Valentino Rossi mendapat perhatian walaupun hanya menduduki tangga ke-10 selepas menamatkan perlumbaan terakhirnya dalam MotoGP di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada 14 November 2021. - Kredit foto  : Eurosport.com


Aksi Rossi ketika berlumba bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yang merupakan pasukan terakhir yang disertainya  sebelum bersara.- Kredit foto: AFP


BIAR pun sukar, namun peminat sukan permotoran  khususnya Grand Prix (GP) motosikal dunia terpaksa menerima hakikat tiada lagi kelibat ikon MotoGP dunia, Valentino Rossi di litar perlumbaan mulai musim depan (2022) selepas mengumumkan persaraannya di mana perlumbaan di litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada 14 November 2021 merupakan perlumbaan terakhirnya selepas 26 tahun menyertai GP motosikal dunia.

Pada usia 42 tahun, Valentino Rossi yang mendapat jolokan ‘The Doctor’ dilahirkan pada 16 Febuari 1979 di Urbino, Tavulia, Itali pernah mencetuskan fenomena dalam sukan tersebut apabila berjaya merangkul sembilan kejuaraan dunia dalam semua katogeri GP motosikal dunia yang disertainya sejak tahun 1996.

Anak kepada bekas pelumba motosikal dunia era 1970-an, Graziano Rossi itu pertama kali berlumba di GP Motosikal Dunia  bagi kategori 125cc dalam tahun 1996 bersama pasukan Aprilia di Litar Batu Tiga, Shah Alam, Selangor sebelum merangkul kejuaraan dunia kategori tersebut pada tahun 1997 apabila berjaya memenangi 11 tempat pertama daripada 15 pusingan keseluruhan perlumbaan pada musim tersebut. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan motosikal

Rossi merakam gambar kenangan bersama krew pasukan selepas menamatkan perlumbaan terakhirnya dalam MotoGp di  Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol. - Kredit foto: The Sun daily




Namun ramai yang tidak mengetahui individu penting selain keluarganya yang telah memainkan peranan besar di sebalik warna-warna kejayaan yang dilakar oleh Rossi sepanjang tempoh 26 tahun melibatkan diri sebagai pelumba motosikal GP dunia.

Antara individu penting yang banyak membantu kejayaan kerjaya Rossi adalah Jeremy Burgess yang jugamerupakan ketua krew bagi pasukan yang disertai Rossi. Kolaborasi antara Jeremy Burgess dan Valentino Rossi dikatakan sangat luar biasa sehingga mampu merangkul tujuh gelaran juara dunia dalam kategori 500cc dan MotoGP.

Menariknya, Burgess yang pernah mengecapi gelaran kejuaraan dunia kategori 500cc ketika bersama dua pelumba yang berasal dari Australia iaitu Wayne Gardner dan Mick Doohan sebelum bersama Rossi telah mengambil keputusan mengikuti 'The Doctor'  yang berpindah dari pasukan Honda ke Yamaha dan Ducati sebelum kembali semula bersama pasukan Yamaha.

Namun akhirnya pada tahun 2014 Burgress tidak lagi membentuk bekerjasama bersama Rossi selepas jawatan Ketua Pasukan Krew team The Doctor itu menjadi milik Silvano Galbusera.


J

Jeremy Burgess antara watak penting sebagai ketua Krew  kepada pasukan yang disertai Valentino Rossi. - Kredit foto: bikesales.com.au


Seorang lagi susuk penting yang turut membantu kejayaan Valentino Rossi adalah Davide Brivio, di mana beliau merupakan individu yang telah berusaha meyakinkan Rossi untuk meninggalkan pasukan Honda bagi menyertai pasukan Yamaha pada MotoGP tahun 2004 seterusnya meraih gelaran juara dunia MotoGP tahun tersebut.

Sepanjang berkerjasama selama tempoh tujuh tahun kedua-dua mereka berjaya menghadiahkan empat kejuaraan dunia MotoGP kepada pasukan Yamaha iaitu pada tahun 2004, 2005, 2008 dan 2009 sebelum Rossi meninggalkan pasukan tersebut untuk bersama pasukan Ducati pada tahun 2010.

Ketika itu Brivio turut meninggalkan pasukan Yamaha, namun beliau tidak mengikuti jejak Rossi untuk bersama pasukan Ducati yang disertai Rossi, sebaliknya telah bertindak menjadi konsultan Akademik VR46 milik Rossi pada tahun 2010 hingga 2013 sebelum  menyertai pasukan Suzuki Plus, yang mana akhirnya berjaya membawa Joan Mir menjadi juara dunia MotoGP tahun 2020.


Davide Brivio merupakan individu yang bertanggungjawab meyakinkan Rossi untuk meninggalkan pasukan Honda bagi menyertai pasukan Yamaha pada tahun 2004 seterusnya merangkul kejuaraan dunia MotoGP tahun tersebut. - Kredit foto: Liputan6.com.


Seorang lagi individu penting yang turut memainkan peranan besar sepanjang perjalanan Rossi melakar kejayaan demi kejayaan dalam dunia sukan permotoran dunia adalah Uccio Salucci yang juga merupakan salah seorang sahabat Rossi sejak kecil.

Mereka dilahirkan di kampung yang sama, iaitu di Urbino,Tavulia, Itali di mana Uccio dikatakan begitu setia kepada Rossi dan mengikuti ke mana sahaja sahabatnya itu berpindah bermula dari kategori 125cc sehinggalah ketika Rossi beraksi dan bersara dalam katogeri MotoGP.

Justeru tidak hairanlah bertitik tolak daripada keakrapan mereka, Uccio dilantik untuk memegang jawatan penting sebagai ketua strategi dalam pasukan perlumbaan dan akademi VR46 milik Rossi.


Uccio Salucci merupakan rakan Rossi sejak dari kecil antara watak penting yang sentiasa bersamanya sepanjang karier sebagai pelumba motosikal selama lebih dua dekad. -K redit foto: Doc Movistar Yamaha


Sepanjang tempoh 26 tahun bergelar pelumba motosikal professional, Rossi telah menggondol kejuaraan dunia dalam semua kategori disertainya bermula kategori 125cc pada tahun 1997 yang juga merupakan tahun kedua penyertaannya dalam katogeri tersebut sejak pertama kali berlumba di Litar Batu Tiga Shah Alam, Selangor  pada 1996.

Pada tahun 1999 pula, Rossi merangkul kejuaraan dunia dalam kategori 250cc selepas berjaya menaiki podium sebanyak 12 kali dengan sembilan daripadanya di kedudukan pertama sepanjang musim tersebut.

Pada tahun 2000 Rossi beralih ke kategori 500cc dan berjaya merangkul kejuaraan dunia pada tahun berikutnya selepas cemerlang mencatatkan 11 kedudukan pertama sepanjang musim kecuali di Belanda beliau menduduki tempat kedua, ketiga di Perancis, ketujuh di Jerman, 11 di Valencia dan tidak menamatkan perlumbaan di Itali.

Sepanjang tempoh 2002 hingga 2009, Rossi berjaya merangkul enam kejuaraan dunia dalam katogeri MotoGP kecuali dalam tahun 2006 dan 2007 di mana pada tahun tersebut Rossi menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan pada akhir musim.    

Selepas persaraan Rossi, timbul persoalan dalam kalangan peminat sukan permotoran khususnya GP Motosikal Dunia bagaimanakah nasib sukan tersebut selepas ini tanpa kelibat Valentino Rossi di litar perlumbaan.

Mampukah nama-nama seperti Fabio Quartararo, Marc Marquez, Joan Mir dan Francesco Bagnaia untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya menyamai rekod pencapaian serta populariti susuk bernama Valentino Rossi dalam dunia sukan permotoran dunia. - KitaReporters



Marc Marquez antara nama yang dikatakan mampu mencabar pencapaian valentino Rossi dalam MotoGP. - Kredit foto: WorldSBK


Mampukah Fabio  Quartararo yang merupakan juara dunia MotoGP 2021 mencabar rekod pencapaian Rossi dalam MotoGP. - Kredit foto: Reuters

12
12
0
9
0

Copy Link: