Galeri Buku Dija| The Bionic Woman! Hidup dengan bateri pada jantung! Mahyana wanita bersemangat waja!
Published byMAHYANA Mukhtar (dua dari kiri) ketika pelancaran buku The Bionic Woman sempena Hari Jantung Sedunia pada September 2023.
"Dulu saya rasa ujian ini sangat besar seolah-olah menghempap diri. Namun, bila difikir tentang betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Tuhan, hati lebih redha dengan apa yang berlaku.
"Apa yang perlu - sabar, tenang, usaha dan berserah sepenuhnya. Sabar bukan bererti bersikap pasif dan menunggu datangnya sebuah keajaiban. Akan tetapi, sabar adalah melakukan segala kemungkinan untuk mengubati situasi yang sedang menimpa.
"Kemudian, serahkan segalanya pada Allah SWT Yang Maha Menyembuhkan lagi Maha Mengasihani."
Demikian kata-kata semangat yang lahir daripada bibir wanita bersemangat waja, Mahyana Mukhtar, 49, penulis buku The Bionic Woman yang teruji dengan masalah jantung pada usia muda.
Jantung merupakan salah satu organ manusia yang sangat penting dalam memastikan kehidupan seseorang itu terus dinikmati di dunia ini. Oleh itu, jika kita memiliki jantung yang sihat, ia adalah anugerah Tuhan yang perlu kita syukuri setiap masa.
BUKU The Bionic Woman menukilkan pengalaman Mahyana yang direzekikan kelangsungan hidup bergantung kepada perentak jantung sepanjang hayat.
Menurut Kaunselor Kanan UniKL-MIAT ini, beliau disahkan menghidap masalah jantung pada tahun akhir pengajian disebabkan oleh Sick Sinus Syndrome (SSS) iaitu gangguan irama degupan jantung. Ketika itu, Mahyana baru berusia 27 tahun dan penyakit tersebut memerlukan beliau menjalani pembedahan segera.
Ini kerana keadaan degupan jantungnya yang tidak teratur boleh membawa risiko kematian. Lantaran itu, Mahyana perlu menggunakan pacemaker (perentak jantung) bagi membantu untuk menyeimbangkan irama degupan jantungnya.
"Walaupun pada awalnya saya terkejut dan sedih dengan berita itu, namun keyakinan kepada takdir Allah membuatkan saya tidak mahu menyerah kalah, sebaliknya berusaha menerima ujian ini dengan redha.
"Alhamdulillah, perancangan Allah sangat indah. Pada saat Dia berikan ujian, Dia juga yang berikan bantuan,” ujar anak kelahiran Kelantan ini kepada KitaReporters.
Setelah menamatkan pengajian Sarjana Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mahyana diterima bekerja sebagai kaunselor di Universiti Utara Malaysia (UUM). Situasi itu membolehkan Mahyana bersyukur kerana kos rawatan sebanyak RM30,000 ditaja sepenuhnya oleh pihak universiti.
Menurut beliau, jantungnya telah dipasang bateri kappa medtronik dengan jangka hayat maksimum selama 10 tahun. Namun Mahyana menggunakannya selama tujuh tahun setengah dengan kadar pergantungan sebanyak 68 peratus. Hingga kini, beliau sudah memakai perentak jantung selama 23 tahun.
MESKIPUN sudah 23 tahun memakai perentak jantung, Mahyana tetap bahagia melayari kehidupan di samping suami tercinta dan tiga cahaya mata.
“Ini bermaksud lebih separuh kehidupan saya bergantung kepada bateri ini. Disebabkan itulah saya menulis buku The Bionic Woman ini untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak masyarakat di luar sana.
“Perkongsian ini lebih menjurus kepada bagaimana keadaan saya ketika berdepan ujian dan paling utama bagaimana pergantungan kita kepada Allah yang mengatur segala-galanya.
"Diharap buku ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat agar lebih menghargai nilai kesihatan dalam hidup dan tidak mensia-sianya nyawa yang Allah pinjamkan kepada kita,” jelas beliau.
Meskipun hidup dalam keadaan bateri di jantung, wanita ini sentiasa positif dalam mencorak dan mewarnai kehidupan.
Selain memiliki suami dan anak-anak yang semakin membesar, Mahyana juga mampu hidup normal seperti wanita yang sihat di luar sana. Malah, beliau berjaya melaksanakan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadah haji tahun ini bersama suaminya.
GAMBAR kenangan di hadapan Kaabah ketika Mahyana dan suaminya dijemput menunaikan ibadah haji musim ini (2024).
Apa yang pasti, apabila membaca bait-bait puisi yang dikarang oleh Mahyana di dalam buku The Bionic Woman, mengundang sebak dalam diri.
"Terima kasih Tuhan di atas Maha Agungnya segala nikmat-Mu, luas tak terhitung.
"Terima kasih Tuhan. Kau takdirkan ujian ini sebagai penghapus selautan dosaku.
"Aku terima sepenuh hati. Redha ikhlasku dalam diri.
"Terima kasih Tuhan. Ujian ini bukan zahir di mata, namun pada rasa dan dalam jiwa.
"Pintaku hanya satu. Moga pengakhiran untukku keampunan, kerahmatan dan keredaan-Mu."
Mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan buku ini, Mahyana mengakui bersyukur kerana manuskrip The Bionic Woman berjaya melepasi penilaian program Gelanggang Penulisan Akademi Bonda Nor (GPABN) Siri 1 yang disertai pada tahun 2022. Malah, disebabkan itu juga, beliau terpilih sebagai Peserta Terbaik GPABN Siri 1 lantaran komitmennya yang tinggi dalam menyiapkan manuskrip The Bionic Woman.
Sebagai seorang kaunselor, Mahyana sentiasa aktif dalam menjalani rutin harian meskipun menggunakan perentak jantung untuk meneruskan kehidupan.
Diterbitkan oleh MS Inspire Consultancy, buku The Bionic Woman terbahagi kepada lima plot yang merangkumi 178 muka surat berwarna. Plot 01 dimulai dengan bab Jantung Hati Baharu, diikuti Plot 02 (Terapi Diri Melalui Ekspresi Seni), Plot 03 (Bionik VS NLP), Plot 04 (Swacinta) dan Plot 05 (Epilog Cinta Tuhan).
"Penulisan buku ini disusun penceritaannya secara santai bagi menyentuh hati pembaca.
"Sebagai seorang kaunselor berpengalaman dan pengamal Neuro Linguistic Programming (NLP), elemen psikologi, tool kaunseling dan NLP dijalin aduk bersama. Ia inspirasi hidup bersama pacemaker, perentak jantung sepanjang hayat," ujar Mahyana.
Buku ini dijual pada harga RM35 di Semenanjung Malaysia manakala RM39 bagi jualan di Sabah dan Sarawak. Maklumat lanjut boleh hubungi Mahyana menerusi talian 012-6186523. - KitaReporters