Tolong kami! Bantu IR Malaysia! Kempen Rezeki Ramadan 2025! Sasar RM2.25j! Malaysia dan 6 negara!
Published byIslamic Relief Malaysia (IR Malaysia) meneruskan kempen Rezeki Ramadan tahun ini (2025), yang merupakan inisiatif tahunan bertujuan untuk meringankan beban golongan rentan sempena bulan Ramadan yang bakal tiba.
Kempen yang bertemakan #gandakanpahala ini dilancarkan secara rasmi pada 1 Januari 2025 bersamaan 1 Rejab 1446H sebagai langkah awal untuk memastikan dana mencukupi agar bantuan dapat disalurkan tepat pada masanya kepada mereka yang memerlukan.
Menerusi kempen Rezeki Ramadan 1446H/2025M, IR Malaysia menyasarkan sumbangan dana sebanyak RM2.25 juta bagi membantu 28,650 penerima manfaat, termasuk keluarga berpendapatan rendah, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di Malaysia dan di enam buah negara lain iaitu Palestin (Gaza), Syria, Lubnan, Yaman, Sudan, dan Somalia.
Pakej sumbangan yang ditawarkan ialah Pek Makanan RM250 dan Sedekah Ramadan bermula serendah RM10.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, “Kempen Rezeki Ramadan bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan, tetapi juga membawa mesej persaudaraan sejagat.
“Ramadan adalah masa untuk kita berkongsi rezeki dan menghulurkan tangan kepada mereka yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Kami telah melihat sendiri bagaimana kempen ini menyatupadukan banyak pihak termasuk pihak korporat, media, ikon kemanusiaan, sukarelawan, para penyumbang dan penerima itu sendiri.
“Pada akhirnya, apa yang diharapkan oleh Islamic Relief ialah kesemua penerima manfaat mempunyai bekalan makanan untuk bersahur dan berbuka sepanjang bulan Ramadan.”
Melalui sumbangan orang ramai, IR Malaysia akan menyalurkan bantuan Rezeki Ramadan dalam bentuk pek makanan atau baucar tunai untuk kawasan-kawasan yang mempunyai kemudahan pasar raya yang mudah diakses.
Tambah Mohd Shukor, setiap pek makanan Rezeki Ramadan yang diagihkan, dilengkapi dengan makanan asas atau makanan ruji penerima manfaat mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, teh dan kurma.
Sebanyak 5,000 pek makanan atau baucar tunai Rezeki Ramadan akan diagihkan di seluruh Malaysia dan 730 lagi di enam negara lain.
Tahun lalu, IR Malaysia telah membantu 6,051 keluarga di Malaysia dan 800 keluarga di Afghanistan, Bangladesh, Indonesia, Lubnan, Palestin (Gaza), Filipina, Somalia, Syria dan Yaman melalui agihan pek makanan atau baucar tunai Rezeki Ramadan.
Sepanjang kempen Rezeki Ramadan berlangsung, IR Malaysia akan menjalankan beberapa aktiviti seperti kaunter pameran, sesi perkongsian, MySinggah Ramadan, dan banyak lagi.
IR Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta menjayakan kempen ini melalui sumbangan dan sokongan.
Orang ramai berpeluang untuk menyumbang terus ke kempen Rezeki Ramadan IR Malaysia di laman web; www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media