Di mana ada ruang kosong, di situlah golongan gelandangan atau "homeless" melelapkan mata dengan berbumbungkan langit yang terbuka.


"AWAK umur berapa tahun, memang tidur di sini setiap malam ker?," tanya Penyelaras Bandar Baru Bangi Community (Komuniti Bandar Baru Bangi) atau BBBC, Kelana Putra Mohamad ketika berehat sambil mengambil peluang berbual-bual dengan seorang remaja. Beliau bersama beberapa rakan-rakannya menyantuni kanak-kanak malang yang setiap minggu hadir di ibu kota untuk mendapatkan makanan dan keperluan lain.

"Umur saya 10 tahun pakcik. Sekolah di Sentul, darjah empat. Ya, setiap minggu saya tidur di sini. Di rumah ramai sangat, duduk di flat depan sana. Ayah dan ibu cakap tidur di sinilah, siang balik rumah," kata remaja itu sambil tangannya menunjukkan ke arah kawasan flet di tengah ibu kota.

"Tak banyak nyamuk ker?," tanya Kelana lagi.

"Tak apa pakcik, dah biasa. Cuma, bila hujan, kami pindah ke depan," kata remaja itu sambil menyuap makanan yang baru diterima. Nasi berkuah dan ayam goreng dimakan begitu berselera, seolah-olah sudah lama tidak menikmati makanan sesedap itu.


Anak-anak malang yang tiada rumah beratur untuk mendapatkan makanan dan barang mainan daripada Kelana.


"Makan dulu. Nanti apabila ke sini lagi, pakcik dan kawan-kawan bawakan awak mainan kereta ya," kata Kelana sambil memandang kepada wajah remaja itu. Dia berhenti menyuap makanan dan spontan terus memeluk Kelana sambil bibirnya menguntum senyum dan mengucapkan terima kasih. 

"Awak dan kawan-kawan jaga diri yer, insya-Allah pakcik datang lagi dan membawa mainan yang dijanjikan itu," kata Kelana sambil mengusap kepala remaja itu dan mengucapkan selamat tinggal. Remaja itu masih tersenyum tapi kelopak matanya seperti berkaca dan tanpa disedari, air mata jernih mengalir membasahi pipinya.

Ini adalah kisah-kisah yang dilalui Kelana Putra setiap minggu ketika menyantuni kanak-kanak malang yang datang ke ibu kota untuk mendapatkan kasih sayang insan-insan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang ramai yang prihatin.

Beliau yang juga Presiden Amal Ehsan Care (AEC) berkata, ketika datang ke lokasi sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur ini, mereka bermain seolah-olah ia kawasan halaman rumah sendiri. Apabila penat bermain, mereka berehat dan menikmati makanan serta minuman yang diberikan pelbagai pihak.  


Kelana Putra Mohamad.


"Program ini kami namakan "Titipan Kasih anak-anak miskin bandar". Ia dilakukan hampir setiap minggu bersama rakan-rakan yang berjiwa insaniah. 

"Kami bukan golongan hartawan atau memiliki gedung yang besar malah makanan, minuman dan barang mainan yang diberikan kepada kanak-kanak di sini daripada duit poket sendiri, dikongsi bersama beberapa rakan-rakan.

"Kami tidak meminta sumbangan dari sesiapa, cukup jika saya ada RM30 atau RM50, saya kumpul dengan rakan-rakan yang lain. Apabila dah cukup, mungkin RM500, kami membeli makanan, minuman dan jajan untuk mereka (kanak-kanak).

"Jika ada lebihan, kami mungkin membeli barangan mainan, tak kisahlah macam mana, asalkan mereka suka dan boleh menggembirakan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Percaya atau tidak katanya, barang-barang mainan yang dibawa paling mendapat sambutan kanak-kanak selain makanan dan minuman. Malah, dalam tempoh seminit, semua barang mainan itu habis diambil.


Kelana Putra menyantuni anak-anak gelandangan atau "homeless" yang menjadikan kaki lima untuk tempat lepak di sekitar ibu kota.


"Barang-barang mainan yang kami bawa bukanlah mahal sangat pun, mungkin kereta mainan atau anak patung comel tapi mereka sangat suka dan berebut-rebut untuk mengambilnya, dalam sekelip mata dah "sold-out".

"Betapa gembiranya kami melihat keseronokan mereka mendapatkan barang-barang mainan itu, teringat anak-anak di rumah yang mendapat mainan yang mahal. Itu yang membuatkan saya dan kawan-kawan tersentuh.

"Mereka datang dengan senyuman di bibir mengucapkan terima kasih dan memeluk kami. Apa lagi yang saya mahukan melainkan rasa sebak dan mengalirkan air mata. Semoga Allah melindungi mereka daripada perkara-perkara yang tidak baik," katanya.  

Ditanya lebih lanjut mengenai kanak-kanak ini, katanya mereka datang setiap minggu bersama ibu bapa, mungkin dari Sentul, Setapak atau Cheras. Ada juga yang menyewa bilik-bilik sekitar pusat bandar seperti Chow Kit, siang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pembantu kedai dan pekerjaan lain yang membolehkan mereka mendapat rezeki halal. 

"Saya dah 13 tahun buat kerja-kerja kebajikan ini tahu sangat masalah mereka. Gaji sebagai pengawal keselamatan atau pembantu kedai, mungkin dalam RM1,000 tapi kos menyewa bilik di antara RM500 dan RM800, bila bayar sewa, berapa baki yang ada?

"Itu belum mengambil kira nak sediakan makanan dan keperluan lain untuk anak-anak, memang tidak cukup. Kebanyakan ibu bapa mereka bukan penduduk tempatan, mungkin berasal dari negeri-negeri di Pantai Timur tapi nekad ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib dengan mencari rezeki halal.


Kebanyakan anak-anak tiada rumah ini datang ke ibu kota setiap Sabtu dan Ahad untuk mendapatkan makanan dan keperluan lain.


"Tapi, mereka tidak sedar cabaran di ibu kota amat berat dan menuntut kesabaran yang tinggi. Jadi, bagi meneruskan kehidupan, inilah cara hidup mereka, setiap minggu membawa anak-anak ke tempat ini untuk mendapatkan makanan, minuman dan keperluan lain," katanya.

Kebanyakan NGO memberi sedekah kepada orang dewasa tapi beliau dan rakan-rakannya lebih memberi fokus kepada kanak-kanak kerana mereka golongan paling lemah dan mudah menjadi sasaran pihak tertentu untuk mengambil kesempatan.

"Setiap kali bersama kanak-kanak di sini, kami melayan mereka seperti anak sendiri, bertanya khabar, soal persekolahan, adik beradik selain memberi makanan seperti keropok dan barang mainan.  

"Apabila sampai, biasanya kanak-kanak itu dah tahu apa yang kami bawa, mereka datang dalam 50 orang sambil memeluk kami. Ada kalanya kami membawa pakaian yang disumbangkan pihak tertentu tapi ia tidak mengedarkan di situ tapi menggunakan khidmat seorang lelaki yang sudah lama di kawasan itu bagi memudahkan diagihkan secara saksama," katanya.

Mengenai kemiskinan di bandar, beliau menganggap perkara itu serius. Dan, kebanyakan golongan itu ibarat kais pagi makan pagi dan berjuang untuk hidup apatah lagi jika mempunyai anak-anak yang ramai.

"Kebanyakan mereka yang datang ke Kuala Lumpur tidak mempunyai pelajaran tinggi tapi memasang impian tinggi untuk hidup senang. Justeru, apabila hidup di sini, baru mereka tahu kesukaran dan cabarannya. Ada yang berjaya mengharunginya tapi ramai juga yang tewas.

"Kehidupan di bandar memerlukan wang, jadi apabila tidak cukup wang untuk membayar sewa, bil dan bayaran lain, mereka terpaksa bekerja siang malam sehingga mengabaikan anak-anak," katanya lagi.


Kemiskinan di bandar yang membabitkan kanak-kanak kian meningkat dan satu masalah sosial yang perlu ditangani segera.


Beliau mengakui, kerja-kerja kebajikan yang mereka lakukan itu tidak mempunyai agenda khusus selain untuk membantu dan seronok melihat kegembiraan orang lain.

"Kami tidak meminta daripada sesiapa, tiada akaun khusus malah semua perbelanjaan hasil daripada wang sendiri. Jika ada RM300, kami usahakan untuk membeli barangan dengan nilai itu, begitu juga sebaliknya.

"Untuk buat kerja kebajikan ini tidak perlu tunggu sehingga kita kaya baru nak bersedekah, tapi bersedekahlah insya-Allah kamu akan menjadi kaya. Inilah yang kami lakukan, yang penting kanak-kanak yang kami bantu gembira dan bersyukur kerana masih ada insan yang sayangkan mereka.

"Siapa tahu, satu hari nanti, mereka berjaya dalam hidup, ada kerjaya dan wang yang banyak sehingga boleh melakukan kebajikan kepada orang-orang lain pula. Inilah harapan kami," katanya.

Kelana yang pernah menyertai misi kemanusiaan di Palestin mengakui sejak melakukan kerja-kerja kebajikan ini, hidupnya sentiasa tenang dan bersyukur.  

"Setiap kali keluar untuk melakukan kerja-kerja kebajikan ini, saya dan rakan-rakan niat untuk menggembirakan penerima atau kami guna istilah, "soup for the soul". Seperti kita makan sup, kita hirup kuahnya dan menikmati kesedapannya. Itulah sup untuk jiwa.

"Walaupun nilainya kecil tapi kami sentiasa berdoa kepada Allah, moga usaha kami diberkati. Sekurang-kurangnya ia adalah amalan kami dan jawapan yang akan diberikan jika ditanya apakah yang kami lakukan untuk menggembirakan orang lain di dunia ini," katanya mengakhiri perbualan.

Mereka yang berminat untuk menyokong usaha BBBC menyantuni kanak-kanak gelandangan ini, bolehlah menghubungi Kelana Putra Mohamad menerusi talian 017 343 6858. - KitaReporters


Kemiskinan bandar menjadikan kanak-kanak yang tidak berdosa sebagai mangsa.

9
14
0
10
0

Copy Link: