TAN Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (Yayasan Golf Kebajikan Tan Sri Muhyiddin) menerusi pasukan bantuan kemanusiaan terus aktif dalam kerja amal kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan makanan, kemudahan kesihatan dan kewangan bagi perubatan atau pelajaran.

Selain itu yayasan berkenaan juga turut memberi perhatian terhadap pembangunan sukan apabila memiliki akademik golf sendiri bagi melahirkan pemain amatur seterus profesional di samping menginfak untuk membantu masjid, madrasah, pusat tahfiz dan sekolah pondok seluruh negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kerja-kerja kebajikan

Wan Muhd Adzwal (kiri) dan Syahmi Yusoff (dua dari kanan) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Azman Rasman dan Mohiadin Bahado.


Pegawai kanan aturcara yayasan berkenaan, Wan Muhd Adzwal, berkata yayasan akan memberi perhatian khusus jika menerima permohonan atau laporan daripada pelbagai pihak tanpa mengira bangsa serta agama yang memerlukan bantuan seperti makanan, peralatan kesihatan dan sebagainya.

Menurutnya, selepas mengumpul maklumat, yayasan akan menghalusi perkara itu bagi memastikan sumbangan atau yang diinfak dalam bantuan kemanusiaan benar-benar memberi manfaat kepada pihak terbabit tanpa ada sebarang pembaziran.

“Paling penting sumbangan atau bantuan ini akan meringankan bebanan yang ditanggung mereka terbabit dan berasa terbela kerana ada pihak sentiasa sudi membantu jika masalah berkenaan disampaikan dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan 100 kotak barangan makanan keperluan asas untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 22 Disember 2022.  

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pegawai Bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kemanusiaan yayasan berkenaan, Syahmi Yusoff.  


Mohiadin menyampaikan cenderamata kepada Wan Muhd berupa buku kisah benar mengenai warga emas di PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, di Beranang, Selangor.


Antara barangan makanan keperluan asas yang disumbangkan termasuklah beras, minyak masak, gula, tepung gandum, sardin, bihun, susu pekat dan sebagainya.

Wan Muhd berkata, sejak negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga sekarang lebih daripada 15,000 kotak makanan diagihkan kepada mereka yang memerlukan bantuan terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilancarkan.

Jelas beliau, pusat jagaan seperti PJMM, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya sudah lebih 10 dibantu yayasan dalam pelbagai bentuk sama ada barangan makanan keperluan asas, peralatan kesihatan dan pembangunan kelengkapan atau kemudahan. 

Menurutnya, Muhyiddin sebagai penaung sentiasa memberi ingatan kepada yayasan untuk sentiasa peka dan menghulurkan bantuan segera apabila menerima maklumat disamping  memastikan sampai ke sasaran tanpa ada yang berasa terabai.


Dari kanan, Wan Muhd, Mohiadin, Syahmi dan Azman menunjukkan isyarat bagus sumbangan barangan makanan keperluan asas oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor pada 22 Disember 2022.


Sementara itu Syahmi, berkata bantuan kemanusiaan yayasan itu membabitkan bencana alam seperti banjir, menampung pembiayaan perubatan mereka yang kurang berkemampuan, penyediaan peralatan kesihatan termasuklah sumbangan kerusi roda, biasiswa pelajaran serta pembangunan sukan golf dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, selain itu seperti masjid, madrasah, sekolah tahfiz dan pondok, yayasan turut aktif menginfak sama ada bagi tujuan menampung kos pengurusan, pemulihan atau ubah suai bangunan dan sebagainya terutama bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pengajian agama dengan sempurna dan selesa.

“Kejayaan yayasan dalam bantuan kemanusiaan ini juga adalah hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib mereka memerlukan bantuan dan ingin bersama berinfak meringankan bebanan ditanggung oleh mereka ini.

“Sekarang ini kami sedang mengumpulkan maklumat untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu seperti yang pernah yayasan lakukan di beberapa negeri ditimpa bencana berkenaan,” katanya. - KitaReporters


Azman memberi penerangan mengenai sejarah penubuhan PJMM kepada Wan Muhd dan Syahmi.

30
13
0
13
1

Copy Link: