Demi keselesaan seekor anjing! Seorang wanita beli semua tempat duduk penerbangan kelas bisnes!
Published byGAMBAR hiasan... Pesawat Air India. - Kredit foto: Britannica
SEMUA orang sayang binatang peliharaan mereka. Boleh menjadi teman bermain di rumah atau teman berjalan-jalan santai di taman, malah teman berhibur ketika sunyi.
Tetapi untuk menempah seluruh tempat duduk kelas perniagaan (business class) dalam penerbangan untuk memberi keselesaan kepada binatang peliharaan adalah luar biasa.
Namun ini berlaku di India pada pertengahan September 2021 lalu apabila seorang wanita menempah keseluruhan tempat duduk kelas perniagaan dalam pesawat Air India penerbangan AI671 dari Mumbai Ke Chennai, bersama pembantu dan anjingnya yang diberi nama Bela.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anjing
KELAS pernigaan Penerbangan Air India bagi laluan domestik. - Kredit foto: Quora
Portal RepublicWorld.Com yang melaporkan kisah tersebut pada 20 September 2021 lalu bagaimanapun tidak menamakan wanita tersebut dan pembantunya.
Namun gambar wanita itu dan anjingnya bersama pegawai lapangan terbang sewaktu daftar masuk atau check in disiarkan secara meluas dalam media.
Penerbangan dari Mumbai ke Chennai mengambil masa dua jam. Pesawat yang dinaiki wanita itu, Airbus 321 mempunyai 12 tempat duduk kelas perniagaan.
Setiap satu tempat duduk berharga 20,000 rupees bersamaan RM1,100. Ini bermakna wanita tersebut membayar sejumlah 2.4 lakh (240 ribu) rupee atau kira-kira RM13,200 bagi semua tempat duduk. Jumlah yang banyak untuk keselesaan seekor anjing.
WANITA yang menempah semua tempat duduk penerbangan kelas perniagaan Penerbangan AI671 dari Mumbai ke Chennai bersama anjing peliharaannya, Bela, sewaktu mendaftar masuk di lapangan terbang. -Kredit foto: India Today.
Pihak Lapangan Terbang Chennai juga mengesahkan Bela adalah penumpang dalam penerbangan AI671. Untuk rekod syarikat Air India membenarkan maksimum dua ekor binatang peliharaan dibawa menaiki penerbangan bagi sektor domestik.
Bagaimanapun syarikat Air India tidak memberikan laporan
terperinci mengenai episod penerbangan membawa anjing peliharaan ini kerana
tertakluk kepada polisi syarikat.
Walaupun binatang peliharaan biasa dibawa menaiki pesawat,
untuk berada dalam kelas perniagaan, apatah lagi menempah semua tempat duduk,
dianggap aneh.
Yang pasti perisitiwa tersebut telah tular dalam media sosial dan menerima pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang kagum tetapi ada juga yang tertanya-tanya wajarkah membelanjakan wang yang banyak hanya untuk seekor anjng kesayangan. - KitaReporters