Peranan wali dalam pernikahan penting kerana ia salah satu daripada rukun nikah yang wajib dipenuhi selain pengantin lelaki, pengantin perempuan, saksi, ijab dan kabul.

Umumnya, jika bapa masih ada, dialah menjadi wali kepada anak perempuan namun jika telah tiada kuasa itu berpindah kepada yang lain berdasarkan kedudukan utama seperti datuk sebelah bapa serta adik-beradik lelaki seibu sebapa.


Siti Noor Nazirah Osman (kiri) dan adiknya, Siti Noor Ain Natasya. 


Dua beradik dari Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu iaitu Siti Noor Nazirah Osman, 21, dan Siti Noor Ain Natasya Osman, 20, harapkan pertolongan semua pihak membantu mereka mencari wali nasab adik beradik datuk mereka.

Menurut Siti Noor Ain Natasya, ayahnya iaitu Osman Hatan yang berasal dari Indonesia telah meninggal dunia pada 26 Mac 2008 lalu akibat masalah kesihatan.

"Saya dan kakak rancang untuk berkahwin pada Oktober (2023) lalu namun tidak dapat dilaksanakan kerana masalah wali. Kami masih belum berjaya cari wali nasab adik-beradik datuk sebelah ayah saya iaitu datuk saudara. 

"Datuk (Hatan) serta nenek (Halimah) telah lama meninggal dunia, ayah pula anak tunggal. Kami juga tiada adik-beradik lelaki yang boleh menjadi wali perkahwinan. 

"Emak, Siti Zaharah Sidek, 56, berkahwin setelah berjumpa ayah yang datang ke negara ini untuk bekerja. Kami langsung tidak kenal ahli keluarga sebelah bapa," katanya. 

Tambah bakal pengantin ini, dia telah berusaha mencari namun belum berjaya dan turut mengharapkan sokongan serta doa orang ramai agar urusan mereka dua beradik membina mahligai dipermudah.  



Sementara itu, Siti Zaharah berkata setelah mendirikan rumah tangga dia terlebih dahulu menetap di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil, Hulu Terengganu.

"Suami (arwah) datang dari negara asalnya dan bekerja di Terengganu sebelum meninggal dunia di negeri ini juga. Sepanjang perkahwinan kami, saya tidak mengenali ahli keluarganya serta tidak pernah ke sana.

"Dia pernah bercerita dengan saya, datang ke Malaysia ini bersama beberapa orang kawan sekampungnya. Saya pernah temui mereka tetapi kini telah terputus hubungan.

"Dia telah berusaha mencari rakan suaminya itu namun tidak berjaya. Semua gambar arwah suami pula telah dihanyutkan air setelah rumah di Kampung Pengkalan Ajal dilanda banjir," ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah mengenali mengenai Osman Hatan boleh menghubungi  talian 013-8786843. - KitaReporters


SITI ZAHARAH SIDEK 

13
12
2
14
0

Copy Link: