Dari kanak-kanak nakal jadi pendakwah sepenuh masa! 40 tahun berdakwah di seluruh negara dan dunia!
Published byAris Tayib (kiri sekali) bersama rakan-rakan yang menyertai kerja-kerja dakwah di Amerika Syarikat.
KEMBARANYA dalam dunia dakwah sudah menjangkau lebih 40 tahun, satu angka yang panjang dan matang bagi seorang insan biasa, menempuh pelbagai suka duka, ranjau dan pancaroba tapi masih kekal teguh untuk meneruskan misi mengajak manusia ke jalan Allah selagi ada kudrat.
Bagi Aris Tayib atau lebih mesra dengan panggilan Haji Aris, 68, dari Klang, Selangor, dia tidak pernah terfikir suatu hari nanti akan mengabdikan dirinya untuk kerja-kerja dakwah sepenuh masa apatah lagi memikirkan kenakalan ketika zaman kanak-kanak dan remaja."Saya anak yatim dan mempunyai enam adik beradik, ibu berbangsa Cina yang berkahwin dengan lelaki Melayu. Ketika berusia sebulan, ayah meninggal dunia ketika saya tidak tahu apa-apa dan tidak pernah menatap wajahnya dan hanya diberitahu apabila dewasa."Bohong jika saya tidak rindukan ayah apatah lagi peluang untuk bermanja tapi Allah lebih sayangkan arwah, dia meninggal dunia ketika berusia 33 tahun. Selepas itu ibu berkahwin lain dan saya membesar dengan ayah tiri tapi usianya juga tidak lama apabila meninggal dunia. Jadi, ibu membesarkan kami dalam susah payah tanpa suami dan kami adik beradik tanpa bapa.Aris Tayib
"Saya kagum dengan semangat ibu, siang bekerja sebagai pembantu rumah, dan malam berniaga pasar malam dengan menjual kuih muih untuk membesarkan anak-anak. Pendapatan tidak seberapa tapi ibu tidak pernah mengeluh dan reda dengan ketentuan Ilahi yang menguji hamba-Nya," katanya.
Cuma, nenek yang kasihan melihat kesusahan ibu, meminta untuk menjaga Aris dan dia dibawa ke Singapura sehingga berusia 10 tahun tapi perpisahan Malaysia dan Singapura pada 1966 memaksa dia pulang ke negara ini dan tinggal bersama ibunya di Klang, Selangor.
"Saya mahu membantu ibu, alhamdulillah saya mendapat pekerjaan di Jabatan Penyiaran pada 1972, sebagai pembantu Am pejabat sebelum ditukarkan ke stesen pengesan siaran di Batu Belah, Klang. Tugas saya mengambil berita daripada BBC dan PKM, semua maklumat itu dikumpul untuk dihantar kepada pengurusan atasan.
"Selama enam tahun melakukan tugas itu, saya membuat keputusan berhenti kerja dan berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di unit keselamatan. Masa itu, saya banyak terbabit dalam kesatuan sekerja dan menjelajah ke seluruh negara sebelum ditukar ke UNITEN dan tugas di sini banyak kepada latihan dan kem bina insan terutama kepada pelatih SLKK dan graduan universiti mengenai latihan "Emergency Response Team" (ERT) malah pernah berkhidmat bersama pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah," katanya.
Sambil menikmati makan malam di Jerman, mereka merangka kerja-kerja dakwah apatah lagi ia perlu dilakukan dengan betul supaya sampai kepada sasaran.
Pada tahun 2000, dia dinaikkan pangkat dan berpindah ke Putrajaya dan banyak terbabit dalam program komuniti seperti memberi bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sebelum berhenti kerja untuk berniaga makanan sepenuh masa apatah lagi masa itu dia sudah ada enam cawangan restoran termasuk katering.
"Pada 2003, saya serahkan perniagaan makanan kepada anak-anak dan menantu untuk terbabit sepenuh masa dengan kerja-kerja dakwah di dalam dan luar negara termasuk misi dakwah ke Brazil pada 2020 sehingga terkandas di Turki selama beberapa hari berikutan pandemik Covid-19."Dalam tempoh PKP, saya banyak melakukan kerja-kerja kaunseling di seluruh negara membabitkan kes-kes anak lari dari rumah, perceraian dan bunuh diri.
"Saya rasa seperti satu kepuasan bila dapat membantu orang lain terutama memberi tazkirah dan kaunseling apatah lagi dapat keluar ke jalan Allah selama beberapa hari kerana dapat beribadat kepada Allah dari pagi sampai tengah malam dan berterusan hingga ke awal pagi, teori dan praktikal.
"Bayangkan keluar tiga hari pun sudah mengalami perasaan seronok beribadah apatah lagi jika dapat keluar 40 hari atau empat bulan, impaknya lebih besar, hati jadi tenang dan tidak mahu lain selain mengingati Allah kerana Dia letak ketenangan dan kasih sayang dalam hati, orang marah pun kita senyum dan tak lawan balik kerana kita sudah biasa dengan cacian dan cemuhan manusia," katanya.
Aris (tengah) turut membawa menantu dan besan ketika melakukan kerja-kerja dakwah di Cologne, Jerman.
Aris berkata, pernah ketika berdakwah di sebuah kawasan di Negeri Sembilan pada 1980-an, ada penduduk yang menghalau dengan penyapu malah lebih dahsyat, seorang pemilik rumah menghulurkan parang kerana mereka menganggap kehadiran mereka berdakwah satu gangguan sedangkan mereka orang Islam, sepatutnya berdakwah dengan orang bukan Islam.
"Walaupun di perlakukan begitu, jemaah kami sudah dididik untuk tidak marah atau memberi tindak balas sebaliknya bagus bagi mendidik hati kerana Rasulullah SAW sendiri pernah diperlakukan lebih teruk ketika berdakwah di Taif, dibaling dengan najis dan batu."Tapi Nabi bersabar dan ketika Jibril minta diterbalikkan bumi Taif, Nabi kata jangan sebab mereka tidak tahu malah Baginda berdoa untuk kebaikan penduduk Taif. Itu kekasih Allah. Kita siapa?
Tazkirah yang dilakukan di sebuah masjid di Jerman banyak mendapat bantuan warga tempatan beragama Islam termasuk pelajar Malaysia.
"Bila orang memarahi kita, ia adalah rawatan untuk kuatkan iman dan hati supaya lebih tawaduk dan bersabar. Cara terbaik ialah membalas kejahatan dengan kebaikan.
"Itu sebaik-baik iman, apabila mereka marah, kita senyum dan kami memang diajar begitu malah sebelum keluar berdakwah, ahli memang dididik dan diberi latihan jika menghadapi situasi seperti itu.
"Kita perlu belajar sifat Nabi dengan bersabar dan senyum Apabila kita balas kejahatan dengan kejahatan, syaitan akan datang dan bertepuk tangan."Di mana-mana pun, kita akan berjumpa dengan manusia yang ego dan sombong malah di luar negara ada yang mencaci tapi kami hanya berdiam diri dan banyak berdoa.
"Biasanya, apabila berdakwah di luar negara, kami akan bantu penduduk tempatan yang beragama Islam untuk mengajak manusia kepada Allah kerana mereka lebih faham masyarakat mereka.
"Jika sukar mencari orang Islam, kami guna buku panduan telefon atau kedai internet untuk dapatkan alamat kawasan sekitar 10 kilometer, contohnya di bandar Colombia, Amerika Syarikat," katanya.
Pengorbanan, kesabaran dan kudrat perlu ada bagi pendakwah apatah lagi ketika melakukan usaha mengajak manusia ke jalan Allah.
Menurutnya, ketika berdakwah di Jerman selama empat bulan, antara aktiviti yang dilakukan ialah mengadakan tazkirah dalam bahasa Inggeris selepas solat subuh selain menggunakan pelajar Malaysia yang fasih bahasa Jerman atau penterjemah dalam kalangan warga tempatan.
Aris mengakui sudah berdakwah di beberapa negara di seluruh dunia antaranya Fiji, New Zealand, Australia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura, Jepun, Korea, India, Pakistan, Bangladesh, Arab Saudi, England, enam kali di Amerika Syarikat, Trinidad & Tobacco, Brazil, Jerman, Argentina dan Chile."Di Argentina, masjid ada tapi tak banyak dan kebanyakan orang Islam asal dari Palestin, Syria dan Lebanon.
"Kebetulan selepas dua bulan di sebuah bandar di sana, kami berjumpa dengan seorang wanita melalui cucunya yang memberitahu neneknya seorang Islam dan namanya Fatimah dan nasab Nabi Muhammad SAW, sebelah keturunan Abbas, bapa saudara Nabi. Kami juga diberitahu ada 51 keluarga di penempatan itu.
"Tapi, kami terkejut dan saya menangis apabila diberitahu kebanyakan mereka sudah murtad kecuali dia, lalu kami diajak berjumpa keluarga terbabit bagi mengembalikan mereka kepada Islam.
"Kami terpaksa menyewa rumah selama 10 hari bagi kerja-kerja dakwah itu walaupun sepatutnya kami sepatutnya meninggalkan bandar tersebut untuk bergerak ke utara bandar lain. Alhamdulillah hasil tarbiah, kami dapat mengislamkan semula 10 keluarga.
Aris bergambar kenangan bersama seorang kanak-kanak warga Palestin ketika mengambil bahagian dalam kerja-kerja dakwah di Jerman.
"Saya mengangkat tangan ke langit kerana bersyukur Allah permudah urusan dakwah ini. Kami nikahkan semula mereka yang murtad, memberi wang 100 peso sebagai mahar, menyembelih dua kambing dan mengadakan kenduri kesyukuran selain memberi pesanan kepada 10 keluarga itu supaya terus berdakwah kepada saudara mara lain yang murtad supaya kembali kepada Islam.
"Itu cerita manis. Jika kisah pahit pula ketika berdakwah di sebuah taman di ibu kota. Ketika memberi salam, anak pemilik rumah membuka pintu dan apabila hendak masuk ke dalam, pintu dihempas dengan kuat, nyaris terkena muka kami."Rupa-rupanya pemilik rumah sekadar "ajak-ajak ayam" dan saya sangat sedih tapi sentiasa berdoa kepada Allah, mungkin kami ada silap di mana-mana dan moga Allah memberi hidayah kepada mereka," katanya.
Ditanya apa yang mengubah hidupnya menjadi pendakwah sepenuh masa, katanya ketika belasan tahun, dia anak yang nakal, selalu bertengkar dengan ibu malah hampir mahu menggunakan parang menyebabkan arwah ibunya pernah berkata, "kamu anak neraka!" tapi selepas menjadi pendakwah, ibunya terkejut dengan perubahan 360 darjah. Malah adik beradiknya yang lain turut terkejut dengan perubahan itu.
"Sebelum meninggal dunia, ibu kata dia suka tengok perangai saya malah mengizinkan untuk terus berdakwah. malah ketika mahu berhenti kerja untuk berdakwah sepenuh masa, ibu merestui hajat saya dan berkata "engkau memang anak syurga kerana Allah mengubah engkau".
Ibu memang memberi pendidikan agama tapi masa tu kita masih muda, suka memberontak dan mahu kebebasan.
"Saya anggap ia satu penghijrahan yang mengubah hidup saya. bukan saja kerohanian tapi Allah memberi dunia, daripada tiada pendidikan tinggi dan sekadar insan biasa, Allah pertemu saya dengan rakan pendakwah yang akhirnya kami berkongsi membuka kilang "black carbon" daripada tempurung kelapa di Kedah. Alhamdulillah," katanya.
Apabila di luar negara, perubahan cuaca sama ada panas atau sejuk selain masalah bahasa bukan halangan untuk melakukan kerja-kerja dakwah.
Aris mengakui kepuasan dapat melakukan kerja-kerja dakwah kepada ia adalah perintah Allah dan ia akan dilakukan sehingga akhir hayat. Malah, dia lebih puas apabila ramai dapat mengucap syahadah dan berharap Allah dapat memberi hidayah kepada lebih ramai manusia terutama yang belum Islam.
"Dulu keluarga pun tidak setuju saya buat kerja-kerja dakwah ini kerana meninggalkan rumah untuk tempoh lama tapi sekarang semua ahli keluarga saya turut berdakwah malah saya sering membawa isteri jika berdakwah di dalam dan luar negara."Di rumah, setiap minggu ada buat usrah, percambahan idea untuk dakwah selain muzakarah untuk mengetuk hati supaya mengikut perintah Allah dan Rasul," katanya.
Ditanya keadaan dirinya jika tidak menjadi pendakwah, dia tersenyum dan mengakui tidak dapat membayangkan perkara itu kerana tahu zaman remajanya penuh dengan kenakalan dan jika Allah tidak menjentik hatinya dan memberi hidayah, dia mungkin akan menjadi manusia yang teruk dan terumbang ambing tanpa panduan.
"Saya amat bersyukur dengan perjalanan hidup yang Allah aturkan. Percayalah, akhirat seperti cahaya, kamu kejar cahaya, bayang-bayang akan turut mengejar kamu di belakang tapi jika kejar dunia, kamu tidak dapat apa pun melainkan apa yang ditentukan.
"Saya berpegang kepada itu dan yakin kepada Allah malah saya serahkan diri saya untuk berdakwah dan membelanjakan wang ke jalan Allah.
Keluarga banyak memberi dorongan dan semangat kepada Aris untuk terus berdakwah malah mereka turut menyertai misi dakwahnya sama ada di dalam dan luar negara.
"Selepas Nabi tiada, siapa yang akan buat kerja ini? Jika nak suruh ustaz, mereka pun ada kerja hakiki tapi kitalah yang perlu ambil tanggungjawab itu. Sekarang kita hanya buat kerja di masjid tapi di luar ada ramai lagi, siapa nak jumpa, kita lah!.
"Kita bukan Nabi tapi pembantu Nabi bagi mengajak, merayu, meminta dan berdakwah menyambung tugas Nabi. Manusia datang tak datang bukan kerja kita tapi itu kerja Allah. Buat perlahan-lahan kerana ia bukan boleh datang sekali gus.
"Berdakwah perlu mengambil masa, nabi-nabi pun sama. Insya-Allah satu hari nanti Allah akan makbulkan."Ingat tak ketika Allah perintah Nabi Ibrahim menyeru manusia datang ke Baitullah, Nabi Ibrahim kata macam mana manusia nak dengar seruan aku. Allah kata Aku suruh kamu buat, yang nak buka hati manusia datang ke rumah Allah ialah Aku," katanya.
Dalam berdakwah, katanya dia bersyukur dan tidak menyesal melakukan kerja-kerja dakwah selama lebih 40 tahun dan menganggap ia adalah perniagaan yang menguntungkan dunia dan akhirat.
Dalam berdakwah, perlu ikhlas dan bersabar selain niat untuk memperbaiki diri, yang lain serahkan kepada Allah.
"Saya gunakan waktu siang berjumpa dengan manusia, mengajak mereka ke jalan Allah dan pada malam hari menangis untuk Allah. meminta keampunan dan hidayat untuk diri sendiri dan orang lain.
"Malah, saya selalu berdoa, berilah hidayah kepada orang kafir moga pada akhir hayat, mereka dapat mengucap dua kalimah syahadah," katanya. - KitaReporters