Diari Mama Masscom| Jangan takut jadi busy body! Jangan biarkan kanak-kanak terus jadi mangsa dera!
Published by"Dengarlah suara kami," adalah tema Hari kanak-kanak sedunia 2024 yang diraikan setiap tahun pada 20 November.
Kanak-kanak insan lemah yang mesti dijaga dengan penuh kasih sayang dan baik serta dididik menjadi insan yang berilmu dan berakhlak tinggi untuk menjadi generasi yang berguna pada masa depan.
Namun sangat menyedihkan apabila kanak-kanak adalah mangsa penganiayaan, penderaan dan keganasan yang dilakukan oleh orang dewasa sejak dulu lagi.
Media sering memaparkan kisah sedih, ngeri dan penderitaan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan ini. Namun kes kes penderaan kanak-kanak tetap meningkat setiap tahun.
Mengikut laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa kandung ataupun tiri merupakan pelaku yang berpotensi tinggi melakukan penderaan. Hal ini sangatlah membimbangkan kerana keluarga terutama ibu bapa adalah insan yang paling dekat hubungannya dalam kehidupan kanak-kanak.
Turut dikenal pasti bahawa kanak-kanak kurang upaya (OKU), hiperaktif , anak angkat, kanak-kanak kurang upaya, dan anak tiri sering menjadi mangsa dera dan pengabaian.
Statistik penderaan kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak tahun 2020.
Menurut laporan media Astro Awani, dalam tahun 2020 terdapat 6,382 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan. Sebilangan besar melibatkan penderaan fizikal dan seksual. Dalam tahun 2021 pula kes menurun sedikit ke 6,144 , tetapi penderaan seksual menjadi jenis penderaan yang paling banyak dilaporkan.
Manakala tahun 2022 angka ini meningkat semula kepada 5,572 kes sehingga November. Kes tahun 2022 ini mencatat penderaan melibatkan kanak-kanak perempuan lebih tinggi (3,348 kes) berbanding kanak-kanak lelaki (1,868 kes).
Sementara itu Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi statistiknya sehingga November 2023 mencatatkan kira-kira 1,069 kes penderaan kanak-kanak yang disebabkan oleh kecuaian ibu bapa dan penjaga.
Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata terdapat beberapa punca lain, secara amnya, kes penderaan kanak-kanak boleh terjadi ketika kanak-kanak berada dalam jagaan ahli keluarga sendiri.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat juga kes yang berkaitan dengan perbalahan keluarga sebanyak 534 kes dan masalah kewangan sebanyak 427 kes.
Justeru sebagai masyarakat, kita boleh memainkan peranan penting dalam menangani masalah penderaan kanak-kanak dengan menjadi orang yang ambil tahu dan peduli serta cakna terhadap apa yang berlaku pada jiran dan rakan rakan serta saudara mara kita.
Jangan Tutup Mata jika nampak atau syak sesuatu yang pelik yang berlaku di depan mata kita. Selidik dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau polis.
Jangan takut untuk bersuara atau takut digelar " busy body" serta suka ambil tahu hal orang lain. Adakalanya menjadi " busy body" pada hal hal dan perkara yang benar akan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Selain itu sokonglah mangsa dan keluarga mereka dengan memberi sokongan moral, kewangan (jika perlu), atau bimbingan ke saluran yang betul seperti kaunseling dan membuat laporan pada pihak yang berkuasa.
Beri mereka semangat untuk tidak takut buat laporan. Kuatkan jaringan komuniti. Kenali jiran dan komuniti. Hubungan yang rapat boleh bantu pantau keselamatan kanak-kanak.
Kita pernah mendengar perumpamaan orang lama anak kamu anak saya juga" yang bermaksud jiran tetangga menjaga keselamatan anak-anak bersama dan mereka akan memberitahu ibu bapa jika melihat anak-anak ini melakukan perkara salah. Ini satu didikan masyarakat yang sangat baik suatu masa dulu.
Namun pada zaman moden dan serba kecanggihan ini, masyarakat sudah kurang berinteraksi dan masing-masing buat hal sendiri. Keluarga dan anak-anak adalah milik peribadi dan orang luar tidak ada hak untuk menasihat atau "menegur" perbuatan ahli keluarga mereka.
Kehidupan sudah diambil alih oleh media sosial. Mereka menutup mata terhadap banyak hal yang dilihat pelik dan perlu diberi perhatian.
Ada yang tidak mahu mengenali jiran jiran dan sentiasa "buat hal sendiri" tetapi bila sesuatu yang tidak diingini berlaku, baru mereka terperanjat.
Sudah tiba masanya masyarakat kembali mengeratkan jaringan komuniti dan sentiasa ambil tahu tentang mereka yang dekat dengan kita. Sebenarnya tindakan kecil dari setiap individu dan masyarakat sekeliling boleh bawa perubahan besar untuk melindungi kanak-kanak dan keluarga mereka.
Oleh itu, sama-samalah kita melindungi dan menjaga keselamatan anak-anak untuk tidak berlaku hal-hal yang tidak dingini.
Masyarakat prihatin adalah masyarakat yang sentiasa mempunyai nilai baik dan memastikan kejiranan dan keluarga mereka berada dalam keadaan baik, selamat dan sejahtera. - KitaReporters