Diari Mama Masscom| Laporan Khas| Allah sahaja yang tahu! Seksanya hidup kami jaga pesakit mental!
Published by"Kami tak pernah menduga Allah akan berikan tanggungjawab yang sangat besar menjaga ahli keluarga yang sakit mental.
"Bukan mudah, dengan pelbagai rintangan, stigma dan tohmahan masyarakat serta terpaksa berkorban banyak perkara untuk meneruskan menggalas amanah besar ini.
"Orang yang tidak pernah jaga pesakit mental tidak akan tahu kesengsaraan penjaga, menjaga orang ada masalah kesihatan mental ni." Begitulah luahan penjaga kepada salah seorang pesakit mental
Penulis ada mewawancara beberapa penjaga pesakit mental dan mereka bersedia berkongsi pengalaman menjaga pesakit mental ini.
"Pesakit mental ni kadang tu dia baik bila depan doktor tapi dengan keluarga sendiri atau orang yang menjaganya dia akan buat macam macam hal. Mereka ni sukar nak diramalkan," kata Nisa, 36 tahun, dari Pahang.
Beliau yang menjaga ibunya yang sakit mental lebih 30 tahun lalu berkata "saya telah korbankan masa muda saya menjaga ibu dan sehingga kini saya juga menjaga suami yang sakit.
"Sejak kecil saya dah jaga ibu yang sakit mental ni. Saudara mara bagi tau saya, ibu meroyan lepas bersalinkan saya dan disahkan sakit mental. Sehingga sekarang ibu masih belum pulih.
"Sejak kecil saya memang tak ada life, kena duduk rumah jaga Ibu yang macam-macam karenah.
"Ibu nampak normal di mata orang dengan penampilan sangat baik, tapi hakikatnya dia sangat sukar dijaga dan dikawal tingkah lakunya. Dia terpaksa makan ubat setiap hari tapi perangai perangai peliknya kadangkala membuatkan saya tidak tahan sabar.
"Yang lebih sukar buat saya ialah dia adalah ibu saya, jika selalu marah, saya bimbang jadi anak derhaka.
"Pernah Ibu buat perangai buang air kecil merata-rata sudahlah saya penat urus rumah dan jaga suami, saya terpaksa bersabar dengan karenah Ibu "yang tinggi darjatnya" dan tak boleh kita lawan dia nanti jatuh derhaka.
"Saya memang sangat stres dan berharap dapat cuti untuk merehatkan minda dan fizik saya yang terlalu penat. Saya hanya mengambil upah menjahit untuk menampong kehidupan keluarga.
"Saya berharap ada tempat untuk letakkan Ibu sebulan dua sementara saya rehatkan minda untuk kembali kuat menjaga dia. Saya sangat sangat perlukan rehat dari segi emosi dan fizikal," jelasnya.
Bagi Nor, 38 tahun, dari Perlis yang mempunyai suami yang sakit mental, hidupnya umpama sudah jatuh ditimpa tangga.
Suami yang disahkan sakit skizo terpaksa berhenti kerja kerana selalu berkelakuan pelik dan selalu marah-marah di tempat kerjanya.
Bila suaminya disahkan sakit mental bermulalah episod huru hara dan kucar kacirnya kehidupan keluarga Nor. Anak anak turut terkesan dengan masalah yang dihadapi oleh bapa mereka.
Adakalanya suami Nor menjadi ganas dan memukul keluarganya. Mereka terpaksa melarikan diri sekejap atau mengunci diri dalam bilik sehingga ayah mereka reda daripada kemarahan kerana sakit mentalnya.
Menurut Nor oleh kerana suaminya sakit mental, jiran-jiran telah memulaukan keluarga mereka.
Nor dan anak-anak berusaha cuba merawat suaminya dengan membawanya ke hospital untuk rawatan. Namun bukan mudah kerana mereka tingal di kawasan agak terpencil di Perlis.
Paling menyedihkan kebelakangan ini Nor perasan anak sulungnya seorang perempuan baru berusia 19 tahun sudah ada simpton sakit mental seperti ayahnya.
Nor berharap ada pusat rehab percuma untuk menghantar suaminya ke sana. Kerana beliau dan anak-anak yang lain sudah buntu untuk memikirkan bagaimana nak bantu memulihkan suaminya itu. - KitaReporters
Ikuti kisah selanjutnya pada episod seterusnya dalam laporan khas ini