Pemergian Tuan Guru Sheikh Fahmi Zamzam pada 30 Oktober lalu memberi kesan besar kepada para pengikutnya ulama tersebut. - Kredit Foto FB Sheikh Fahmi Zamzam - Kita Reporters
PEMERGIAN ulama terkenal dari Indonesia, Almarhum Tuan Guru Sheikh Fahmi Zamzam Al Banjari An Nadwi Al Maliki pada 30 Oktober 2021 lalu bukan sahaja memberi kesan dalam kalangan ahli keluarga dan anak-anak murid terdekat, bahkan seluruh ahli pengajian yang pernah mengikuti kuliah bersama ulama tersebut turut berdukacita. 

Perkara ini diakui penulis buku dakwah santai dan motivasi popular di Malaysia, Bonda Nor yang sangat terkejut dengan pemergian permata ummah itu.

Dalam satu posting beliau dalam laman Facebook pada 31 Oktober 2021 lalu, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan menulis bahawa dia asyik menangis sejak mendengar khabar duka yang meruntun jiwa itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bonda Nor


Tangkap layar menunjukkan posting Bonda Nor di laman Facebook beliau mengenai pemergian Tuan Guru Sheikh Fahmi pada 31 Oktober lalu.


Menurutnya, sejak mengetahui keadaan Sheikh Fahmi sakit, beliau sudah cuba mempersiapkan mental untuk menerima kenyataan kalau harus kehilangan permata nan satu itu. Namun, ternyata rupa-rupanya tidak mudah! 

"Dari semalam, air mata asyik mengalir. Lepas solat menangis. Tengah sunting karya, menangis. Tunggu suami dalam kereta, menangis. Bangun tidur, termenung, menangis.

"Ya Allah, lepas ni, tak ada dah aku nak sibuk-sibuk intai program Sheikh kat mana, nak daftar, nak hadap tutur katanya secara terus, nak tanya itu ini," tulisnya dalam status tersebut yang turut mengundang kesedihan para pengikutnya.

Jika ditelusuri semula perjalanan Bonda Nor dalam menuntut ilmu bersama Sheikh Fahmi, barulah akan kita fahami mengapa beliau begitu terkesan dengan pemergian almarhum.

Apa tidaknya, pengalaman mengikuti program Tafaqquh Fiddin di Institut Al-Quran Terengganu selama lima hari pada tahun 2013 menjadi titik permulaan beliau mengenali Sheikh Fahmi. 

Asbab mendengar kupasan kitab Hidayatus Salikin berdasarkan kitab Bidayatul Hidayah karya terulung Imam Al-Ghazali oleh Almarhum Sheikh Fahmi ketika itu menjadi inspirasi buat Bonda Nor menceburkan diri sebagai penulis novel dan buku-buku motivasi.


Gambar menunjukkan kitab Hidayatus Salikin (kanan) diikuti sanad atau ijazah yang diterima Bonda Nor (tengah) selepas mengikuti program bersama Sheikh Fahmi dan novel Saya Tunggu Awak yang ditulisnya (gambar kiri).


Malah, lebih manis lagi apabila novel Saya Tunggu Awak yang ditulis oleh Bonda Nor hasil adaptasi daripada intipati kupasan kitab Hidayatus Salikin dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu menjadi novel best-seller dan telah diulang cetak beberapa kali.

"Saya menulis novel tersebut beberapa bulan selepas mengikuti program berkenaan. Saya sendiri tidak menyangka ilham yang dikurniakan Allah untuk berkongsi ilmu yang ditadah kepada khalayak pembaca melalui Saya Tunggu Awak mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

"Benarlah tiada yang kebetulan dalam hidup ini. Seperti tagline dalam novel itu - Di dalam hidup ini tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara yang lain pula.

"Jika ada pahala yang saya kutip daripada penulisan saya, semoga mengalir juga pahala buat Almarhum Tuan Guru," kata Bonda Nor.


Novel pertama yang ditulis Bonda Nor ini dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu mencatat jualan best-seller dan diulang cetak beberapa kali.
Dilahirkan pada 9 Jun 1959 di Amuntai dari suku Banjar di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia, Sheikh Fahmi disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 pagi di Rumah Sakit Pakar Islam Banjarbaru pada 30 Oktober 2021 lalu. Jenazah Almarhum yang berusia 62 tahun kemudian dikebumikan di Pondok Pesantren Yasin, Banjarbaru pada waktu asar.

Jenazah almarhum Sheikh Fahmi (tengah) selamat dikebumikan di Pondok Pesantren Yasin miliknya di Banjarbaru, Kalimantan, Indonesia.

Sementara itu, Bonda Nor memberitahu, beliau sempat mengikuti kuliah terakhirnya bersama Almarhum Sheikh Fahmi sempena sambutan Maulidur Rasul secara dalam talian baru-baru ini.

"Masih terbayang sebak wajah Sheikh bercerita tentang hasratnya mahu dekat dengan Rasulullah SAW. Allahu Akbar. Indah pemergiannya dalam bulan kelahiran Baginda," ujar Bonda Nor.


Jika ada kelapangan waktu, Bonda Nor sentiasa mengikuti kuliah Sheikh Fahmi secara dalam talian.

Menulis lanjut, beliau turut menitipkan pesan agar setiap kita mesti mencari guru dalam kehidupan.

"Kita mesti ada guru-guru mursyid yang kita ikuti kuliahnya, kita tadah ilmunya, kita cuba teladani akhlaknya. Saya tahu saya jahil, cetek ilmu, saya ini jenis mudah alpa, jadi saya usaha untuk ikat hati saya agar tidak hanyut terlalu jauh. Saya follow rapat para ulama dan asatizah.

"Dan ini salah seorang guru saya yang saya cuba tekuni sejak kali pertama mengikuti kuliahnya, Tuan Guru Sheikh Fahmi Zamzam. Dari Terengganu, ke Kuala Lumpur, ke Langkawi, ke Kuala Lumpur lagi, program bersemuka atau online, saya memang selalu tercari-cari peluang untuk ikuti kuliahnya walau sesibuk mana pun saya.


Kenangan Bonda Nor ketika membawa anak bongsunya mengikuti kuliah pengajian akhbar oleh Sheikh Fahmi yang disifatkan sebagai mujahadah dalam menuntut ilmu.
"Saya bawa anak-anak remaja saya, saya usung baby yang masih menyusu. Perlu duduk, atau berdiri, saya tak peduli. Dapat masuk ke dalam masjid atau hanya boleh bersila di luar saja kerana sedang 'uzur', saya tetap pergi!

"Kali terakhir saya ikuti tausiyah Tuan Guru ialah secara online sempena Maulidur Rasul baru-baru ini. Masa itu saya sedang tak sihat, tapi tetap usaha duduk tegak di katil menadah butir bicaranya dengan kitab pada tangan yang beliau lancarkan. Masih berjurai air mata menadah mutiara hatinya.


Bonda Nor bersama anak keduanya ketika dibawa mengikuti kelas pengajian kitab Sairus Salikin yang membawakan tajuk Adab-Adab Bersahabat.
"Dan kini Tuan Guru yang saya hormati ini sudah tiada lagi. Tak ada dah saya nak sibuk-sibuk tanya Puan Jalilah Abdullah kalau Sheikh ada daurah lagi atau tak. Tak perlu dah saya intai-intai majlis ilmu yang dikendalikannya secara langsung untuk menadah barakah ilmu. Demi Allah... saya rasa cukup kehilangan!" tulis Bonda Nor.

Dalam posting tersebut, anak kelahiran Melaka ini turut memuat naik gambar-gambar beliau sepanjang mengikuti program bersama Tuan Guru Sheikh Fahmi.

"Gambar terakhir hanyalah sekeping poster, namun itulah yang mampu menjawab mengapa pemergian Sheikh Fahmi begitu memberi kesan pada jiwa saya. Saya abadikan di sini sebagai bukti betapa Tuan Guru bukan saja mampu menarik jiwa yang sudah jinak kepada agama untuk terus istiqamah, bahkan butir bicara santunnya juga mampu melembutkan jiwa yang keras seperti saya untuk mula mencintai Allah dan Rasul-Nya. 

"Semoga Allah merahmati guruku Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam Al Banjari An Nadwi Al Maliki," katanya.


Tuntutlah ilmu daripada ulama selagi mana mereka masih ada di dunia ini kerana selepas pemergian mereka, ia akan menjadi satu kerugian buat kita yang masih hidup.
Sungguh, kematian itu hakikatnya terlalu dekat dengan kita. Justeru, orang yang bijak adalah mereka yang mempersiapkan bekal menghadapi kematian. 

Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang lemah (imannya) adalah mereka yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” - Hadis Riwayat Tirmizi

Al Fatihah buat Almarhum Sheikh Fahmi Zamzam. Semoga husnul khatimah menjadi pengakhiran buat kita semua. Insya-Allah. - KitaReporters

17
12
0
15
0

Copy Link: