Ziarah Ramadan! Sukarelawan Hospital Cyberjaya timba ilmu kerja amal dengan Pusat Jagaan Mahmudah!
Published bySUKARELAWAN Hospital Cyberjaya akan mengambil contoh dan menjadikan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Sungai Purun, Semenyih, Selangor sebagai ‘platform’ terbaik dalam menimba pengetahuan melakukan kerja amal kebajikan.
Pasukan sukarelawan yang ditubuhkan beberapa bulan lalu
selepas hospital berkenaan beroperasi pada November 2022, masih kekurangan
pengalaman serta ilmu dalam melakukan kerja kebajikan khusus sukarelawan
termasuk di pusat perubatan berkenaan.
Ketua Jabatan Sosial merangkap penyelaras sukarelawan hospital berkenaan, Haslinda Saimin, mengakui mereka belum cukup ilmu dan pengetahuan dalam melaksanakan tugas sukarelawan termasuk dalam membantu pesakit dan pengunjung hospital itu.
Pasukan Sukarelawan Hospital Cyberjaya merakam kenangan bersama Azman Rasman dan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado (tengah) selepas mengadakan Ziarah Ramadan pada 23 Mac 2024.
Menurutnya, selepas mendapat maklumat daripada pelbagai pihak dia mengambil keputusan untuk merujuk PJMM kerana mereka mempunyai ramai sukarelawan yang aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan kerja amal kebajikan termasuk di kawasan komuniti.
Tambahnya, dia berharap langkah itu amat tepat sebagai
permulaan sebelum aktif turut padang kerana mereka yang terpilih menjadi
sukarelawan hospital berkenaan datang daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta
selain bekerja sendiri.
Jelasnya, dia amat mengalu-alukan penyertaan individu
terbabit yang menunjukkan semangat tinggi dan komited untuk melakukan kerja
sukarelawan khusus membantu atau membimbing pesakit serta orang awam yang ingin
mendapatkan pelbagai maklumat apabila kali pertama berkunjung ke hospital itu.
“Bagaimanapun bagi melengkapkan pengetahuan serta ilmu dalam kerja sukarelawan berharap PJMM ini dapat berkongsi pengalaman dan menjadi rakan pembimbing di samping rujukan apabila menghadapi situasi luar jangkaan,” ujarnya ketika ditemui dalam program Ziarah Ramadan Staf dan Sukarelawan hospital berkenaan ke PJMM pada 23 Mac 2024.
Haslinda Saimin menyampai ucapan pada program Ziarah Ramadan Staf dan Sukarelawan Hospital Cyberjaya ke PJMM.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman pula berkata, pusat berkenaan
sentiasa bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam tugas
sukarelawan terutama mengurus warga emas yang uzur atau terlantar di atas katil
kerana ia sama macam dalam sebuah hospital.
Jelas beliau, dalam memperkemas tugas sukarelawan PJMM, Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA) ditubuhkan pada awal Mac 2024 dengan ahlinya berpengalaman luas dalam kerja amal kebajikan serta komuniti termasuk di Hospital Kajang, Serdang, Ampang dan sebagainya.
Menurutnya, menerusi KESUMA nanti beliau selaku penasihat akan meminta ahlinya untuk turun padang bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dengan sukarelawan Hospital Cyberjaya termasuk membabitkan dalam program yang dianjurkan.
“Langkah ini secara tidak langsung mereka akan memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada sukarelawan hospital berkenaan seperti mengenai cara menyantuni pesakit, keluarga atau sanak saudara pesakit dan orang awan yang datang melawat,” ujarnya.
Azman (kanan) memberi taklimat ringkas penubuhan PJMM dan sukarelawan yang terbabit dalam pelbagai program di pusat jagaan itu.
Sementara itu, Nabilatul Wahida Zakki yang menyertai sukarelawan Hospital Cyberjaya, berkata dia terpanggil untuk menjadi pasukan sukarelawan kerana berminat dalam melakukan kerja amal kebajikan terutama membantu mereka yang menghadapi musibah.
Katanya, dia berharap diberi peluang membantu masyarakat dan
pihak hospital dalam menyelia urus pesakit atau orang ramai yang menggunakan
khidmat perubatan supaya dapat berjalan lancar dan menggembirakan hati semua
pihak.
“Dengan menyertai sukarelawan ini juga saya berharap bersama ahli lain dapat turun padang membantu komuniti khusus anak yatim di rumah kebajikan dan sebagainya kerana mereka antara insan istimewa yang amat memerlukan kasih sayang serta perhatian,” ujarnya.
Ahli sukarelawan mendengar penjelasan Azman (kanan) mengenai tugasan serta menyantuni warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.
Rakan beliau, Wan Mohd Musyrif Wan Khalid pula berkata,
pengalaman menjaga serta mengurus nenek dia yang uzur lebih tiga tahun sebelum
meninggal dunia membuka hatinya untuk menyertai pasukan sukarelawan hospital
itu.
Tambahnya, apabila terbaca tawaran untuk menjadi sukarelawan
itu dalam media sosial dia segera membuat permohonan dan berasa bersyukur diterima
kerana dapat terus berbakti kepada masyarakat walaupun bukan ahli keluarga.
“Hati saya lahir perasaan keprihatinan selepas pengalaman menjaga nenek untuk terus menyantuni warga emas di pusat jagaan atau pesakit yang uzur serta terlantar di katil hospital untuk memberi kata-kata semangat, motivasi dan sokongan supaya mereka berasa tenang,” katanya. - KitaRepoprters
Haslinda mewakili ahli sukarelawan menerima cenderamata dan sijil penghargaan PJMM daripada Azman.