REMAJA adalah golongan yang amat mudah dipengaruhi unsur-unsur negatif kerana sifat semula jadi mereka suka mencari identiti sendiri, mudah terikut dengan cara budaya ‘moden’, sentiasa diselubungi sifat ingin tahu, ingin mencuba dan berani menghadapi risiko.

Pengaruh positif pula agak lambat untuk menambat hati mereka kerana ia lebih menekankan disiplin, kerajinan, ketahanan diri dan hanya mendapat hasil dan faedah selepas berusaha gigih, tekun dan bersabar. 

Menyedari pentingnya pembentukan sikap dan nilai positif dalam kalangan remaja, Ikram Muda Bandar Baru Bangi menganjurkan program Menggilap Permata, Membangun Jiwa (MPMJ) Siri 2.


Peserta program Menggilap Permata, Membangun Jiwa Siri 2 gembira selepas sesi Ice Breaking.


Pengarah Program MPMJ, Muhammad Hafizzudin Mohamad Nizar, berkata ia adalah kesinambungan daripada Siri 1 yang diadakan pada November 2023 lalu yang memberi fokus kepada pengucapan awam atau "public speaking" selain penceritaan mengenai sejarah Palestin supaya peserta cakna apa yang berlaku di negara terbabit, perjuangan saudara seagama dan liku-liku kehidupan mereka yang dicengkam oleh tentera Zionis Israel.  

Beliau yang juga AJK Ikram Muda Bandar Baru Bangi berkata, selepas Siri 1, mereka membuat kaji selidik dan menyediakan senarai 50 aktiviti yang mereka boleh pilih untuk dimasukkan dalam modul Siri 2, antaranya grafik, media dan badminton tapi majoriti memilih memanah.

"Hasilnya agak mengejutkan kerana lebih 55 peratus remaja memilih sukan memanah sebagai fokus utama dalam modul Siri 2. Cuma, bagi menjadikan program itu lebih menarik, kami selitkan penceritaan mengenai sirah sahabat Nabi Muhammad SAW yang pakar dalam bidang memanah yang dikendalikan oleh trainer, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan.

Mohd Helmy Sakir merasmikan program Menggilap Permata, Membangun Jiwa Siri 2 di Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.


"Kami setuju dengan pilihan itu bagi meraikan minat mereka yang mahu sesuatu yang berbeza berbanding apa yang mereka lalui semasa sesi persekolahan setiap hari dan dalam program dua hari itu, kami turut memasukkan modul ustaz bercerita mengenai kisah dua pahlawan Islam ketika zaman Rasulullah SAW.

"Kami juga menyediakan modul yang berkaitan dengan pembelajaran dan kehidupan mereka selepas meninggalkan alam persekolahan iaitu "peta minda". 

"Ia amat baik untuk mereka gunakan dalam pendidikan sama ada sekarang atau apabila melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi serta bekerja nanti," kata Hafizzudin. 


Muhammad Hafizzudin Mohamad Nizar


Program dua hari itu diadakan dengan kerjasama Surau Al-Kauthar Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Ia dirasmikan oleh Yang Dipertua Ikram Bandar Baru Bangi, Mohd Helmy Sakir. Turut hadir, Ketua Biro Pemuda Surau Al-Kauthar, Ustaz Erfan Asmaie. Seramai 53 peserta berusia di antara 11 hingga 17 tahun mengambil bahagian, meningkat berbanding siri 1.

Menurut Hafizzudin, program pembangunan remaja itu banyak memberi fokus kepada teori dan praktikal dan lari daripada konsep pembelajaran formal tapi lebih kepada mencari potensi diri, bakat dan kebolehan dal kalangan peserta.

"Tidak hairanlah dalam Siri 1 yang memberi fokus kepada pengucapan awam, kami dapat mengesan ada beberapa peserta yang mempunyai bakat dan berpotensi, jadi  kami mengetengahkan mereka untuk menjadi pengacara majlis, membaca doa dan membaca al-Quran untuk Siri 2. 

"Untuk slot "peta minda", ia dilakukan dalam kumpulan dan setiap daripada mereka akan berbincang dan menghasilkan peta minda terbaik untuk sesi persembahan dan setiap kumpulan akan mendapat hadiah atas usaha dan komitmen mereka.

 "Hari kedua, selain tazkirah pendek, kami fokus kepada aktiviti memanah dan ia dilakukan secara pertandingan bagi memberi semangat untuk bersaing secara sihat dan melakukan yang terbaik setiap kali melepaskan anak panah. Alhamdulillah, mereka seronok dan melakukan dalam semangat berpasukan," katanya.


Setiap sesi pembelajaran dan percambahan idea dilakukan secara berkumpulan.


Peserta perempuan serius memikirkan idea terbaik untuk program Menggilap Permata, Membangun Jiwa Siri 2.


Anak kedua daripada lima adik beradik, Hafizzudin anak jati Bota, Perak dan lulusan bidang kejuruteraan daripada Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor berharap program ini ada kesinambungan untuk Siri 3 dan Siri 4 kerana potensinya amat baik bagi mengilap bakat remaja, menjadikan mereka lebih yakin dan tidak takut apabila berhadapan orang ramai dalam mana-mana situasi.    

"Saya bagi pihak Ikram Muda berterima kasih kepada Surau Al-Kauthar terutama Pengerusinya, Nadzri Daud yang sudi menerima kehadiran kami untuk Siri 1 dan Siri 2, memberi kemudahan dewan untuk sesi pembelajaran, makan dan minum selain sumbangan wang tunai untuk melancarkan program itu. Ini layanan kelas pertama, saya amat terharu," katanya.    


Sesi tazkirah dan penerangan sebelum aktiviti memanah dijalankan.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Surau Al-Kauthar, Ustaz Ismail Hashim, berkata pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dan pemilihan Ikram kerana ia selari dengan hasrat Surau Al-Kauthar untuk menarik dan mendekati golongan muda selain modul yang disediakan memang sesuai dengan selera anak muda dan menjurus kepada pembangunan potensi remaja Islam yang positif.

"Kami menyediakan prasarana, dewan, makan minum dan sedikit wang bagi melancarkan program ini kerana yakin aktiviti seumpama ini memberi impak yang baik untuk remaja terutama dalam kalangan anak kariah sebagai generasi pelapis bagi meneruskan kerja-kerja baik untuk pembangunan surau ini. 

"Kami pernah berkolaborasi dalam program dakwah kepada bukan Islam, warga emas dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam aktiviti usrah dan mereka mengumpulkan ramai pelajar daripada pelbagai IPT dan hasilnya, ada peserta yang pernah mengambil bahagian di sini memberi sumbangan semula kepada surau apabila mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta," katanya.


Ustaz Ismail Hashim


Ditanya rahsia kejayaan Surau Al-Kauthar sehingga menjadi sebutan ramai, Ustaz Ismail berkata surau itu meraikan semua peringkat umur malah pengurusan surau ada gabungan golongan tua dan muda. Dan, surau itu tidak pernah meninggalkan anak muda kerana mereka mempunyai idea, kemahiran dan fizikal yang kuat.

Selain itu, katanya surau mempunyai kemudahan seperti dewan untuk kuliah dan seminar dengan mengenakan kadar sewa berpatutan, membina rangkaian ekonomi dengan membina 12 kiosk dan dua kedai koperasi. 

"Ini membolehkan kami membantu golongan asnaf membuat kuih dan menghantar untuk dijual di sini. Dan, jika mereka berbakat, kami beri peluang mereka berniaga di sini," katanya lagi.

Menurut beliau, surau itu juga sudah melaksanakan lima perkara mencakupi tarbiyah fardhu ain dan fardhu kifayah, membantu saudara baharu dalam syiar islam, memberi peluang kepada anak muda membina sahsiah dan jati diri yang tiada di universiti, membina rangkaian ekonomi ummah dan menyediakan kemudahan kepada komuniti serta anak kariah seperti dewan untuk kenduri kahwin, gelanggang futsal, badminton dan ping pong. 


Setiap peserta, lelaki dan perempuan bersemangat untuk memastikan pasukan mereka menjuarai acara memanah.


"Ada kes anak kariah mahu mengadakan kenduri kahwin untuk kakaknya tapi tak mampu, jadi pihak surau pelawa dia guna kemudahan dewan terbuka di surau itu secara percuma, cuma perlu mencari tempahan makanan untuk tetamu. Ini sudah lama kami lakukan dan masyarakat menghargai usaha itu.

"Sepanjang bulan puasa, pihak surau meraikan golongan asnaf, B40 dan orang miskin di antara 500 hingga 700 orang setiap hari. Ada juga golongan musafir, grabfood dan panda food singgah untuk solat dan berbuka puasa. Kos menyediakan makanan kira-kira RM5,000 sehari. 

"Untuk program korban, kami menyembelih 50 lembu dan 27 kambing setiap tahun dan ia memberi manfaat kepada 3,000 peserta selain golongan asnaf dan anak kariah. Daging korban juga diberi kepada saudara baharu, persatuan pelajar luar negara di Bangi, penduduk Orang Asli yang baru peluk Islam di Puchong dan pusat-pusat tahfiz.

"Kami turut menyediakan makan percuma kepada murid-murid yang datang solat Jumaat melalui agihan kupon dan kos yang dikeluarkan RM200 seminggu. Ada 23 ceramah sebulan, lapan kuliah subuh dan empat kuliah Muslimat selain pihak surau tidak pernah melupakan media massa kerana peranan mereka penting untuk menghebahkan aktiviti yang dilakukan, bukan kami syok sendiri," kata Ustaz Ismail. 


Trainer, Wan Mohd Aliwee Wan Ismail membantu peserta bagaimana menghasilkan peta minda.


Kata Ustaz Ismail, program mengimarahkan surau perlu dilaksanakan mengikut zaman. 

"Dulu cara lain, sekarang berbeza dan mungkin 10 atau 20 tahun lagi, kita perlukan aktiviti yang sesuai pada zaman itu tapi matlamat tetap sama untuk mengajak manusia ke rumah Allah seperti yang dilakukan Rasulullah SAW," jelasnya.

Ditanya tip untuk mendapat kepercayaan jemaah, katanya apa yang dilakukan mesti ikhlas dan jangan cari kesalahan atau kelemahan orang lain, raikan idea semua orang kerana setiap jemaah ada pendapat berbeza. 

Contohnya, pihak surau letak kipas besar, ada kata membazir dan sejuk malah bil elektrik mencecah RM12,000 sebulan, tapi jika tidak letak kipas besar, ada pula berkata pihak surau kedekut. 

"Jadi, pengurusan surau mengambil pendekatan di tengah, meraikan kelompok besar yang memberi pandangan positif tapi tidak pernah menyisihkan golongan kecil kerana mereka juga jemaah surau ini. 

"Cuma, dalam perancangan, golongan muda sentiasa dalam radar kami kerana mereka pelapis generasi akan datang. Jangan kita di pihak pengurusan sentiasa menganggap diri kita hebat sehingga mengabaikan idea orang lain terutama anak-anak muda, hormati pandangan orang lain dan belajar adab yang baik kerana tiada guna ilmu setinggi gunung tapi akhlak hancur," katanya. - KitaReporters


Peserta program Menggilap Permata, Membangun Jiwa Siri 2 bergambar kenangan pengurusan Ikram Muda, Bandar Baru Bangi, Selangor.

11
16
0
12
0

Copy Link: