Hanis bersama suami dan anak-anak ketika berada di dalam wad.


TIADA siapa yang mahu dijangkiti virus berbahaya, COVID-19 yang semakin bermaharajalela terutama di negara kita. Saban hari, kes menunjukkan peningkatan sehingga akhirnya kerajaan terpaksa melakukan ‘total lockdown’ pada 1 Jun 2021 di seluruh negara.

Ketika ini, tidak perlu menuding jari siapa yang salah atau siapa melanggar SOP kerana ia masa untuk kita sama-sama berjuang menentang musuh yang tidak kelihatan ini.

Kepada antivaksin atau yang tidak mempercayai COVID-19 ini benar-benar wujud, baca kisah keluarga ini yang seluruh ahlinya dijangkiti virus berbahaya tersebut agar buka mata serta minda anda!

Ketika ditemu ramah, Nurhanis Aqilah Ahmad Nasir, 37 dan keluarga baru sahaja sembuh pada Januari 2021 lalu. 

Menurut Nurhanis atau lebih mesra disapa Hanis, dia tidak menyangka virus yan dikatakan berasal dari China itu menjangkiti seluruh ahli keluarganya.

Keluarga Hanis seramai enam orang termasuk suami, Norazilan Mohd Nor, 38, dan anak-anak berusia satu hingga sembilan tahun. Manakala yang dijangkiti COVID-19 seramai 10 orang termasuk ibu, ayah dan dua orang adik Hanis.


Pilunya hati seorang anak melihat kedua ibu bapanya dibawa ke hospital angkara COVID-19.


Segalanya bermula pada 2 Januari 2021 apabila ibu dan ayahnya yang berusia 63 dan 65 tahun berasa tidak sedap badan dan mempunyai simptom COVID-19. Justeru, mereka membuat pemeriksaan di klinik swasta.

“Ayah dan ibu walk-in buat PCR di klinik swasta sebab ada simptom sejak 29 Disember 2020 sementelah adik dan adik ipar saya di Kuala Lumpur didapati positif COVID-19. Itupun mereka sengaja buat pemeriksaan sebab nak balik rumah ayah saya. Ayah, ibu dan adik ketiga ada berjumpa dengan mereka pada 26 Disember 2020.

“Manakala pada 27 Disember 2020, keluarga saya baru pulang dari kampung suami di Port Dickson, Negeri Sembilan. Ayah dan ibu ke kenduri kahwin jiran yang selorong dengan rumah saya. Jadi mereka singgah di rumah saya sekembali dari rumah kenduri dan anak-anak ikut mereka pulang ke rumah mereka. Ketika ini, negeri Pahang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” ceritanya.


Sebagai seorang ibu dan kakak, Hanis perlu kuat dan tabah menghadapi ujian getir.


Tambah Hanis lagi yang menetap di Bentong, Pahang, pada 28 Januari 2020, seperti biasa dia akan ke rumah ayah dan ibunya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya untuk memasak dan makan di sana. Ketika itulah ibunya mengadu sakit badan, sengal serta berasa seram sejuk seperti nak demam.

“Keesokannya saya dan suami datang lagi ke rumah ibu. Ibu masih nampak kurang bermaya, tapi masih mampu berjalan dan berselera makan. Saya siapkan minum petang dan pulang ke rumah sendiri bersama anak-anak.

“Malamnya, ayah saya pula demam. Ayah dan ibu ke klinik untuk mendapatkan ubat. Manakala adik ketiga saya namun masih pergi kerja seperti biasa. Oleh kerana ketika itu dia sedang berpuasa, jadi dia merasakan mungkin sebab kurang air dan cuaca panas,” ujarnya.

Disebabkan masing-masing menyangka hanya demam biasa, jadi aktiviti berjalan seperti biasa. Malah adik nombor lima Hanis balik ke rumah ibu dan bapanya.


Hanis memangku anaknya yang kurang sihat sementelah dirinya juga begitu.


Namun, tidak disangka-sangka, suami Hanis pula menunjukkan simptom tidak sihat seperti sakit, sengal dan bisa badan. Pada sebelah malam, suaminya mula demam. Manakala anak-anak masih lagi cergas bermain.

“Pada 2 Januari 20202, saya dapat panggilan daripada adik mengatakan isterinya positif RTK-Ag. Dia buat ujian calitan (swab test) sebab nak pulang ke rumah ayah. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga buat swab dulu.

“Saya ke rumah ayah nak tengok keadaan ibu dan ayah. Ibu nampak lemah terbatuk-batuk. Jalan pun tak laju sangat dah. Kami semua sepakat untuk ayah ibu buat juga swab test. Alhamdulillah dapat slot. Petang terus bersetuju buat PCR.

“Manakala saya, suami dan anak-anak terus buat kuarantin kendiri ketika itu. Anak kedua dah mula batuk sikit dan malamnya demam. Anak-anak yang lain masih okay. Suami dan anak kedua dikuarantin di bilik lain,” katanya.

Pada 3 Januari 2020, akhirnya virus berbahaya itu mula menjangkiti Hanis. Dia sudah mula berasa sakit badan, sejuk dan demam sekejap-sekejap. Pada sebelah malam, mereka mendapat panggilan dari klinik mengenai keputusan ujian calitan ayah yang didapati positif COVID-19.


Anak-anaknya tidak menunjukkan simptom yang teruk kerana hanya berada pada stage satu.


Keesokannya Hanis gagahkan diri melakukan tugas sebagai ibu menyiapkan makan minum walaupun badannya sakit. Kesihatan ibunya pula makin merosot.

“Kesihatan ibu makin merosot dan makin lemah. Batuk-batuk tapi masih larat berjalan sendiri ke bilik air. Ibu ada darah tinggi dan saraf. Result PCR ibu keluar, positif dan IK (Inspektor Kesihatan) minta kami buat senarai hubungan rapat dan laporan dalam aplikasi MySejahtera.

“Ayah dan ibu dibawa ke Hospital Raub, Pahang menaiki ambulans lebih kurang 6.45 petang pada 4 Januari 2020. Setibanya mereka di sana, rupa-rupanya tahap oksigen ibu dah rendah. Jadi doktor putuskan untuk tidurkan ibu dan akan dihantar ke Kuantan.

“Namun disebabkan banjir besar di Pahang ketika itu, jalan ke Kuantan tidak dapat dilalui dan ambulans terpaksa berpatah balik. Masa ni dah tengah malam.

“Malam esoknya selepas waktu Iisyak suami mengadu rasa nak pitam dan loya. Saya tengok muka dia dah pucat. Terus saya suruh dia siap dan bawa hantar ke kecemasan Hospital Bentong. Di sana, buat RTK-Ag dan keputusannya positif serta ditahan di wad untuk pemantauan,” jelasnya mengenangkan kembali detik-detik mendebarkan yang dialaminya.

Berikutan itu, semua kenalan rapat (close contact) ayah dan ibu Hanis diminta untuk melakukan ujian calitan di klinik kesihatan.

Menurut Hanis, hatinya mula tidak keruan dan air mata mula tidak putus-putus mengalir mengenangkan keadaan ibunya. Oleh kerana tiada siapa dibenarkan melawat, Hanis bertanyakan kepada rakannya yang juga jururawat di Hospital Bentong keadaan ibunya.

“Kawan bagi tahu ibu ada di Hospital Bentong dan keadaannya kritikal dan berada pada stage lima. Keadaan kena stabil baru dapat pindahkan ke hospital lain. Luluh hati masa ni. Saya tak dapat lagi untuk tahan air mata daripada mengalir terutama ketika kawan saya cerita keadaan ibu.

“Dia siap pesan doa banyak-banyak semoga ibu kuat. Manakala ayah saya pula berada pada stage dua iaitu demam, sakit badan, tekak, batuk, hilang deria bau. Pada 5 Januari 2020, ayah dipindahkan ke Hospital Bentong dari Hospital Raub setelah tidak melepasi ujian di sana. Alhamdulillah, akhirnya pada 12 Januari 2021 dia dibenarkan keluar. Manakala ibu pula dibenarkan keluar pada 16 Fabruari 2021,” ceritanya.

Berkenaan keadaan suaminya, menurut Hanis teman hidupnya itu berada pada stage tiga. Dia mengalami demam, sakit badan, kesejukan, hilang deria bau dan rasa. Malah, lebih mendebarkan, buah pinggang suaminya hampir kering kerana kekurangan air.


Anak bongsunya yang berusia enam bulan ketika itu turut dijangkiti COVID-19.


Risaunya bukan kepalang dan dalam masa yang sama juga, dia harus bertarung dengan diri sendiri melawan COVID-19. Mana mahu fikirkan suami, diri sendiri dan paling dirisaukan keadaan anak-anak yang turut dijangkiti birus berbahaya itu.

Bayangkan, anak bongsunya yang ketika itu baru berusia enam bulan sudah dijangkiti COVID-19. Namun nasib baik, kesemua anaknya hanya berada pada stage satu.

Manakala dua adiknya yang turut dijangkiti, berada pada stage dua. Akhirnya kesemuanya dibenarkan keluar lebih kurang pertengahan bulan Januari 2021. Hanis bersyukur kesemuanya selamat daripada menjadi korban COVID-19.


Anak sekecil ini sebenarnya masih tidak mengerti apa-apa.


Tegas Hanis, pengalaman dijangkiti virus berkenaan, menjadi sejarah hitam dalah hidupnya serta keluarga. Justeru, dia menyeru orang ramai agar patuhi arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jaga diri, patuhi SOP. COVID-19 is real. Betul tak nampak, tapi kesannya dirasa. Vaksin adalah ikhtiar.

“Jika terdengar jiran dijangkiti COVID-19, bertanyalah khabar, mungkin bekalan makanan dah habis. Mungkin dah tak larat nak masak, mungkin dah kepenatan badan dan fikiran menguruskan anak-anak.

“Pada yang dijangkiti, jangan malu untuk berkongsi, kerana anda tak keseorangan. We fight these together. Terima kasih buat warga Hospital Bentong, Hospital Raub, Hospital Besar Kuala Lumpur dan seluruh warga barisan hadapan.

“Terima kasih buat seluruh ahli keluarga dan rakan jauh dekat yang menghulurkan bantuan dan doa,” akhirinya. - KitaReporters


9
0
2
0
0

Copy Link: