Surau Al-Falah Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur dilimpahi jemaah setiap Ramadan untuk bersama-sama mengimarahkan surau.


BULAN Ramadan 1446 Hijrah bakal menjelma tidak lama lagi, dijangka awal Mac 2025. Sesuai dengan ketibaan bulan mulia ini umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadat puasa, menahan lapar dahaga pada siang hari sehingga waktu berbuka.

Bulan Ramadan menuntut umat Islam melipatgandakan ibadat dan menunaikan amal kebajikan. Inilah masa umat Islam meningkatkan taqwa kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.

Selain solat fardu berjemaah, antara amalan biasa pada bulan Ramadan ialah solat sunat tarawih, qiamullail, tadarus, kuliah agama dan sebagainya.

Sesuai dengan matlamat mensucikan diri dengan mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang, persekitaran tempat menunaikan ibadah juga perlu bersih dan kondussif agar orang ramai dapat menjalani ibadah dalam keadaan selesa dan ceria.


Membersihkan bahagian luar dan tempat perkir Surau Al-Falah.


Antara tenaga muda yang membantu menjayakan program gotong royong Surau Al-Falah baru-baru ini.


Atas kesedaran ini, penduduk kariah Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang merupakan jemaah Surau Al-Falah, Danau Kota, mengadakan majlis gotong royong pada Ahad 9 Februari 2025 lalu sebagai persiapan menanti ketibaan Ramadan.

Acara yang bermula pukul 8.30 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para penduduk lelaki dan perempuan serta golongan muda yang kerap mengunjungi Surau Al-Falah. Sarapan pagi juga disediakan.

Antara kerja gotong royong diadakan ialah membersih persekitaran surau serta bahagian dalam dan luar. Ini termasuk memotong rumput, mencuci longkang, membersihkan karpet, lantai, tingkap, kipas dan tempat berwuduk. 


Membersih, menghias dan menambah cantik bahagian luar Surau Al-Falah pada gotong royong baru-baru ini. 


Mencuci kawasan tempat berwuduk Surau Al-Falah pada acara gotong royong baru-baru ini.


Yang membanggakan semangat harmoni dan kerjasama terserlah dalam kalangan jemaah yang sama-sama menyumbang tenaga menjayakan gotong royong. Mereka sedia berkorban masa pada hari minggu yang biasanya waktu untuk berehat atau berjalan-jalan bersama keluarga.

Kerana bekerja bersama-sama dalam pasukan, tidak terasa penat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semua tekun melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Mereka asyik bekerja walau waktu sudah mencecah tengah hari.

Rasa gembira dan puas hati terpancar apabila menyaksikan surau kesayangan cantik berseri, bersih segar mata memandang. Memang bersemangat berkunjung ke Surau Al-Falah untuk menyerikan Ramadan.


Membersihkan kipas di bahagian luar dewan solat utama Surau Al-Falah pada gotong royong baru-baru ini.


Surau Al-Falah, yang merupakan surau Jumaat, memang penuh dengan jemaah setiap Ramadan untuk sembahyang fardu berjemaah dan solat tarawih. Biasanya jemaah melimpah hingga ke luar ruang solat utama.

Bahagian luar ini adalah kawasan berbumbung, dilengkap dengan kipas besar dan pendingin hawa mudah alih. Jadi tidak perlu bimbang terdedah kepada hujan atau solat dalam keadaan panas.


Sampah sarap dikumpul untuk dibuang pada acara gotong royong Surau Al-Falah. 


Selain jemaah tempatan, ramai warga asing beragama Islam dari beberapa negara yang tinggal berhampiran datang ke Surau Al-Falah. Mereka ini samaada pelajar atau bekerja di negara ini.

Gotong royong surau berjaya dilaksanakan dengan jaya. Pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berterima kasih kepada yang membantu menjayakan program berkenaan. 

Kini menunggu bulan Ramadan menjelma dengan harapan lebih ramai akan datang mengimarahkan surau. - KitaReporters


Pasu bunga juga perlu dialih dan disusun semula untuk mencantikkan pemandangan bahagian luar Surau Al-Falah pada gotong royong baru-baru ini.

 

 

 

 

12
11
0
10
0

Copy Link: