“AKU hairan, mengapakah kau dicipta Allah menjadi manusia, kan lebih baik kamu menjadi haiwan." Dialog seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Ibu Mertuaku itu seolah-olah masih kedengaran pada telinga Mazeli Abdul Rahim Muhammad, 77. Dailog itu cukup terkesan kepada Mazeli hingga sekarang kerana dalam babak itu dia turut berlakon sebagai watak tambahan menziarah tanah perkuburan berkenaan. : KitaReporters

Lakonan hebat seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Ibu Mertuaku. - Kredit foto: YouTube 


Mazeli merupakan antara pelakon filem Melayu pada tahun era 60-an yang masih hidup sedangkan ramai rakan pelakon seangkatan beliau telah lama kembali ke rahmatullah.

Bagaimanapun keadaan Mazeli tidak lagi segagah dulu sebagaimana lakonannya sebagai pejahat dalam filem 6 Jahanam, beliau kini mendiami Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, sejak dua tahun lalu.

Mazeli kini menjadi penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor. 


Mazeli ditempatkan di pusat jagaan itu selepas dihantar pihak pengurusan hospital di Lembah Klang kerana keadaan uzur selepas menghidap sakit gout dan hilang penglihatan menyebabkan beliau sukar untuk mengurus diri.

Ketika ditemui, Mazeli melahirkan keazaman untuk kembali sihat serta mampu berdikari supaya sekurang-kurangnya dapat kembali ke rumahnya di Pandan Jaya, Kuala Lumpur

Mazeli sentiasa dibantu petugas untuk makan tengah hari.


“Saya pun tidak menyimpan hasrat untuk tinggal di pusat ini untuk selama-lamanya kerana berasakan masih ramai mereka di luar sana yang lebih berhak mendapatkan perlindungan di sini.

“Saya cukup bersyukur dan berasa amat selesa dengan pengurusan pusat ini yang sentiasa memberi layanan baik serta perhatian kepada semua penghuni yang rata-rata uzur selain tidak mampu mengurus diri,” kata Mazeli.

Mazeli turut membintangi Filem 6 Jahanam. - Kredit Photo YouTube


Pada era 60-an itu antara filem Melayu lain yang membabitkan lakonan Mazeli ialah Singapura di Langgar Todak, Agogo, Sarjan Hassan, Hang Tuah dan Anakku Sazali.

Sementara itu, seorang lagi penghuni pusat itu, Noor Azizan Tajudin, 46, tidak dapat menahan kerinduan untuk berjumpa adik-beradiknya yang menetap di sekitar Lembah Klang selepas terputus hubungan sebaik sahaja mendiami pusat itu empat tahun lalu.

Noor Azizan terlalu merindui adik-beradik yang terputus hubungan sejak empat tahun lalu selepas menjadi penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


Beliau yang diserahkan kepada ibu angkat selepas empat hari dilahirkan reda dengan perjalanan hidup yang dilaluinya termasuk terpaksa berpisah dengan suami apabila disahkan menghidap sakit ketumbuhan dalam kepala.

“Saya sudah menjalani tiga kali pembedahan dan tidak sanggup untuk dibedah lagi, cukuplah sekadar mendapatkan rawatan susulan di hospital kerana saya berasakan lebih baik berbakti dengan membantu rakan yang uzur di pusat ini.

Noor Azizan sentiasa ringan tulang membantu rakan-rakan yang uzur di pusat itu. 


“Selain itu kesakitan bagaikan terubat apabila dapat mengikuti kelas agama dan mengaji Al-Quran yang dikendalikan oleh ustazah di pusat ini dan membantu rakan-rakan yang senasib,” katanya.

Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman, berkata pusat berkenaan diasaskan daripada sembilan unit rumah yang diwakafkan seorang penduduk supaya dijadikan tempat perlindungan percuma kepada mereka seperti terlantar di hospital kerana sakit, tiada waris, miskin, mualaf dan disisih oleh keluarga.

Azman Rasman 



Menurutnya, pusat itu menempatkan 26 penghuni lelaki dan 18 perempuan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik rawatan terapi, jururawat, dua ustazah dan seorang ustaz, surau, dewan terbuka yang dibina hasil sumbangan korporat dan orang ramai.

“Bagaimanapun kami masih memerlukan sumbangan dalam pelbagai bentuk kerana kos perbelanjaan sebulan pusat itu mencecah lebih RM50,000 termasuk untuk pembayaran bil eletrik dan air serta penyelenggaraan lain seperti membayar gaji beberapa petugas.

“Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi saya menerusi nombor phone, 019-977 7419, Ruslan Saidin (019- 212 3757) dan Sazali Mohiden (019-368 8142), sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic bernombor 8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia),” katanya. - KitaReporters

Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia sering menjadi tumpuan pelbagai pihak sebelum ini untuk mengadakan program amal dan kemasyarakatan.

21
0
2
1
1

Copy Link: