Opah Ngomel| Sanggup bayar RM10k beli patung voodoo? Ulat keluar dari badan ketika solat masa umrah?
Published byKALAU kita lihat masa ini, TikTok banyak memaparkan kisah perawat tradsional bercakap dengan jin atau saka yang merasuk badan orang untuk menyakitkan mangsanya kerana penghantarnya mahu 'membunuh' secara senyap-senyap. Malah ada orang setaraf nenek merosakkan anak cucu menggunakan ilmu hitam ini.
Tu belum lagi adik-beradik yang berebut harta pesaka, rakan-rakan sepejabat yang cemburu bila kawan baiknya naik pangkat atau mengula-gulakan bos dengan 'makanan kotor' supaya mengikut cakapnya.
Dalam dunia perubatan Islam, rawatan alternatif ini pilihan terakhir selepas doktor tidak dapat mencari punca sakit.
Akhir-akhir ini ada pula cerita kenapa orang bercerai-berai dan pelik begitu mudah wanita boleh mendapatkan lelaki dan diikat pasangan mereka menjadi "patung" ikut saja arahan.
Untuk pengetahuan kita, jika seseorang itu kena sihir bomoh, selalunya selepas 10 tahun akan tawar dan jangan lupa sepanjang tempoh itu macam-macam usaha merawatnya kerana pemiliknya dikatakan terus menambah sihir dari semasa ke semasa supaya pasangan mereka jadi 'bebal' dan ikut kata.
Ini yang Opah nak bobelkan. Sebab pelik sungguhlah, bila putus cinta ada bekas kekasih sanggup bayar sehingga RM10,000 untuk mengupah bomoh membuat voodoo (patung yang dijadikan tempat melepas niat jahat) bagi menganiaya bekas pasangan. Mereka tak mahu bekas pasangan dapat pengganti.
Voodoo adalah kepercayaan animisme dan semangat roh. Kebanyakan kepercayaan Voodoo adalah mengenai pemujaan roh nenek moyang atau sejenis ritual agama yang dikatakan diamalkan di Caribbean (terutama di Haiti) dan selatan Amerika Syarikat, di Afrika oleh ahli sihir untuk merasukkan semangat mangsa.
Kisah ini Opah dengar bila ada orang minta tolong carikan perawat tradisional. Mereka mahu mengubati anak rakan yang menderita bertahun-tahun.
Malangnya Opah bukan saja tak arif malah Opah sendiri pernah mengalami kena sihir ini dan baik sendiri.
Kisahnya, kawan Opah ni ada anak dara yang setiap malam mengalami gangguan dan sakitnya sangat teruk. Ada masa tu, dia terasa lututnya'dipatahkan'. Masuk saja maghrib, mulalah meracau ketakutan.
Dada dia kadangkala terasa sakit macam kena cucukan jarum malah kakinya diputar sampai terkehel.
Doktor yang merawat kakinya sampai hairan setiap tahun, kes yang sama berulang - kepala lututnya berpusing tiba-tiba. Dah macam-macam rawatan sehingga ada yang kata mungkin lututnya sudah tiada pelincir lagi. Ada pula kata lututnya rapuh macam usia orang tua. Padahal usianya baru 20-an.
Nasib baiklah majikannya baik, dia dirawat di pusat perubatan swasta yang bukan sikit duit nak digunakan. Anehnya, dia bukanlah kaki disko atau kaki orang yang suka berjalan atau melakukan kerja yang banyak berjalan. Dia hanya bertugas dengan duduk di kerusi dalam sektor kewangan.
Akhirnya perawat tradisional terkenal itu 'melihat' bekas kawan budak perempuan ini menggunakan sejenis patung (voodoo) untuk membuatnya menderita. Patutlah setiap malam dia tidak dapat tidur dan seolah-olah, sakit badan dicucuk dengan jarum. Dia pakat main pulas lutut gadis ini. Patutlah tak sembuh-sembuh.
Ingat Opah nak pesan ya, jika sudah berputus kasih seelok-eloknya buang barang-barang yang dihadiahkan oleh bekas kekasih atau suami kerana ada orang menggunakan barangan terbabit sebagai pengantar atau rumah untuk perkara yang negatif dengan motif untuk menyihir anda.
Kes yang sama juga berlaku pada kawan yang lain. Entahlah apa yang didengkinya, kawan saya ini menderita sejak bercerai. Tubuhnya jadi lemah dan seringkali badan tidak bermaya. Ada hari, dia terasa 'batu' berat "melekat" pada kakinya.
Rawat punya rawat di serata Malaysia, sampaikan dia boleh merawat diri sendirilah. Akhirnya bila dia pergi Umrah. Ketika dia tunduk rukuk solat, dia dapat rasakan ulat berekor-ekor 'keluar' dari tubuhnya.
Sebelum itu, dia diberitahu tubuhnya penuh 'lohong' macam 'lubang' yang jika tidak berhati-hati, benda negatif mudah untuk masuk dan menghuni badan. Masuk maghrib dia mula sakit yang bukan-bukan.
Dalam kes ketiga, sebaik maghrib kawan ini lari sembunyikan diri dalam bilik. Dia kena duduk dalam gelap dan badannya dari gemuk, tinggal tulang. Sebenarnya orang nak sihirkan suami dia tapi terkena pada dia.
Opah cuma nak ingatkan satu saja, buat apa kita sihirkan seseorang yang kita sayang. Kalaulah takdirkan jodoh tak ada atau kena bercerai, reda sajalah sebab mesti ada pengajaran di sebalik putus kasih. Allah nak jodohkan kita dengan orang lain yang lebih baik atau bebaskan daripada kepincangan hubungan yang tiada kata putus.
Itu Opah bagi tahu salah seorang adik bila isterinya minta cerai. Jika dia boleh bahagia dengan pilihan, lepaslah.
Cinta itu bukan boleh dipaksa-paksa. Akhirnya adik meninggal dunia kerana sakit jantung. Usianya baru 30-an. Kekasih bekas isterinya, enggan berkahwin dengan alasan dia "ayam tua" walaupun duit EPF arwah sudah diberikan kepada lelaki itu, kononnya untuk membuka gerai burger.
Kita tak boleh memaksa orang sayangkan kita kerana waktu mendapatnya kita menggunakan sihir, akhirnya bila pasangan "tersedar", rumah tangga mulalah bergoncang. Kasih sayang kena ikhlas dan cinta pun mesti luhur sebab soal jodoh, rezeki dan ajal sudah tercatat di Loh Mahfuh. - KitaReporters