Kejohanan tae kwan do lahir atlet muda berdaya saing! Tingkatkan kesedaran, bendung gejala sosial!
Published byPersatuan Taekwon-Do (MITF) Daerah Seberang Perai Utara telah menganjurkan kejohanan tae kwan do “Pearl ITF Open Championship 2024” di AEON BiG Pulau Pinang pada 17 Ogos 2024 lalu.
Program Peringkat kebangsaan selama dua hari ini bertujuan untuk melahirkan atlet-atlet muda yang mampu berdaya saing secara sihat dan profesional.
Pastinya pendedahan awal kepada kanak-kanak tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kejohanan seperti ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja, belia dan ibu bapa tentang kepentingan seni pertahanan diri khususnya sukan tae kwan do yang dilihat dapat membendung anak-anak daripada terlibat dalam gejala sosial seperti buli, penagihan dadah, mencuri dan sebagainya.
Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Persatuan Taekwon-Do MITF Daerah Seberang Perai Utara dengan kerjasama Kelab Taekwon-Do (MITF) Seri Tasek (STTC), Legend Spirit Smart Taekwon-do Academy (LESSTA) dan AEON BIG Pulau Pinang.
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Dato’ ChM Dr Mas Rosemal Hakim Mas Haris, Presiden Persatuan Taekwon-Do (MITF) Daerah Seberang Perai Utara yang juga merangkap Naib Presiden 1 Malaysia International Taekwon-Do Federation (MITF).
Turut hadir dalam kejohanan ini, Dr. Mas Adil Mas Rosemal Hakim, Penyelaras Utama Kejohanan merangkap Presiden Kelab Taekwondo (MITF) Thunderkicks; Datin Dr. Hazariah Abu Hassan, Presiden Kelab Taekwondo (MITF) Mutiara Elite; Rosnan Basir, Presiden Kelab Taekwon-Do (MITF) Seri Tasek; dan Azhari Omar, Presiden Master Azhari Academy.
Great Taekwondo Academy Kelantan juga turut serta dalam kejohanan ini yang dihadiri lebih 300 orang.
Antara pemenang bersama jurulatih mereka.
Dalam pada itu, pasangan adik-beradik Aina Qisthina dan Hana Qisthina, masing-masing memenangi pingat emas dalam acara “Pattern” dan “Sparring” bagi Kategori 1st Degree Black Belt, manakala Tang Yee Wen berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara “Pattern” dan “Sparring” dalam kategori yang dipertandingkan.
Manakala Juara keseluruhan bagi kejohanan ini ialah pasukan Great Taekwondo Academy Kelantan.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 yang bertemakan "Jiwa Merdeka". - KitaReporters