Shebby telah tiada! Sweeper emas negara 80-an! Pakar teknikal berkaliber! Penganalisis TV kritis!
Published bySERBEGETH 'Shebby' Singh, bekas Penasihat Teknikal JDT. - Kredit foto JDT
"FINAL Piala Malaysia 1987 yang dijuarai Kuala Lumpur merupakan pencapaian terbaik kami bersama. Sebabnya itulah kali pertama Kuala Lumpur muncul juara," kata Datuk Ramlan Askolani, mengulas mengenai bekas rakan sepasukannya, mendiang Serbegeth 'Shebby' Singh.
Beliau terkenang nostalgianya bersama Shebby ketika menikmati kejayaan gelaran sulung antara siri hatrik itu selepas mengatasi Kedah 1-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Shebby mendukung peranan bek tengah Kuala Lumpur sehingga digantikan oleh See Kim Seng pada final 17 Oktober 1987 itu manakala Ramlan kini berusia 61 tahun, di posisi perantara pasukan kendalian (mendiang) Chow Kwai Lam.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan personaliti yang meninggal dunia
SERBEGETH Singh (belakang, tiga dari kanan) menjulang Piala Malaysia pada 1987. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan
Bekas bek tengah dan sesekali sweeper kebangsaan dan pengulas pakar bola sepak TV itu pergi selama-lamanya akibat sesak nafas ekoran serangan jantung ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor pada petang 12 Januari 2022 pada usia 62 tahun.
Pingat emas bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan kejuaraan Pestabola Merdeka 1986 merupakan antara hasil kerahan keringat serta kudratnya buat Malaysia.
Skuad negara menewaskan Singapura 3-1 dan kelab Czechoslovakia, Sigma Olomuc 3-0 untuk memenangi kedua-dua final di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu.
Mendiang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun, meninggalkan isteri, Veronica Anne dan anak, Jason.
Sebelum itu Shebby mendirikan rumah tangga dengan bekas pelari pecut wanita olahraga negara, Harbans Kaur.
Hasil perkahwinan dengan pemenang pingat perak dan gangsa 4x100 meter Sukan SEA Singapura 1983 dan Bangkok 1985 itu, mereka dikurniakan sepasang anak - Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.
RAMLAN Askolani (dua dari kiri), bekas rakan sepasukan Shebby dalam pasukan Kuala Lumpur, juara Piala Malaysia. - Kredit foto: PBMM
"Ketika masih sebagai pemain, kami berkawan rapat malah sudah macam adik-beradik namun sudah lama sangat tidak berjumpa apabila bersara daripada bola sepak.
"Saya juga kenal rapat dengan Harbans ketika kerap bermain perlawanan veteran berdekatan rumah mereka di Taman OUG, Puchong, beberapa tahun lalu," kata Ramlan.
SERBEGETH Singh (kanan) ketika beraksi dengan rakan sepasukan negara, Rashid Hasan (merangkak) dan Ahmad Yusoff dalam Piala Ovaltine 1983 menentang Singapura di gelanggang republik itu. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan
Shebby yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 20 Ogos 1960, kerap mengulas dalam bahasa Inggeris dengan saluran TV ESPN Star Sports.
Beliau juga pernah menjadi pengacara program kuiz Astro, 'Juara Bertakhta’ dan ‘Malam Ini Shebby’ (bicarawara) malah ulasan dan analisis kritis dan jujurnya mengenai Liga Perdana England, membawa kelab Blackburn Rovers melantiknya sebagai Pengarah Global dari 2012 hingga 2013, selain menjadi Penasihat Teknikal kepada kelab JDT.
Selain Kuala Lumpur dari 1986 hingga 1990, beliau turut pernah beraksi dengan Johor (1978-1983), Pahang (1991) dan Negeri Sembilan (1992) serta Kuala Lumpur semula (1993-1996).
Shebby memperoleh 61 penampilan antarabangsa mulai Piala Presiden Park, Korea Selatan pada 1982 sehingga selepas kalah 4-2 kepada England pada perlawanan persahabatan 1991 di Stadium Merdeka. - KitaReporters
SERBEGETH Singh (kanan) bersama-sama B. Sathianathan (tengah) dan Lim Teong Kim ketika menonton perlawanan Ipswich dan Spurs pada 1983 sempena latihan pusat pasukan negara. - Kredit foto: BS
SHEBBY (kanan) selaku Penasihat Teknikal JDT dan Bojan Hodak, ketua jurulatih. Mereka juga pernah bekerjasama mengendalikan pasukan realiti TV, MyTeam pada 28 Mei 2006 untuk menentang pasukan bawah 20 tahun Malaysia.