Sembang-Sembang| Bila balik raya! Hotel, homestay dah jadi pilihan! Rumah atok nenek bertukar suram!

Published by
KitaReporters


Bukan mereka cerita tapi sudah jadi realiti. Balik kampung beraya turut merubah gaya hidup masyarakat sekarang. Dahulu rumah ayah ibu menjadi lokasi adik beradik dan anak cucu berkumpul pada malam raya. 

Malam terakhir berpuasa adalah malam perhimpunan keluarga adik beradik, anak cucu dan cicit jauh dan dekat sebelum menyambut Syawal keesokannya. 

Pada malam itu, suasana sangat meriah. Memasak rendang dan merebus ketupat menjadi rutin seluruh keluarga. Yang perempuan sibuk menghias rumah, gantung langsir dan mencuci pinggan mangkuk dan bekas isi kuih untuk hidangan. 

Atok pula sibuk melayan cucu-cucu memasang pelita untuk gembirakan cucu-cucu bermain bunga api dan mercun sambil berlari-lari keliling rumah. 

Manisnya kenangan itu. Mungkinkah berulang suasana yang sama atau hanya tinggal kenangan? 



Masa berubah. Suasana juga bertukar. Rumah atok nenek sudah tidak releven untuk anak cucu yang tinggal di bandar dan biasa hidup dengan teknologi serba canggih. 

Sebahagian atok nenek tidak lagi menunggu kemunculan cucu di muka pintu macam dulu-dulu. Tidak lagi menikmati suasana malam raya yang meriah dengan gelak ketawa anak cucu. Jika adapun hanya segelintir sahaja lagi. 

Beruntung yang masih menjadikan kampung untuk berhari raya. Yang sanggup berkongsi apa yang ada di rumah ayah bonda walau tidak sempurna. 

Namun bagi yang memilih untuk tinggal di hotel dan homestay perlu berfikir kemungkinan anda telah mengguris hati orang tua. 



Lalu teringat saya masa dulu-dulu semua adik beradik jauh dekat berkumpul di rumah ayah bonda. Tidur hanya di ruang tamu. Mak siap letak bantal dan toto atau loghat utara dipanggil lemek di tengah rumah. 

Bilik hanya untuk salin baju anak menantu cucu perempuan. Yang lelaki tidur menghadap TV di ruang hadapan sambil bersembang sampai ke pagi. Tak pula merungut semua nampak gembira. 

Keadaan sekarang berbeza. Anak-anak cucu yang terbiasa dengan hidup di bandar sudah tidak boleh menerima apa yang kita lalui dahulu. 

Mereka utamakan wifi, internet dan privacy bila balik kampung beraya. Sebut sahaja nak tinggal di rumah atok. Mulalah merungut. Tarik muka. Line rumah atok slow. Susah nak rileks dan macam-macam lagi alasan. 

Sudahnya mak ayah ikut kehendak anak-anak. Homestay jadi pilihan. Jika yang berada dan kampungnya berhampiran bandar hotel jadi pilihan. 

Keadaan ini menyebabkan rumah atok menjadi sunyi. Tinggal atok dan nenek dan penghuni rumah sahaja bergelut di dapur. Anak cucu berehat sebab penat travel pada hal main telefon sahaja. 

Jangan fikir ibu ayah tidak kecil hati. Jauh di sudut hati mereka sedih. Namun menerima hakikat, dulu dan sekarang sudah tidak sama. 

Dahulu anak cucu terima seadanya kehidupan di kampung tapi sekarang anak cucu sudah celik mata. Mereka anak era teknologi yang pentingkan gaya hidup. 

Ibu bapa pula gagal memujuk supaya meneruskan tradis yang pernah mereka lalui. Berebut bilik mandi dan beratur menunggu giliran hendak gosok baju raya juga sangat indah. 

Syabas kepada ibu bapa yang berjaya mendidik anak anak tentang asal usul… tidak lupa diri dan pandai membawa diri bila balik kampung walau hidup mereka di bandar serba mencukupi. 



Tidak salah tinggal homestay atau hotel. Tapi tanggungjawab perlu diutamakan. Bantu kerja dapur. Bantu bersih dan hias rumah… jangan memerap di homestay atau hotel. 

Baliklah sertai ipar duai dan biras buat kerja di rumah… biar orang tua gembira. Meriahkan malam raya dan hari raya dengan silaturrahim dan kasih sayang. 

Yang penting jaga hati orang tua yang pernah mencipta kenangan dengan kita. Gembirakan mereka. Bahagiakan mereka. 

Tentang ketidakselesaan itu perkara kedua. Bukannya balik sebulan, paling lama dua tiga hari saja pun. 

Tidak mati tak dapat tengok TV. Tidak rugi tak main telefon sebab Aidilfitri hari meraikan kemenangan dan mengeratkan kasih sayang dan bermaaf-maafan. 

Bergilir-gilirlah tidur di rumah mak ayah pada hari raya… muafakat membawa berkat. Sementara mereka masih ada. Jangan menyesal bila hari raya terpaksa disebut tanpa mereka. 

Apapun ibu bapa harus menerima kenyataan. Dahulu dan sekarang sudah tidak sama. Anak anak sudah berkeluarga dan ada kehidupan sendiri. Banyak perkara yang perlu diambil kira terutama bab aurat dan pergaulan. 

Saya yakin ibu bapa faham situasi anak-anak. Tapi mungkin anak-anak yang terlepas pandang akan hati ibu bapa. 

Jumpa lagi di catatan akan datang. - KitaReporters


9
18
0
12
0

Copy Link: