Kredit foto: Harian Metro


SIANG hari menadah tangan mengemis, mengharapkan ada yang sudi menghulur seringgit dua. Pada waktu malam selepas tamat ‘waktu bekerja’, berehat dan menginap di hotel yang ada kelas menggunakan wang hasil mengemis.

Ini bukan fantasi atau cerita rekaan. Tetapi ia adalah realiti kehidupan pengemis warga asing di negara ini seperti didedahkan oleh Jabatan Imigresen, yang menjalankan serbuan dan menahan pengemis warga asing, khususnya di ibu kota Kuala Lumpur.

Dikatakan, pengemis ‘mewah’ ini dari negara Arab, antaranya Syria dan Iraq, serta beroperasi bersendirian. Hakikat bahawa mereka mampu tinggal di hotel berkelas menunjukkan hasil mengemis saban hari adalah banyak. Dalam sebulan boleh mencecah puluhan ribu ringgit.


Kredit foto: TV AlHijrah


Setelah mengemis untuk jangka masa tertentu, Pak Arab ini balik ke kampung halaman untuk berkongsi hasil mengemis dengan kaum keluarga. Setelah tempoh tertentu, mereka datang balik ke negara ini meneruskan aktiviti menyeleweng mereka. Ada yang membawa bersama saudara mara atau kawan untuk mengemis.

Sebenarnya ramai pengemis asing di negara ini. Ada dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar atau Filifina. Tetapi mereka ini tidak pula dilaporkan hidup mewah atau tinggal di hotel. Mungkin apa yang mereka peroleh tidak sebanyak diperoleh pengemis Arab. Atau mungkin mereka ini jenis berjimat.

Malah dilaporkan pengemis dari negara-negara berkenaan hidup dalam daif. Serbuan Jabatan Imigresen mendapati mereka ini bekerja dengan sindiket. Ketua sindiket menempatkan mereka di bangunan kedai yang telah dipecah-pecahkan menjadi bilik-bilik kecil.

Di ruang yang sempit inilah mereka berehat dan tidur selepas mengemis. Selain sempit, persekitaran tidak dijaga, kotor serta berbau. Walau pun tidak selesa terpaksa ditanggung selagi masih di bawah telunjuk ketua sindiket.

Pihak berkuasa, terutama Jabatan Imigresen, juga penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang masa menjalankan operasi membanteras pengemis asing, apatah lagi yang masuk ke negara ini tanpa permit. Kita harap operasi akan berterusan. 


Kredit foto: Kosmo Digital


Di sebalik usaha ini, kegiatan mengemis di seluruh negara, terutama bandar besar, masih sukar dibendung sepenuhnya. Hari ini ditangkap, akan kembali aktif selepas dibebaskan. Jika ada yang ditangkap, ramai yang lain meneruskan aktiviti. Jika ramai dihantar balik, ramai pula orang baharu yang datang.

Ini belum mengambil kira pengemis warga tempatan yang ramai berkeliaran di merata tempat.  Tumpuan mereka di pusat beli belah, premis bank atau pejabat pos, masjid atau mana-mana juga tempat tumpuan awam. Bagi mereka di tempat sedemikian peluang memperoleh banyak wang lebih cerah.

Terdapat pengemis yang memperoleh hasil mengemis sehingga ribuan ringgit dalam sebulan, jauh melebihi pendapatan bulanan mereka yang berjawatan tinggi dalam sektor awam atau swasta. Malah dilaporkan hasil siasatan mendapati ada pengemis mempunyai simpanan puluhan ribu ringgit.

Pengemis dari rumah ke rumah pun ada. Pada hari tertentu, misalnya Jumaat, mereka bergerak dari rumah ke rumah di taman-taman perumahan. Ada yang membawa anak kecil bagi menimbulkan simpati orang ramai. Yang tidak sampai hati akan menghulur wang.

Kegiatan mereka ini juga biasanya didalangi sindiket. Pengemis dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dihantar dengan van ke kawasan-kawasan ditetapkan. Setelah selesai, mereka diangkut kembali ke tempat kediaman.

Hasil kutipan diambil oleh ketua sindiket. Pengemis itu sendiri diberi upah terlalu sedikit, itu pun jika diberi. Kepala sindiket memberi alasan oleh kerana kediaman dan makanan disediakan, tidak perlu lagi untuk memberi upah wang ringgit. Jelas ini satu eksploitasi.


Kredit foto: BeautifulNara


Kenapa kegiatan mengemis subur di Malaysia? Bagi penulis sebab utama ialah sikap sebahagian besar rakyat negara ini yang pemurah. Hulur sahaja tangan, wang diberi. Mudah kasihan dan tidak sampai hati menghampakan harapan orang yang meminta.

Kerana sikap inilah ramai pengemis warga asing suka negara ini dan menganggapnya syurga untuk pengemis. Begitu juga dengan warga tempatan. Mereka tahu jika tidak banyak pun hasil diperoleh, tetap ada yang bersimpati, tidak lokek menghulur wang.

Mengemis sukar dibendung selagi ada yang sedia memberi. Oleh itu wajar rakyat negara ini tidak terlalu pemurah. Ubahlah sikap. Pengemis harus berusaha, bukan hanya meminta-minta. Jika orang ramai hendak membantu, salurkan melalui badan-badan khas yang dibenar atau diluluskan oleh kerajaan. - KitaReporters

8
13
0
9
0

Copy Link: