Wan Jemizan Wan Deraman menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Ziarah & Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 21 April 2024.


MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya peribahasa yang amat sesuai dengan usaha Biro Hal Ehwal Pemuda & Riadah Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras, Selangor, dalam mendidik dan mentarbiahkan sukarelawan cilik masjid berkenaan dalam kerja amal kebajikan.

Bagi menyempurnakan hasrat itu, 30 sukarelawan cilik terbabit dibawa menziarah warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, menerusi Program Ziarah & Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 21 April 2024.

Program kebajikan berkenaan merupakan kali kedua diadakan selepas kali pertama tahun lalu (2023) juga menjurus kepada menjalinkan hubungan ukhuwah anak-anak kariah yang menjadi sukarelawan MBTHO dengan warga emas tersisih, hidup sebatang kara, keuzuran dan orang kelainan upaya (OKU) yang amat merindui sanak saudara pada hari lebaran di PJMM.


Seorang sukarelawan cilik MBTHO menyuapkan kek hari raya kepada seorang warga emas yang buta pada acara Suapan Kasih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


Berucap merasmikan program berkenaan, Timbalan Nazir MBTHO, Wan Jemizan Wan Deraman, berkata program itu juga merupakan salah satu antara lima teras utama MBTHO untuk menggalakkan serta membabitkan remaja dalam aktiviti komuniti.

Menurutnya, ia juga selaras menjadikan MBTHO sebagai pusat sehenti untuk remaja iaitu anak kariah membabitkan diri dalam kerja amal kebajikan, mendampingi serta menyantuni masyarakat disamping mengimarahkan masjid dengan mengikuti aktiviti agama.

Tambahnya, tugas yang dilaksanakan biro pemuda MBTHO dalam menggembleng remaja khusus sukarelawan cilik bukan suatu perkara mudah bagi menarik mereka dalam program yang memberi infak bermanfaat serta membina jati diri.

“Termasuklah dalam program ini apabila mereka dapat mengumpul sukarelawan cilik untuk hadir bagi menyantuni warga emas di PJMM supaya dapat memupuk perasaan kasih sayang terhadap orang tua yang tersisih daripada keluarga,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis perasmian program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM Sazali Mohiden; dan Ahli Jawatankuasa Biro Pemuda MBHTO yang diketuai ketuanya, Md Fetri.

Pada program itu, sukarelawan cilik terbabit duduk satu meja dengan warga emas untuk beramah mesra sebelum diakhiri dengan suapan kasih kek hari raya yang diibaratkan daripada seorang anak atau cucu.


Wan Jemizan, Azman Rasman, Mohiadin Bahado dan Ahli Jawatankuasa Biro Pemuda MBHTO (berdiri) bersama-sama sukarelawan cilik serta warga emas merakamkan gambar kenangan.


Wan Jemizan turut menasihati sukarelawan cilik untuk menjadi seorang anak yang berbuat baik kepada ibu bapa dan jangan sekali-kali menjerit atau meninggikan suara dengan mengeluarkan perkataan kasar sehingga menyinggung perasaan mereka.

Jelasnya, sayangilah ibu bapa serta menanamkan keazaman untuk menjaga mereka sehingga akhir hayat dan jangan sekali-kali terfikir atau membiarkan mereka di tempatkan di rumah orang tua atau kebajikan bagi meneruskan kehidupan dalam keuzuran.

Menurutnya, dia juga berasa kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh petugas serta sukarelawan di PJMM dalam mengurus serta menjaga warga emas dengan begitu baik kerana tidak semua orang sanggup melakukan tugas sebegitu.

“Jika tiada kekuatan serta ketabahan untuk menyantuni warga emas ini seperti ibu bapa sendiri mungkin tugas berkenaan gagal untuk dilaksanakan dan sebagai ikhtiar juga sokongan masyarakat amat perlu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan operasi PJMM.

“Sehubungan itu saya akan mencadangkan kepada pihak pengurusan MBTHO untuk menyediakan tabung khas bagi membolehkan orang ramai khusus jemaah menghulurkan sumbangan derma untuk PJMM,” katanya.


Wan Jemizan menghulurkan sumbangan kepada Azman hasil derma dan infak orang ramai serta jemaah MBTHO.


Sementara itu sukarelawan cilik yang ditemui, Muhammad Shah Azzam Rantissi Muhammad Shahimi, berkata program berkenaan memberi pendedahan kepada dia erti kasih sayang seorang anak kepada ibu atau bapa terutama yang uzur. 

Tambahnya, apabila beramah mesra dengan warga emas itu dia turut berasakan kesedihan hati seorang ibu, bapa atau nenek kepada sanak saudara terutama ahli keluarga terdekat yang mengasingkan mereka di pusat jagaan.

“Walaupun berasa sedih saya bertuah diberi peluang mengikuti program ini kerana banyak memberi manfaat dalam membina jati diri untuk menjadi seorang anak yang berjasa kepada ibu bapa,” ujarnya.


Muhammad Shah Azzam Rantissi 


Rakannya, Aleesya Az Zahra pula menyifatkan program itu suatu yang bermanfaat dan amat bagus disertai remaja dalam membina jati diri untuk memahami perasaan ibu bapa apabila mereka sudah tua nanti.

Jelasnya, dalam apa jua keadaan sekali pun anak hendaklah taat serta menghormati ibu bapa sehingga akhir hayat kerana mereka sentiasa berusaha dan berkorban bagi menjamin masa depan anak supaya cemerlang dalam kehidupan.

“Aktiviti luar sebegini juga membantu kami sukarelawan cilik untuk menghilangkan rasa bosan dan sebaliknya dapat menimba pengalaman baharu yang boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran di sekolah,” ujarnya. - KitaReporters


Aleesya Az Zahra

14
17
0
13
1

Copy Link: