Kredit video: Madinah Abu Bakar


Kondisi kesihatan penyanyi, Azman Idris, 61, semakin merosot selepas menjalani pembedahan kecil memasang semula tiub di pinggangnya, pada Isnin, 21 Jun, 2021 lalu.

Menurut isterinya, Madinah Abu Bakar, Azman kini terlalu lemah sehingga sukar bercakap dan tidak mampu menelan makanan dan minuman yang disuap.

“Saya boleh katakan kedaaannya agak kritikal sejak dibawa pulang dari hospital, pada Isnin (21 Jun, 2021). Saya terperanjat kerana ketika dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Khamis (17 Jun 2021) lalu dia masih bertenaga, mampu makan dan bercakap macam biasa,” ujar Madinah.


Lagi cerita-cerita prihatin berkaitan Azman Idris 

Azman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 17 Jun, 2021 untuk pemantauan sementara menunggu pembedahan pada Isnin, 21 Jun, 2021. - Kredit foto: Madinah Abu Bakar.


Madinah berkata, Azman dimasukkan ke HKL pada pagi Khamis, 17 Jun, 2021, untuk menjalani pembedahan memasukkan semula tiub di bahagian pinggangnya yang tertanggal. Namun pembedahan tidak dapat dilakukan segera sebaliknya doktor menetapkan pada hari Isnin, 21 Jun, 2021.

“Doktor menyarankan agar Azman dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut sementara menunggu tarikh pembedahan dan saya mengizinkan walaupun hati saya berat kerana tidak dibenarkan menemaninya sepanjang di wad.

“Apabila saya melawat Azman selepas dia menjalani pembedahan Isnin (21 Jun 2021) lalu, saya terkejut melihat keadaannya. Doktor meminta agar dia terus ditahan di wad untuk pemantauan lanjut tapi saya ambil keputusan membawanya pulang,” katanya.



Azman atau nama sebenarnya Shahrulzaman Idris, yang popular pada era 1980-an menerusi lagu ‘Zuraida’ disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak 2017 lalu. Selain itu, beliau kini turut bertarung melawan penyakit buah pinggang tahap lima.

Sejak lima bulan lalu, kesihatannya semakin merosot dan hanya mampu berbaring sahaja. Kondisinya itu menyebabkan proses rawatan secara kimoterapi dan dialisis tidak dapat dijalankan untuk merawat kedua-dua penyakitnya itu.

Sebaliknya, doktor hanya memberi ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain di samping menjalani pemantauan dari rumah dengan bantuan sebuah NGO, Kasih Hospice Care.


Keadaan Azman makin lemah, sukar bercakap dan tidak mampu makan dan minum. - Kredit foto: Madinah Abu Bakar


Menurut Madinah, dia serta keluarganya kini hanya mampu berdoa serta bertawakal kepada Allah SWT agar Azman diberi kesembuhan atau paling tidak pun kembali kepada keadaannya sebelum ini.

“Minggu lalu, kami sekeluarga berkumpul, membaca surah Yasin untuknya. Itulah ikhtiar yang mampu kami lakukan, selebihnya berserah kepada Allah.

“Kalaupun tidak mampu sembuh sepenuhnya, cukuplah jika dia kembali ‘sihat sebagai orang sakit’, mampu bercakap, mampu memusingkan tubuhnya walaupun tak boleh bangun dan boleh makan macam biasa.

“Sebelum ini, walaupun ujian dihadapinya berat, namun semangat Azman kuat. Saya yakin jika kembali bertenaga, dia akan ‘bangkit’ untuk terus berjuang melawan penyakit itu. 

“Saya berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan, kata-kata semangat serta doa untuk Azman. Saya berharap mereka terus berdoa untuknya,” katanya.


Madinah tabah menyantuni Azman sejak penyanyi itu disahkan menghidap kanser prostat  pada 2017 lalu. - Kredit foto: Azman Idris


Sepanjang pembabitan sebagai artis rakaman, Azman menghasilkan tiga album solo iaitu Zuraida, Dilamun Rindu dan Kembali serta album Akan Ku Bahagiakan Hidupmu bersama Kumpulan Angka (Digital).

Namun, satu-satunya lagu menjulang nama Azman adalah ‘Zuraida’ yang pernah bersaing dengan lagu ‘Rindu Bayangan’ (Carefree) mengungguli rancangan carta lagu popular di Radio Televisyen Malaysia (RTM). – KitaReporters



11
3
64
6
3

Copy Link: