BILA Allah sudah tetapkan bahawa itu rezekinya, buatlah macam mana pun jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu tetap milik Ahmad Idham Ahmad Nadzri. "Saya bersyukur atas pelantikan ini kerana masih mendapat kepercayaan... dan saya amat yakin kali ini FINAS akan lebih bergerak maju," katanya. : KitaReporters

Ahmad Idham akan beri perhatian penuh pada masalah anak seni.


FINAS dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Ahmad Idham, 46, sebagai CEO yang baharu, berkuat kuasa dari 5 Jun 2020 hingga 6 Jun 2022.

Kali pertama Ahmad Idham dilantik sebagai CEO FINAS adalah pada 11 Mac 2019 dan berdasarkan kontrak lantikan, tanggungjawab itu akan berakhir pada Mac 2021.

Namun disebabkan faktor peribadi, beliau memohon untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac 2020.


Sementara itu, Ahmad Idham sewaktu dihubungi berkata, beliau yakin dengan tanggungjawab yang diberi kepadanya sekali lagi.

"Berbekalkan pengalaman melebihi 20 tahun sebagai penggiat seni dan juga pengalaman sebelum ini sebagai CEO FINAS, saya yakin untuk melaksanakannya dengan jaya.

"Saya bersyukur atas pelantikan ini kerana masih mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan ahli perbadanan FINAS," katanya penuh yakin. 

Tambah pengarah filem Adnan Sempit itu, beliau yakin misi untuk memacu FINAS ke arah yang lebih cemerlang kerana rata-rata ahli Lembaga FINAS terdiri daripada pakar-pakar industri.
"Saya amat yakin kali ini FINAS akan lebih bergerak maju. Pertamanya, isu pembangunan ekonomi industri kreatif harus di segerakan dek kerana kesan dari pendamik Covid-19.
"Kali ni paksi perancangan saya lihat amat jelas dengan apa Yang Berhormat Menteri (YBM) telah nyatakan dalam plan holistik beliau untuk FINAS dan industri kreatif," katanya.


Tatkala ditanya adakah beliau mengenali Pengerusi FINAS yang baharu, Zakaria Abd. Hamid yang dilantik secara rasmi pada 24 Mei 2020.

Jujurnya Ahmad Idham memberitahu yang beliau tidak mengenali Zakaria yang juga seorang ahli perniagaan dan aktivis masyarakat itu.

"Saya tidak mengenali beliau secara rapat, tapi apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi baharu, saya ada kaji dan membaca latar belakang beliau. 

"Saya amat teruja dengan pengalaman beliau dan percaya ianya boleh membantu untuk memberi satu aras strategi yang baik kepada industri kreatif secara holistik.

"Kombinasi beliau dan pakar-pakar industri yang ada di dalam ahli perbadanan baharu FINAS, saya yakin ianya satu pasukan yang bagus dan kuat," katanya.
Beliau juga yakin dan menaruh sepenuh kepercayaan kepada Zakaria yang dilihatnya amat berpengalaman luas dalam menerajui sektor dan agensi lain yang lebih besar.
 "Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki secara tak langsung belaiu amat memahami skop kerja seorang Pengerusi," ujarnya yang akan memulakan tugas pada Selasa ini (9 Jun). - KitaReporters
2
0
0
0
0

Copy Link: