Movies.


Semetara itu, Madhuri Dixit yang membintangi Prem Granth berkata, walau pun itu filem pertama arahan Rajiv, mendiang mengendalikannya dengan penuh matang dan dia begitu gembira bekerja bersamanya.

Sanjay Dutt yang sangat terharu dengan kematian Rajiv menyifatkan dia sebagai karyawan filem hebat dan pemergiannya ’terlalu awal.’

Aktor Akshay Kumar juga sedih dengan kematian mengejut Rajiv dan mengucapkan takziah kepada keluarganya. Dia menganggap pemergian Rajiv sebagai sangat mengejutkan.

Priyanka Chopra juga melahirkan rasa terkejut dengan pemergian Rajiv dan berharap keluarganya sabar menerima ujian. - KitaReporters


Kredit foto: Mashable India

0
2
4
0
0

Copy Link: