Penduduk Avenue 4 terancam! Projek bersebelahan punca rumah retak, bunyi bising! Adun buat tinjauan!
Published byMohd Zamri Abdul Ghani memberi penerangan kepada Wong Siew Ki mengenai masalah keretakan yang berlaku di samping bimbang akan berlaku mendapan tanah.
PEMAJU perumahan seharusnya mengutamakan langkah keselamatan dan menghindari gangguan yang menjejaskan ketenteraman suasana penduduk yang tinggal berhampiran di kawasan projek mereka.
Perkara itu perlu dititikberatkan malah wajar diberi perhatian serius terutama membuat penyelidikan dan kajian mendalam terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek berkenaan kerana sudah pasti ada prosedur yang kena patuhi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Balakong di Selangor, Wong Siew Ki, berkata membuat sesuatu urusan atau aturan cara bekerja mesti ada prosedur yang wajar dipatuhi sama ada sesuatu projek itu besar atau kecil supaya tidak menjejas keselamatan, ketenteraman serta kerosakan harta benda penduduk berdekatan.
Mohd Zamri bersama-sama rakan menunjukkan tapak binaan perumahan baharu itu yang hampir dengan tembok belakang rumah mereka.
Menurut Siew Ki, apabila berlaku sesuatu perkara tidak diingini seperti bantahan atau rungutan daripada penduduk jangan cepat menuding jari dan menyalahkan satu sama sebaliknya dibawa berbincang, buat siasatan dan memberi perhatian terhadap perkara itu.
Tambah beliau, dengan cara itu akan ada penyelesaian terbaik yang akan memuaskan hati semua pihak dan keharmonian hubungan baik pemaju dengan penduduk di kawasan dibangunkan selama ini akan terus terjalin.
“Saya
secara peribadi tidak bersetuju jika ada projek dimajukan atau dibangunkan di satu-satu
kawasan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman penduduk, sedangkan
perkara ini perlu diberikan keutamaan sebagaimana menjadi hasrat Kerajaan Malaysia Madani sekarang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada 4 Jun 2023 ketika membuat tinjauan dan melihat secara dekat rungutan penduduk di Avenue 4, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) yang mendakwa rumah kediaman mereka mengalami kerosakan serta keretakan berikutan projek perumahan baharu Avenue 3 bersebelahan sejak awal tahun ini, .
Siew Ki (tiga dari kanan) melihat sendiri projek perumahan baharu yang memberi kesan keretakan kepada rumah penduduk bersebelahan pada 4 Jun 2023.
Siew Ki yang berada di kawasan berkenaan lebih satu jam melahirkan rasa dukacita dan menganggap perkara itu tidak seharusnya berlaku jika pemaju membuat penyelidikan serta kajian terperinci terlebih dahulu selain mematuhi prosedur yang mungkin mereka lebih arif.
Beliau berkata, sebagaimana dakwaan penduduk jika benar aduan telah dibuat kepada pemaju iaitu UDA Land Sdn Berhad, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta pihak berkenaan seharusnya sudah ada tindakan dibuat bukan hanya menunggu sesuatu kejadian tidak diingini berlaku baru hendak bertindak.
Menurutnya,
selepas berbincang dengan penduduk terbabit dia akan mengusulkan arahan
bertulis kepada pihak berkenaan untuk mengkaji semula perkara itu dengan serius
dan paling penting menghentikan segera buat sementara kerja pembinaan terutama
memasti pelbagai prosedur sudah dipatuhi.
“Saya juga akan merujukan perkara ini termasuk menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk sama melihat secara terperinci masalah yang menimpa penduduk ekoran projek berkenaan,” ujar beliau.
Seorang penduduk terbabit, Mohd Akhbar Rahmat Ali menunjukkan kepada Siew Ki gambar keretakan yang dialami rumahnya pada bahagian ruang tamu dan dapur.
Sementara
itu, wakil penduduk kawasan berkenaan, Mohd Zamri Abdul Ghani, berkata
kerosakan dan keretakan dialami enam rumah bersebelahan projek bermula awal
tahun ini apabila pemaju memulakan projek berkenaan.
Menurutnya,
masalah berkenaan semakin ketara apabila pemaju mula memasukkan pelbagai jentera
untuk menanam cerucuk bangunan serta memecahkan batu yang menyebabkan berlaku
gegaran kuat di samping bunyi bising hingga larut malam dan kerja-kerja
diteruskan pada hujung minggu sejak Februari 2023.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan kami mula berasakan binaan rumah akan terjejas dan rosak seperti berlaku sekarang selain bunyi bising itu menganggu ketenteraman mereka memiliki anak kecil atau cucu di samping ibu bapa yang uzur.
Tegas beliau, berikutan itu laporan sudah dibuat kepada MPKj juga pemaju mengenai perkara berkenaan namun tiada langkah berkesan diambil cuma menghentikan kerja pembinaan pada pukul tujuh malam.
“Sepanjang tempoh antara Februari sehingga Mei (2023) bantahan termasuk secara bertulis diajukan kepada MPKj dan UDA Land Sdn Bhd supaya satu tindakan drastik dilakukan termasuk menghentikan sementera projek dengan mengkaji semula prosedur yang perlu dipatuhi.
“Pelbagai permasalahan dan kerugian penduduk serta langkah yang perlu diambil oleh pihak berkenaan sudah diterangkan dalam surat yang dihantar pada 27 Mei 2023 sebagai makluman betapa serius perkara itu dan tidak dipandang ringan dengan alasan tidak munasabah,” ujarnya.
Shahimi dan Mohd Zamri menunjukkan kesan retakan yang berlaku pada tembok simen belakang rumah.
Rakan beliau, Shahimi berkata, jika dari awal pihak pemaju mematuhi prosedur pembinaan bangunan bersebelahan kediaman penduduk seperti membina cerucuk mengurangkan pergerakan tanah atau gegaran masalah itu boleh diatasi.
Menurutnya, keadaan yang berlaku sekarang bagi pihak terbabit mungkin tidak berapa ketara tetapi dalam jangka masa tertentu risiko amat berbahaya kepada binaan kediaman sedia ada kerana sudah terdapat dinding dan cermin rumah yang mengalami keretakan.
“Disebabkan itu kami bersepakat untuk memanggil Adun Siew Ki untuk datang berbincang dan melihat sendiri dengan lebih dekat perkara ini yang bukan sengaja direka-reka oleh penduduk demi menyelesaikan masalah keselamatan serta ketenteraman.
“Kita bukan membantah projek yang hendak dibangunkan oleh pemaju malah sentiasa menyokong usaha mereka kerana berjaya membina kawasan pembangunan bandar yang amat baik untuk didiami pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami amat berterima kasih kepada MPkj yang diketuai Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan, Bibi Khairani Mohamed Sabri; Ketua Pegawai Operasi UDA Land Sdn Bhd, Hadhri Ibrahim; Wakil Adun Balakong, Suzanah Hanim Wong; kontraktor dan kakitangan pihak terbabit hadir pada perjumpaan dengan penduduk terbabit18 Mei 2023,” katanya. - KitaReporters
Mohd Zamri menunjukkan kepada Siew Ki kesan retakan pada dinding bilik anak beliau.