Dah bersiap sedia untuk Ramadan? Surau Al-Falah Danau Kota orak langkah persiapan sambut bulan puasa!
Published by
Poster 'Ihya Ramadan' Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur memperincikan program yang bakal dijalankan sepanjang bulan Ramadan.
SUNGGUH pantas masa berlalu. Rasanya baharu sahaja berpuasa dan menyambut Aidilfitri tahun lalu (2024). Kini Ramadan bakal menjelma tidak lama lagi. Sekarang bulan Rejab, kemudian diikuti Syaaban.
Selepas itu
muncul Ramadan, bulan umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah berpuasa,
menunaikan Rukun Islam ketiga. Dijangka umat Islam di Malaysia mula
berpuasa pada 2 Mac 2025 dan berhari raya pada 31 Mac. Tarikh ini tertakluk
kepada perubahan dan pengesahan.
Walaupun
masih ada beberapa minggu sebelum Ramadan bermula, namun Surau Al-Falah Danau Kota
(SAFDK), Setapak, Kuala Lumpur, sudah mengorak langkah menggerakkan persiapan
menyambut bulan puasa melalui ‘Program Ihya Ramadan SAFDK 1446H/2025H’.
Untuk itu
mesyuarat pertama persiapan Ramadan diadakan pada Khamis 16 Januari 2025 lalu di
bilik mesyuarat surau. Yang hadir pengerusi surau, Puzi Ahmad; timbalan pengerusi,
Datuk Khalil Azlan Chik, ahli jawatan kuasa surau (AJK) serta cabang muslimah.
Fokus utama merancang pengisian program keagamaan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, tahlil dan doa, tazkirah, tadarus dan khatam Quran. Turut dibincang perancangan majlis berbuka puasa atau iftar sepanjang Ramadan, termasuk Iftar Perdana. Selain itu kaunter zakat juga disediakan.
Puzi Ahmad (kanan) dan Khalil Azlan Chik pada mesyuarat pertama persediaan 'Ihya Ramadan' Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak di bilik mesyuarat surau pada 16 Januari 2025.
'Ihya Ramadan' ialah acara tahunan surau. Namun begitu persiapan rapi perlu dibuat bagi memastikan
setiap perancangan berjalan lancar. Di mana sesuai, usaha menambah baik program
akan dilakukan dengan merujuk pengalaman tahun lalu (2024).
Pihak surau mahu perancangan aktiviti Ramadan tahun ini (2025) berjalan licin dan lancar. Justeru untuk tujuan itu, mesyuarat melantik ketua bagi beberapa biro yang bertanggungjawab menyusun gerak kerja.
Khalil Azlan telah dilantik pengarah projek, manakala Abd Hamid Hashim, yang juga timbalan pengarah projek 'Ihya Ramadan', memegang teraju ketua Biro Dakwah yang menyelaras imam, bilal solat, solat tarawih, tadarus Al-Quran, tazkirah dan khatam Al-Quran.
Biro Makanan diketuai Abdullah Othman, bertanggung jawab mengurus kontrak makanan dan minuman serta mempastikan kualiti dan kuantiti makanan.
Biro Kewangan dan Penajaan diketuai Shahruddin Abd Aziz. Biro ini bertanggungjawab mendapatkan penajaan bagi aktiviti surau sepanjang Ramadan.
Biro Pengurusan dan Sektariat diketuai Dzulfakar Adam, Biro Keselamatan dan Trafik diketuai Roslan Hassan. Biro Logistik merangkumi peralatan dan kebersihan, petugas semasa iftar, moreh dan sahur diketuai Ghazali Katun. Biro Muslimat yang mengendalikan aktiviti Muslimat pula diketuai Mahan Ismail.
Pihak Surau Al-Falah, Danau Kota menyediakan tabung khas di surau berkenaan untuk orang ramai menghukur derma menjayakan 'Ihya Ramadan'.
Tabung infaq 'Ihya Ramadan' di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Memandangan faktor kewangan ialah ciri penting menjayakan program yang diatur, sumbangan ahli jemaah, ahli kariah, orang ramai serta badan-badan korporat, perbankan amat diharapkan bagi mengumpul dana yang diperlukan.
Pihak surau telah mengambil langkah awal menyediakan tabung khas 'Ihya Ramadan' untuk jemaah dan orang ramai menghulur derma. Kesemua sumbangan diperoleh melalui tabung ini akan digunakan khusus bagi perbelanjaan berkaitan aktiviti Ramadan.
Orang ramai juga boleh memberi sumbangan penajaan iftar untuk 250 pek sehari. Tajaan boleh dibuat dalam bentuk wang ringgit, atau pek makanan dan minuman tersedia.
Pihak surau akan mengurus pengagihan. Penyumbang dialu-alukan untuk hadir sama berbuka.
Ruang solat utama Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak. Surau ini jadi tumpuan warga kariah serta warga asing beragama Islam yang tinggal di persekitaran surau.
Ruang solat bahagian luar Surau Al-Falah, Danau Kota, yang dilimpahi jemaah pada solat Jumaat, tarawih serta solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
Surau Al-Falah, yang juga surau Jumaat, merupakan tumpuan penduduk Danau Kota dan sekitar. Selain itu ia dianggap sebagai ‘surau antarabangsa’ kerana ramai warga asing beragama Islam dari beberapa negara yang tinggal di persekitaran, sama ada sebagai pelajar atau bekerja, berkunjung ke surau ini.
Setiap minggu pada solat Jumaat, atau solat sunat tarawih serta solat sunat Hari Raya Aidilfitri atau Adidiladha, menyaksikan jemaah memenuhi surau sehingga melimpah ke luar. Pada solat fardu biasa, kehadiran juga ramai memenuhi ruang solat utama.
Harapan pihak Surau Al-Falah ialah agar orang ramai, badan korporat, perbankan, syarikat perniagaan dan lain-lain bermurah hati membantu pembiyaan menjayakan 'Ihya Ramadan'. Sesungguhnya amalan baik ini akan mendapat ganjaran besar daripada Allah.
Kepada yang ingin menderma atau memberi tajaan, boleh hubungi Puzi Ahmad menerusi talian 0196006731; Khalil Azlan Chik melalui talian 0196000236; Ramly Adam (Bendahari) melalui talian 0122969495 atau Shahruddin Abd Aziz menerusi talian 0123223409.
Sumbangan juga boleh disalur melalui Bank Islam nombor akaun 12113010021501. Sila nyatakan ‘Ihya Ramadan 1446H’ dan hantar resit kepada mana-mana nama yang disebut di atas.
Semoga budi semua penderma Allah jua yang membalas. - KitaReporters
Sebahagian lagi yang hadir pada mesyuarat pertama 'Ihya Ramadan' Surau Al-Falah, Danau Kota pada 16 Januari 2025.