Barisan petugas program bubur lambuk IPD Bagan Datuk berdoa sebelum memulakan kerja.


SEBAGAI menyerikan Ramadan, warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di Perak, tidak ketinggalan mengadakan program memasak bubur lambuk sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan sempena bulan puasa. 

Program tersebut diadakan pada 24 Mac 2025 bertempat di Dataran IPD Bagan Datuk di Hutan Melintang, Perak. Kerja gotong royong dimulakan seawal pukul 8 pagi.

Hadir memeriahkan program ialah Ketua Polis Daerah (OCPD) Bagan Datuk, Supritendan Mohammad Ali Mohd Jali; Timbalan OCPD, Deputi Supritendan Azhar Abu Hashim; serta Pegawai Khas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Turut hadir Orang Besar Jajahan (OBJ) Bagan Datuk, Datuk Toh Lela Paduka Dr. Khalid Ismail, ketua-ketua bahagian dan pegawai kanan polis daerah, anggota polis serta ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).


Mohammad Ali Mohd. Jali.


Petugas bekerjasama menyediakan bahan keperluan untuk memasak bubur lambuk di IPD Bagan Datuk.


Daerah Bagan Datuk ialah daerah ke-12 dan ‘termuda’ di negeri Perak. Penubuhannya diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Sekolah Sains Bagan Datuk (Sabda) pada 9 Januari 2017. Sebelum itu Bagan Datuk di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak.

Program bubur lambuk IPD Bagan Datuk bermatlamat murni untuk menyantuni masyarakat setempat dan mendekatkan polis dengan komuniti. Ini sejajar dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Langkah ini mempamerkan sikap proaktif polis, khususnya IPD Bagan Datuk, mendekati masyarakat secara langsung. Pada masa sama dapat mengeratkan hubungan sesama warga IPD Bagan Datuk dengan komuniti.

Usaha ini bertepatan dengan semangat Ramadan yang bukan hanya menekankan ibadah tetapi juga kesempatan memperkukuh hubungan sesama insan dengan berkongsi rezeki dan memberi sumbangan.


Mohammad Ali (kiri) memasak bubur lambuk bersama komuniti setempat di Ibu Pejabat Polis Bagan Datuk,  Hutan Melintang, pada 24 Mac 2025.


Bubur lambuk yang siap dimasak diagihkan kepada tetamu jemputan, komuniti setempat, anggota IPD serta balai polis di daerah Bagan Datuk iaitu Hutan Melintang, Rungkup dan Bagan Datuk.

Berkat kerjasama yang terlibat menjayakan program ini, semua kerja berjalan lancar dan berjaya. Benarlah, sepakat membawa berkat. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Natijahnya kejayaan dikecapi bersama. 

Usaha IPD Bagan Datuk ini wajar dipuji kerana dalam kesibukan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, mereka tidak lupa melaksanakan khidmat bakti kemasyarakatan.

Langkah ini akan mewujudkkan hubungan lebih erat antara polis dengan orang ramai. 

Sikap ‘takut’ kepada polis wajar dikikis selagi mematuhi undang-undang dan tidak melakukan kesalahan. Kerjasama kukuh polis dan orang ramai akan mewujudkan masyarakat harmoni dan persekitaran lebih selamat. - KitaReporters


Para petugas program bubur lambuk IPD Bagan Datuk membantu menyediakan bekas untuk diisi bubur lambuk.


Bubur lambuk yang siap dimasak dimasukkan ke dalam bekas, sedia untuk diagih. 

17
9
0
10
0

Copy Link: