Indahnya Hidup Bersyariat! 10 pasangan Orang Asli gembira dapat surat nikah! Supaya terus istiqamah!
Published byMokhtar Salleh menyerahkan surat nikah kepada seorang isteri pasangan Orang Asli
KEGEMBIRAAN jelas terbayang pada wajah sepuluh pasangan suami isteri Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu apabila mereka menerima Surat Akuan Nikah yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi menandakan mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut Islam.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata, penyerahan surat tersbut adalah bagi memperkukuh kefahaman dan amalan agama Islam dalam kalangan masyarakat komuniti Orang Asal tersebut.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JHEAT untuk memastikan masyarakat Orang Asli turut memahami dan mengamalkan hukum syarak dengan betul.
“Penyerahan Surat Akuan Nikah ini adalah langkah penting dalam memastikan setiap perkahwinan diiktiraf secara sah di sisi undang-undang dan agama,” katanya lagi.
Menurutnya, JHEAT melihat keperluan mendalam dalam memperbaiki kefahaman masyarakat Orang Asli mengenai undang-undang keluarga Islam, khususnya dalam aspek perkahwinan dan makanan halal.
“Program ini bertujuan untuk memberikan penjelasan dan panduan yang tepat agar mereka dapat menjalani kehidupan beragama dengan lebih baik dan sesuai dengan tuntutan Islam,” katanya sempena Program Santuni Masyarakat Orang Asli: Indahnya Hidup Bersyariat di Dewan Masjid Felcra Bukit Kapah, Hulu Terengganu.
Sempena program itu, pihak JHEAT turut menyampaikan bantuan kepada komuniti Orang Asli itu yang berupa barangan keperluan dan wang tunai, manakala daripada pihak ADUN Telemong pula, beliau menyerahkan sumbangan kain pelekat dan kain sembahyang.
Moktar berkata, dengan adanya Surat Akuan Nikah itu, pasangan-pasangan tersebut kini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan dengan penuh keyakinan dan kepatuhan terhadap undang-undang Islam.
Tambahnya, ia juga membantu dalam memastikan hak-hak setiap pasangan terjamin dan diiktiraf secara sah.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh amalan agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut,” katanya.
“Selain penyerahan Surat Akuan Nikah, program ini juga melibatkan sesi penerangan mengenai pentingnya pengamalan sembahyang lima waktu dan pemahaman mengenai makanan halal.
“Harapan kami adalah agar setiap pasangan yang menerima Surat Akuan Nikah ini akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pasangan suami isteri dengan penuh kesedaran dan kefahaman tentang tuntutan agama,” ujar Moktar lagi. - KitaReporters