FORUM Perdana Subuh, Ramadan 1446H dibuka pada 2 Mac, 2025 dengan menampilkan gandingan Ustaz Datuk Zawawi Yusof, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (panel) dan Ustaz Tajdid Hadhari sebagai pengantara.


DIAM tak diam Forum Perdana Subuh yang dianjurkan oleh Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada setiap bulan Ramadan sudah memasuki musim ke-13 pada tahun ini (2025).

Berinspirasi rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang bersiaran di stesen televisyen RTM, program itu mula diperkenal oleh Masjid Al-Khairiyah pada tahun 2013 dengan menampilkan tokoh-tokoh agamawan terkemuka tanah air sebagai ahli panel.

Ia berlangsung selepas solat Subuh setiap hari Ahad sepanjang bulan Ramadan, bukan saja membincangkan topik berkaitan ibadah puasa malah mencakupi pelbagai aspek.


JEMAAH khusyuk mengikuti Forum Perdana Subuh di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor.


Menurut Setiausaha masjid berkenaan, Mohd Rohisham Mohd Ikhlak, forum itu adalah antara acara wajib setiap kali Ramadan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh para jemaah. 

“Sejak dimulakan pada 2013, ia adalah antara program kegemaran jemaah selain majlis-majlis ilmu lain yang kami sediakan sepanjang Ramadan. Mereka seolah-olah sentiasa menanti program ini dan akan mengikutinya dari minggu pertama hingga minggu terakhir puasa.

“Tidak dinafikan konsepnya sebagaimana Forum Perdana di televisyen, cuma satu kelainan yang kami lakukan adalah ia berlangsung pada waktu subuh. Bagi kami, ini adalah masa yang paling sesuai kerana waktu-waktu lain pada bulan Ramadan sudah diisi dengan pelbagai program seperti tadarus, kelas dhuha, tazkirah, kuliah subuh dan tahlil.

“Pemilihan hari Ahad juga adalah bertepatan kerana kebanyakan jemaah tidak bekerja, membolehkan mereka untuk turut bersama menyertai program itu  yang berlangsung selama kira-kira sejam,” kata Rohisham.


USTAZ Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Lukmanul Hakim Mokhtar dan DJ Suffian antara yang menjayakan program Forum Perdana Subuh.


Selain itu, menurut Rohisham, tokoh-tokoh yang dijemput sebagai ahli panel adalah mereka yang dikenali ramai serta diakui ilmu serta ketokohan mereka. 

“Oleh itu kami sebagai penganjur perlu mengenal pasti siapa panel yang boleh menjadi crowd puller, lazimnya pendakwah yang sudah dikenali dan sering muncul dalam kaca televisyen,” kata Rohisham.

Antara ahli panel yang pernah menjayakan program itu adalah Datuk Dr Anhar Opir (Mufti Negeri Selangor), Dr Mohd Sukki Othman (kini Mufti Pulau Pinang), Dato’ Nizam Kamaruzaman, Ustaz Zul Ramli M Razali, Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Ustaz Mohd Zarifi Mohamad Daud (Jakim), Ustaz Fawaz Fadzil, Ustazah Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, dan Ustazah Dr Norhafizah Musa. 


FORUM Perdana Subuh antara program anjuran Masjid Al-Khairiyah yang mendapat sambutan.


Di samping itu, kata Rohisham, topik yang dipilih juga tidak berat sebaliknya yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat serta dibincangkan secara santai oleh ahli panel. 

“Dalam hal ini peranan moderator dan ahli panel sangat penting bagi menghidupkan suasana forum berkenaan. Audien selalunya tidak suka topik yang terlalu berat sebaliknya suka yang ringan serta disampaikan secara santai.

“Pendekatannya nampak ringan namun apa yang penting adalah mesej dan ilmu yang dikongsi sampai kepada Jemaah,” katanya lagi.


PELBAGAI program sepanjang Ramadan 1446H.


Untuk program sepanjang bulan Ramadan tahun ini (1446H), Forum Perdana Subuh membuka tirai pada 2 Mac, 2025 dengan menampilkan Ustaz Datuk Zawawi Yusof, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (panel) dan Ustaz Tajdid Hadhari sebagai pengantara.

Manakala,  untuk sesi 9 Mac, ia menggandingkan Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Lukmanul Hakim Mokhtar (panel) dan DJ Suffian Amrin (moderator). Bagi edisi 16 Mac pula, ahli panel terdiri daripada Ustaz Dr Abdullah Jalil, ASP Muhammad Muzhafar dan Ustaz Hafiz Al-Zafarani.

Pada minggu terakhir pada 23 Mac nanti, gandingan tiga pendakwah adik-beradik iaitu Ustaz Ehsan Daud, Ustaz Zarifi Daud dan Ustaz Hariri Daud akan menjadi penutup tirai Forum Perdana Subuh bagi bulan Ramadan 1446H (2025). - KitaReporters

12
14
0
8
0

Copy Link: