Video| Mrs Malaysia Globe 2023 tampilkan kelainan! Gabung kecantikan, isu sosial! Tiada baju renang!

Published by
KitaReporters

Hyacinth Ho (tiga dari kanan) bersama supermodel, Amber Chia sebagai jurulatih  'catwalk' dan empat daripada 18 finalis yang bakal bertanding merebut gelaran ratu cantik kategori Mrs Globe & Mrs Globe Classique pada Mrs Globe Malaysia (MMG) 2023. - Kredit foto: Instagram @mrsmalaysiaglobe


Lain dulang, lain kaki, lain orang lain hati, begitu pandangan Kak Fas terhadap perubahan yang dibawakan oleh Hyacinth Ho selaku Pengarah Kebangsaan Ratu Cantik ‘Mrs Malaysia Globe 2023’  (MMG) yang bakal menyaksikan 18 wanita  bersaing merebut gelaran itu pada malam kemuncaknya pada 5 November 2023 kelak.

Lazimnya apabila bercakap mengenai ‘Ratu Cantik’ pastinya anda akan membayangkan kelibat gadis-gadis cantik yang mempunyai bentuk badan meggiurkan berukuran 36-24-36 begitu...ya tak?

Namun kali ini, penganjur  Mrs Malaysia Globe (MMG) yang terdiri daripada wanita berkahwin mahu lari daripada stigma itu dengan membawa perubahan melalui paparan daya tahan dan perjalanan transformasi para peserta.



“Pada tahun ini (2023), melalui penggabungan tradisi dan elemen moden, pertandingan ratu cantik ini mencipta pengalaman unik yang membezakannya daripada tahun-tahun sebelumnya. 

"Ia akan tampil lebih berani, lebih sofistikated dan lebih glamor daripada sebelumnya, “ ujar Hyacinth ketika ditemui KitaReporters pada dua pengisian MMG baru-baru ini iaitu  ‘selam duyong’ (mermaid) di Arena Sukan Setapak dan aktiviti CSR meneroka pertanian beretika di Kebun Komuniti Keramat AU2.

Menurut Hyacinth yang juga merupakan ratu cantik MMG 2018/2019, lebih kurang enam aktiviti yang membabitkan kelestrarian, pertahanan diri dan advokasi sosial disusun bertujuan memperjuang era baharu yang menyatukan kecantikan setiap peserta menceritakan kisah kekuatan, belas kasihan dan warisan.

Lebih menarik, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kali ini MMG membuka peluang wanita Malaysia bertanding melalui dua kategori meliputi Mrs Globe bagi wanita berusia 28 hingga  45 tahun dan Mrs Globe Classique (berusia dari 45 tahun keatas) yang mana tahun ini ia berjaya menarik penyertaan seorang wanita berusia 61 tahun.



Untuk rekod, Mrs Globe ialah salah satu daripada 5 pertandingan ratu cantik bagi wanita berkahwin yang terkemuka dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa. 

Sebagai lambang pemerkasaan dan penghormatan terhadap wanita, selama lebih 13 tahun ia diadakan di Malaysia, terbukti impak daripada pertandingan Mrs Malaysia Globe (MMG) ini telah berkembang menjadi gerakan yang berpengaruh. 

Apakah perubahan yang dilaksanakan Hyacinth selaku pengarah baharu dalam memperkasakan wanita agar tidak dipandang pada gelaran sahaja bahkan tanggungjawab yang dipikul kala membawa gelaran itu?

“Di Mrs Malaysia Globe, kami percaya dalam kuasa menyumbang balik, jadi kami menggalakkan peserta dan penyandang gelaran untuk memperjuang isu-isu sosial yang dekat di hati mereka, memberi inspirasi untuk perubahan dan memberikan kesan positif kepada komuniti.” jelas Hyacinth sambil memaklumkan usaha advokasi menentang keganasan rumah tangga dan kesedaran mengenai disleksia merupakan tumpuan keutamaan peserta.

Untuk impak yang lebih mendalam dalam menangani isu keganasan rumah tangga, terdapat juga sesi latihan Muay Thai yang disesuaikan khusus untuk meneguhkan kepentingan pertahanan diri wanita di samping menunjukkan penggunaannya dalam situasi sebenar. 


Bersama kanak-kanak di Pusat Dyslexia Genius Titiwangsa, Kuala Lumpur.


Apa pun, dalam merungkai isu disleksia  yang boleh mendorong ke arah masalah keganasan rumah tangga, peserta dibawa berkunjung ke Pusat Dyslexia Genius Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk mereka membentuk kemeja-T,  memaparkan perkataan mencabar yang biasanya sukar dieja atau disebut oleh kanak-kanak disleksia.

Untuk makluman, ‘disleksia’ adalah gangguan pembelajaran yang memberi kesan kepada kemahiran membaca, menulis dan mengeja, sering dicirikan oleh kesukaran dalam pemprosesan bahasa. 

“Secara tidak langsung, matlamat kami adalah untuk menghentikan penderaan rumah tangga daripada berlaku melalui penyebaran kesedaran mengenainya, menolong mangsa dan menyediakan bantuan,” ujar Hyacinth.

Menurutnya, setiap kemeja-T yang dibentuk akan digayakan oleh kesemua ‘ratu’ pada malam akhir pertandingan dan akan dilelong bermula pada harga RM300 sehelai.

“Kami mensasarkan RM9,000 atau lebih dapat diperoleh melalui jualan lelong 30 kemeja-T berkenaan di mana kesemua hasil jualan akan disumbangkan kepada dua pusat Disleksia terpilih,” tambah Hyacinth mengharapkan juga dapat sokongan dan sumbangan pihak swasta, ahli korporat mahu pun individu dermawan dalam memeriahkan malam akhir Mrs Malaysia Globe pada 5 November 2023 depan, bertempat di Mega Star Arena, Sungai Wang dengan tema ‘Keanggunan Hitam & Emas”.

Mereka yang ingin bersama meraikan malam tersebut boleh membeli meja pada harga RM5,000 (platinum) dan RM3,888 (emas) di mana sebahagian daripada hasil jualan tiket keseluruhannya akan disumbangkan kepada 'Volunteer with Love', sebuah organisasi yang setia mencurahkan kasih sayang, sokongan dan bantuan kepada individu dan komuniti sejak 2016. Untuk pembelian tiket atau maklumat lanjut boleh menghubungi talian 012 3188928.



Hyacinth (kiri) bersama sebahagian daripada finalis yang mencuba selam duyong di Arena Sukan Setapak. - Foto: FAS


Berkongsi lanjut, Hyacinth  memberitahu, selain aktiviti disleksia, peserta turut  \mengambil bahagian dalam sukan selam duyung (mermaiding) dalam mempromosikan kesihatan dan kecergasan. 

Selam duyung semakin popular sebagai aktiviti yang digunakan untuk mempromosikan pelancongan serta meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan laut. 

Meninjau seketika aktiviti Selam Duyung yang dilalui semua peserta selama lebih kurang tiga jam, Kak Fas dapat melihat kesungguhan mereka mencuba cara menyelam ala-ala puteri duyung.



Pun begitu, yang tidak tahu berenang tetap dilihat selesa berendam menikmati kesegaran air kolam renang Arena Sukan, Setapak waima tidak syak lagi, ikan duyung adalah satu bentuk senaman yang unik,  melibatkan pelbagai pergerakan, daripada berenang berintensiti tinggi kepada rutin berinspirasikan tarian, semuanya sambil berseronok.

"Ini juga salah satu cara kami memberi peluang kepada peserta untuk keluar dari kepompong kebiasaan mereka sebagai wanita berkeluarga agar dapat ketenangan diri seketika," Hyacinth berpendapat.


Gambar atas kelihatan sebahagian daripada finalis MMG memetik cili padi manakala gambar bawahnya, Kak Fas bersama Nik Enura yang mengelolakan pihak media tidak ketinggalan meninjau kawasan Kebun Komuniti AU2 Keramat sambil melihat tanaman buah anggur, pokok kulit kayu manis dan pelbagai lagi.


Bertitik tolak dari ‘laut’, peserta tidak ketinggalan mencurahkan bakti kepada 'bumi' apabila diberikan kesempatan memperoleh pengalaman praktikal dalam mempelajari cara menuai tanaman sekali gus memetik buah-buahan, sayur-sayuran mahu pun mengutip telur itik di sekitari Kebun Komuniti AU2 Keramat.

“Ini antara projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menekankan kepentingan amalam lestari dalam kehidupan seharian kita,” ujar Hyacinth berhubung aktiviti pertanian beretika itu.

Pada acara yang berlangsung dengan kerjasama syarikat berorientasikan kerja sosial, 'Abundance Venture' kesemua ‘ratu-ratu’ dibenarkan memetik apa sahaja tanaman herba, sayuran dan buah-buahan yang ada dalam kawasan seluas 0.8 hektar itu.


Mohamad Halim Mohamad Said bersama Hyacinth dan 10 finalis MMG serta Sarah Aloysius (tiga dari kiri) daripada Abundance Ventures.

“Terdapat hampir  300 tanaman di sini yang boleh dipetik sendiri dan dijual pada harga separuh daripada harga pasaran di luar kepada golongan B40 malah sejak beroperasi pada tahun 2015 sebahagian besar daripada hasil tanaman disumbangkan kepada komuniti di kawasan ini secara percuma,” ujar Pengerusi Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2, Taman Keramat, Mohamad Halim Mohamad Said ketika ditemui. Turut bersamanya, Pengasas Abundance Ventures (AV), Shih-lene Kee dan E-lene Kee serta Pelatih Kelestarian AV, Sarah Aloysius.


Dari kiri: Hyacinth, E-Lene Kee, Shih-Lene Kee dan Sarah Aloysius bersama kereta Volvo yang menjadi penaja pengangkutan finalis MMG 2023.


Dibuka kepada orang ramai, menariknya pengunjung dapat melihat tanaman padi mahu pun buah anggur turut disemai dan menjadi tarikan utama  apa tah lagi dengan pelbagai sayur-sayuran serta ulam-ulaman segar yang ditanam dapat dipetik sendiri samada pada harga rendah atau pun tanpa bayaran tetapi melalui sumbangan ikhlas pada tabung yang disediakan. 

Teruja betul para peserta MMG memetik dan membawa pulang hasil tanaman seperti cili api, terung, dedaun ulam, telur itik  dan sebagainya. 


Tak perlu pergi jauh untuk melihat tanaman padi, di Kebun Komuniti AU2 Keramat ni pun ada. Subur lagi..



Beralih pada malam akhir MMG 2023, Hyacinth  memaklumkan buat pertama kalinya kelainan akan ditampilkan pada pengisian majlis di mana para peserta tidak lagi akan tampil seperti kebiasaan pertandingan ratu cantik iaitu dalam baju renang mahu pun terdedah.

Menghapuskan acara stereotaip itu, peserta bakal melalui beberapa pengisian baharu antaranya akan tampil dalam imej gaya ‘Barbie’ dan seterusnya menggayakan diri umpama bintang Hollywood idola kegemaran masing-masing melalui pakaian gaun.

“Ketika kita pada peringkat kanak-kanak sudah tentu suka bermain dengan anak ‘doll’ Barbie kan? Jadi kita memberikan peluang itu untuk peserta menyerlahkan impian mereka sebagai ‘Barbie’ pilihan masing-masing. Begitu juga artis Hollywood mana yang mereka minat untuk dijadikan contoh seperti Datuk Michelle Yeoh atau lain-lain,” sambung Hyacinth.

Dari persembahan muzik tradisional yang memukau sehingga pakaian finalis yang mempesona, pusingan akhir pasti membuat penonton terhibur. 


Setiap ratu finals akan memperaga baju kebaya dan tidak lagi memakai baju renang.


Irama merdu sape, alat muzik tradisional Sarawak, akan mengiringi peragaan pakaian kebaya dari jenama popular, Ang Eng malah penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan dua alat muzik tradisional Cina, guzheng dan erhu.

Dengan acara yang menitikberatkan budaya dan warisan, mungkinkah pihak penganjur ingin membawa mesej bahawa pertandingan ratu cantik bukan sekadar cantik luaran sahaja bahkan wanita yang dijulang pada keseluruhannya adalah lambang keperibadian wanita Timur. 

Apa pun tak sabar nak tahu siapa agaknya yang berjaya dinobatkan Mrs Globe dan Mrs Globe Classique bagi Mrs Malaysia Globe yang berpeluang ke China dan Amerika Syarikat pada tahun hadapan bagi merebut gelaran Mrs Globe dan Mrs  Globe Classique yang akan menyaksikan persaingan yang lebih mencabar antara lebih 60 negara terlibat. - KitaReporters 


Siapa antara mereka ini akan bergelar Mrs Globe dan Mrs Globe Classique Malaysia ke pertandingan akhir yang akan diadakan di China dan Amerika Syarikat pada tahun hadapan?

16
14
0
12
0

Copy Link: