Allahyarham Azhari Mohd Zain


DUNIA industri hiburan tanah air pada hari ini, 24 November 2022 dikejutkan dengan berita duka atas pemergian pengarah filem dan juga ahli sinematografi Malaysia, Azhari Mohd Zain, 50, di kediamannya, Sunway Alam Suria, Shah Alam, selangor sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh isterinya Wahizatul Nureen Azmi atau lebih mesra disapa sebagai Nureen.


Lagi



“Arwah berada di rumah, saya berada di sisinya melihat saat akhir sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” kata Nureen.

Difahamkan, Allahyarham terlantar sakit selama sembilan bulan akibat diserang penyakit angin ahmar sejak Februari 2022 lalu.

Ketika pertama kali arwah dimasukkan ke hospital (Februari 2022), beliau berada dalam keadaan kritikal setelah mengalami pendarahan di kepala serta kesukaran menggerakkan kedua-dua belah tangannya.

Arwah kemudiannya menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama tiga bulan, namun tahap kesihatannya kembali merosot pada Julai tahun ini (2022).


David Teo hadir ziarah melihat  Azhari yang terlantar sakit akibat serangan penyakit angin ahmar di hospital. - Kredit foto: Instagram David Teo


Dalam masa yang sama, rakannya Penerbit Filem dan Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG), David Teo turut berkongsi rasa sedih mengenai berita itu (kematian) dalam laman Instagram peribadinya.

“Berita duka untuk semua industri perfileman kita. Hilanglah permata yang bersinar.

“Selamat pergi ke dunia abadi sahabat perjuangan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah,” kata kapsyen yang dimuat naik itu.



Allahyarham pernah mengarah filem seperti Santau, 7 Petala Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A dan Zoo yang pernah mendapat tempat di hati peminat-peminat filem dan drama.

Selain sebagai seorang pengarah filem, arwah juga pernah memegang jawatan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Jenazah akan dimandikan serta dikafankan di Masjid Ar-Raudah, Seksyen U10, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang, Selangor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah. – KitaReporters



Sumber:

https://www.instagram.com/p/ClT7LJPBhZr/?hl=en

11
13
0
13
0

Copy Link: