Video| Penghijrahan Aliff Aziz! Mula-mula nak, kemudian mengelak! Dugaan nak dekati tabligh!

Published by
KitaReporters


DALAM pada masih viral cerita pemergian penyanyi dan usahawan Siti Sarah Raissuddin, sejak beberapa hari lalu timbul satu lagi cerita yang baik-baik mengenai insan dalam kalangan artis. Allahyarham Sarah mendapat pujian berlebihan apabila terbongkar cerita amal kebajikannya semasa hidup, manakala artis yang satu ini lain pula ceritanya.

Anak seni yang sebelum ini kerap viral kerana beberapa kejadian kurang enak didengar dan dikatakan berbolak-balik nak berubah, kini menjadi tumpuan pujian apabila diberitakan telah menyertai kumpulan Dakwah Tabligh Malaysia.   


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Aliff Aziz

Kredit foto: IG @dakwahtablighmalaysia


Ramai terkejut dengan berita penghijrahan Aliff Aziz walaupun dia bukanlah artis pertama menyertai tabligh. Bagi netizen yang sebelum ini sudah tidak percayakan penyanyi dan pelakon itu untuk berubah, kagum dan gembira serta mendoakan beliau supaya terus istiqomah.  

"Alhamdulillah. Pertamanya saya dengan rasa amat hormat dan kagum melihat penghijrahan penyanyi dan pelakon Singapura yang disayangi, Aliff Aziz selepas menyertai jemaah tabligh. 

"Saya yakin erti penghijrahan beliau kali ini lebih bermakna dan bermanfaat untuk membawa sinar harapan baru. Saya berdoa dan berharap semoga Aliff terus kekal istqomah serta teruskan aktiviti dalam kerjaya seni hiburan pada masa akan datang, mengikut kesesuaian," tulis pemegang akaun (Instagram) bernama Nasrulnuddinnasri. 



Komen lain pada posting temu bual dengan Alif dalam laman Dakwah Tabligh Malaysia: 

“Masya Allah 1st time terkesima, Aliff ke ni? Air muka, cara bercakap, Allahuakbar, indah perancangan Allah!" Dalam video pengakuan itu memang wajah Aliff berlainan sedikit apabila kelihatan mulai berjambang, berjanggut dan berkopiah hitam. 

Netizen ini pula terharu sehingga menitiskan air mata. "Alhamdulillah Masya-Allah, Tabakarakallah. Yaa Allah I'm crying." Dan seorang lagi menulis, "Masya-Allah, hidayah milik Allah SWT, semoga istikomah."

Komen penulis, Alhamdulillah! Cerita ke arah kebaikan, tidak salah diuar-uarkan kerana ia dapat menjentik hati individu lain untuk terdorong melakukan perkara sama tanpa disuruh.

Misalnya dalam komen lain, ada yang mengakui terasa ingin menyertai kegiatan itu dan ada pula yang berdoa agar suaminya terpanggil untuk menyertai jemaah tabligh.

"Semoga Allah SWT beri hidayah kepada suami saya untuk menyertai jemaah tabligh. Amin, Yaa Allah."

"Meremang bulu roma dengar, perancangan Allah itu benar, rahmat dan pengampunan Allah SWT itu Maha luas. Masya Allah."

"Masya Allah terasa nak join tapi tak tahu cara."



Dalam pengakuannya, Aliff berkata dia juga tidak tahu cara untuk menyertai dakwah tabligh itu.

"Nak jadikan cerita, tengah skrol instagram, saya buka ruangan Explore, ternampak posting abang Faizal Ismail di IGTV dan beberapa orang, memberi perkongsian dengan pakaian lengkap berkopiah. Video dia panjang, saya tengok sehingga habis. 

"Tak faham, mengapa tiba-tiba saya sendiri pergi DM Dakwah Tabligh Malaysia untuk bertanya. Tapi sekarang saya boleh faham mengapa (kerana digerakkan oleh Allah). Dalam DM tu saya tanya, boleh cerita tak macam mana saya nak kenal jemaah tabligh? Beberapa hari kemudian dapat balasan meminta saya tinggalkan nombor telefon.

"Dalam tiga empat hari kemudian, dapat pesanan WhatsApp daripada wakilnya, memberi gambar-gambar kegiatan jemaah. Sehari kemudian, dia beritahu ada kegiatan (dakwah), keluar tiga hari bersama Ustaz Khan (Farkhan Daei). 

"Saya sepatutnya buat persediaan untuk pergi. Sehari sebelum tarikh itu, pada malamnya saya tak boleh tidur, berdebar, tak sedap duduk (hati berbolak-balik), kemudian cari alasan tak boleh pergi sebab ada temu janji dengan doktor.

"Amar (wakil tu) cakap, dia dah set kan kegiatan dengan Ustaz Khan nak berjemaah untuk saya sertai sekali tetapi saya jawab, minta maaf lain kalilah."

Amar kemudian balas pesanan, "Insya-Allah bang, kena settle mana yang penting dulu, kalau dah free, petang pun boleh. Nak buat benda baik ini banyak ujiannya, kena banyak doa malam ni."

"Kemudian saya baca tulisan itu betul-betul, saya terkesan. Saya yang nakkannya mula-mula, orang dah aturkan nak temukan dengan jemaah, saya pula tolak. Saya terfikir pula, kalau tak pergi janji temu doktor pakar tu, adakah saya akan mati? Dan terfikir lagi, kalau tolak ni, tak boleh salahkan Allah kalau saya tak ambil peluang ini. 

"Dengan itu kemudian barulah saya bersetuju. Nak jadikan cerita saya tak ralat, sebab pagi esoknya pihak klinik memaklum janji temu saya kena tunda sebab doktor pakar ada urusan.

"Semasa saya pergi (sertai), masya-Allah, first time jumpa mereka, mulanya segan kerana tak ada ilmu, rupanya yang sertai tu dari pelbagai latar belakang individu dan semua dilayan sama, tiada pebezaan.

"Abang Nabil bagi tahu saya, Aliff ini adalah satu benda (keputusan) yang sangat betul dalam hidup awak. Saya syukur di situ saya nampak adab Rasulullah SAW diamalkan dalam real life, masya Allah. Bagaimana pun, bagi setiap orang yang melalui pengalaman itu, setiap orang berbeza-beza penerimaannya," kata Aliff. - KitaReporters


1
0
0
0
0

Copy Link: